MUKADIMAH
“Banyak ucapan saya, semalam (Ahad 18 September) saja ada tujuh ucapan…a good speech.
“Saya mulakan hari selalunya bermula pukul 5 pagi, kemudian daripada pukul 9 pagi dah ada appointment sehingga petang. Sekarang sedang bersiap untuk sidang DUN (Khamis 22 September), banyak program. Expectation is high sebab election (Johor Mac lalu) baru habis.
“Very hectic, jadual padat, banyak perkara yang kita cuba buat, Jumaat (23 September) nak ke Kuala Lumpur sebab mungkin Johor juara Sukma, saya sangat happy.”
Demikian kata DATUK ONN HAFIZ GHAZI ketika kami tanyakan cabaran yang dilaluinya sebagai menteri besar yang baru menyandang jawatan itu enam bulan lalu.
Berkesempatan menemu bual cicit pengasas UMNO berumur 43 tahun ini di pejabat menteri besar di Kota Iskandar, Nusajaya Isnin lalu memberi peluang mendengar idea dan luahan hatinya.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, LUQMAN HAZIQ ABDULLAH dan MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI serta jurugambar, RAJA JAAFAR ALI, Menteri Besar Johor ke-19 itu turut berkongsi aspirasi beliau dalam memimpin negeri termasuk dalam politik.
TERKEJUT DILANTIK
MINGGUAN MALAYSIA: Dalam tempoh enam bulan pertama banyak program, adakah ia beri tekanan?
ONN HAFIZ GHAZI: Secara peribadi saya enjoy apa yang dibuat kerana akhirnya kembali kepada niat kita, berkhidmat. Kita sedia maklum ramai terkejut bila saya dilantik sebagai Menteri Besar, termasuk diri saya sendiri.
Tapi bila diberikan tanggungjawab, kita cuba sedaya mungkin untuk berkhidmat. Saya sedar jangkaan rakyat begitu tinggi kerana sudah diberikan mandat bukan sikit, 40 daripada 56 kerusi. Jadi, mesti rakyat nak tengok apa kerajaan boleh buat dalam masa enam bulan.
Saya sangat bersyukur sebab bila saya pegang tampuk kepimpinan negeri, Datuk Seri Hasni (Mohammad) telah memudahcarakan. Dia buat semuanya lancar dan mudah untuk saya ambil alih. Pada masa sama saya mendapat bantuan daripada peringkat JCS (Johor Civil Service), kakitangan kerajaan Johor termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani. Selain itu, saya mendapat sokongan penuh daripada institusi diraja Johor.
Sultan Johor sangat menyokong supaya kerajaan yang baharu dilantik ini dapat berkhidmat dengan baik. Walaupun jangkaan-jangkaan tinggi tapi dipermudahkan disebabkan sokongan semua pihak, itu suasananya.
ASAS KUKUH, LOKASI STRATEGIK
Tekanan tinggi mungkin ada kaitan dengan imej Johor, JDT, Sultan menjadi perhatian, secara tak langsung merangsang Datuk kerja lebih keras?
Ya, saya tengok penanda aras yang telah diwujudkan oleh Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) dan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan juga pemimpin sebelum ini tinggi. Pada masa sama kita berjiran dengan sebuah negara maju. Johor sentiasa dibandingkan dengan Singapura, ia tidak dibandingkan dengan KL atau Negeri Sembilan atau Melaka. Saya tengok itu semua sebagai satu kelebihan kepada Johor sebenarnya.
Kalau tengok data baru-baru ini, diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Johor tertinggi dalam FDI (pelaburan langsung asing). Kita dapat cecah RM60.9 bilion untuk suku tahun kedua tahun ini dan itu separuh FDI negara, RM120 bilion. Kedua ialah Selangor dengan RM15 bilion, nampak perbezaannya. Jadi, syukur Alhamdulillah, saya bukan dabik dada angkuh.
