GEORGE TOWN: Prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Pulau Pinang mencatat sejarah apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri meningkat kepada 2.99 berbanding 2.96 pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.
Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Zawawi Ahmad berkata, peningkatan sebanyak 0.03 mata itu membuktikan komitmen berterusan warga pendidik, ibu bapa dan pelajar dalam meningkatkan kecemerlangan akademik di negeri berkenaan.
Menurut beliau, seramai 1,590 calon telah mendaftar untuk menduduki STPM 2025 di Pulau Pinang berbanding 1,725 calon pada tahun sebelumnya, manakala 1,552 calon atau 97.6 peratus hadir menduduki peperiksaan tersebut.
“Walaupun jumlah calon menurun, pencapaian keseluruhan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan PNGK negeri mencatat rekod tertinggi sejak STPM diperkenalkan,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 Pulau Pinang di pejabat JPNPP, hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, seramai 90 calon berjaya memperoleh PNGK 4.00, meningkat kepada 5.80 peratus berbanding 5.59 peratus pada tahun 2024, sekali gus mencerminkan peningkatan bilangan pelajar yang mencapai keputusan cemerlang.
“Selain itu, seramai 161 calon atau 10.38 peratus memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas, manakala 605 calon atau 38.98 peratus mencatat PNGK antara 3.00 hingga 3.74. Sebanyak 556 calon pula memperoleh PNGK antara 2.00 hingga 2.99,” katanya.
Beliau berkata, dalam kategori calon yang mengambil lima mata pelajaran, seorang pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A bagi kesemua mata pelajaran yang diduduki dan muncul sebagai calon terbaik Pulau Pinang dan kebangsaan bagi STPM 2025.
“Pada masa yang sama, seramai 90 calon dari 19 pusat peperiksaan di negeri itu berjaya memperoleh 4A bagi semua mata pelajaran yang didaftarkan,” katanya yang memaklumkan, kesemua 1,552 calon yang hadir menduduki peperiksaan layak dianugerahkan Sijil STPM 2025 sekali gus menjadikan kadar kelayakan mendapat sijil mencapai 100 peratus.
Katanya, dari segi pengiktirafan pelajar cemerlang, Jeremy Lim Wei Yu dari SMJK Chung Ling, Georgetown dipilih sebagai pelajar terbaik negeri dan kebangsaan bagi kategori aliran Sains, manakala Saw Xin En dari Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin muncul pelajar terbaik negeri dan kebangsaan kategori calon berkeperluan pendidikan khas (rabun).
“Ong Xue Ying dari SMJK Chung Ling, Butterworth pula dinobatkan sebagai pelajar terbaik negeri dan kebangsaan bagi mata pelajaran Bahasa Cina. Selain itu, Jeremiah Selva dari Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin menerima anugerah pelajar terbaik negeri dan kebangsaan bagi ujian Malaysian University English Test (MUET) 2025,” katanya.
Beliau berkata, Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin dan Kolej Tingkatan Enam Desa Murni pula telah dipilih sebagai penerima Anugerah Kolej Tingkatan Enam Terbaik Peringkat Kebangsaan Tahun 2025. – UTUSAN