Saya cuma cakap Johor kalau nak boleh capai penanda aras tinggi Insya-Allah, sebab kita ini selain institusi raja, kita dianugerahkan Tuhan dengan satu lokasi strategik, satu-satunya negeri yang bersebelahan dengan negara maju, yang bersempadan dengan Laut China Selatan dan Selat Melaka. Jadi, lokasi kita sangat strategik, kaya dengan keindahan alam sekitar, pantai, pulau, populasi kita pun tinggi, ada empat juta orang dan pada masa sama kita punya tiga pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.
Jadi, kita mempunyai asas yang cukup kuat ditinggalkan oleh Menteri Besar terdahulu, Datuk (Seri) Hasni telah lakukan kerja dengan baik. Bila dia serahkan jawatan ini, keadaan kerajaan negeri daripada ekonomi kukuh, ini telah bermula dari zaman Datuk (Seri) Mohamed Khaled Nordin, Datuk (Tan Sri) Ghani Othman lagi. Jadi, Alhamdulillah, kita mempunyai asas yang sangat baik untuk kita terus membina Johor.
Yang perlu saya lakukan ialah mula melaksanakan banyak perkara yang kita boleh buat untuk bangunkan Johor. Jadi, Alhamdulillah Johor di landasan yang betul dan berada di kedudukan tertinggi dari segi FDI, pelancongan dalam negara, dan JDT, juara Piala FA.
BANTUAN KASIH BANGSA JOHOR
Proses pemulihan ekonomi terutamanya dalam pelancongan bermula dengan pembukaan sempadan?
Ada beberapa faktor bagi saya, masa pandemik kita banyak bagi insentif kepada pemain industri agar mereka boleh bertahan, banyak insentif diberikan masa 2020 dan 2021. Jadi, mereka dapat bertahan, hotel, pemandu pelancong semua dapat insentif dan pada masa sama kita juga lakukan promosi. Pasaran sasaran kita Singapura sebab kebanyakan pelancong datang dari Singapura. Jadi, ada banyak video promosi yang kita buat secara dalam talian. Bila buka saja sempadan, itu yang Senai-Desaru, Mersing, JB kembali ke prapandemik.
EXCO MUDA AGRESIF LAKSANA TUGAS
Dalam tempoh enam bulan, macam mana prestasi Exco?
Percaya atau tidak, daripada 10 Exco, tujuh muda daripada saya. Jadi ya mereka muda tetapi pada masa sama berkebolehan dan juga saya tengok agresif untuk buat kerja cukup baik untuk Johor. Jadi setiap minggu saya jumpa mereka sekurang-kurangnya 30 minit untuk lihat bagaimana keadaan mereka.
Dalam enam bulan, tidak ada kenyataan kontroversi daripada Datuk, maknanya lebih nampak fokus kerja?
Ya, saya lebih utamakan hasil, semuanya tentang hasil dan nombor tidak menipu. Saya faham dalam posisi saya ada ramai yang suka dan ramai juga tak suka dan ramai kritik. Tapi akhirnya kita tengok keputusan, Insya-Allah saya berdasarkan angka setakat ini Alhamdulillah angka positif untuk negeri Johor. Ia adalah usaha berpasukan dan akan sentiasa begitu untuk negeri Johor maju…tak boleh solo, tak terbuat.
KEBAJIKAN RAKYAT TERAS PENTADBIRAN
Rakyat bagaimana? Kalau tengok Johor, macam mana tumpuan kepada orang kurang berkemampuan?
Saya suka soalan tu sebab itu menjadi teras kerajaan Johor. Selain ekonomi yang saya sebut tadi, kita buat semua ini untuk bantu rakyat, peluang pekerjaan supaya mereka boleh membantu keluarga dan sebagainya. Pada masa sama kita faham ada isu inflasi dan sebagainya. Sebab itu dalam tiga bulan pegang jawatan MB, kita buat Bantuan Kasih Bangsa Johor untuk hargai rakyat Johor. Sebagai contoh, Johor satu-satunya negeri yang bagi setiap rumah, hampir satu juta rumah mendapat sekampit beras, B40, M40 atau T20 kesemua dapat. Itu sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Johor dan juga keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat.
Pada masa sama bantuan ibu tunggal, pesakit Covid-19. Banyak bantuan kita beri, RM240 juta melibatkan hampir semua rakyat. Jadi, bila libatkan rakyat itulah yang akan diutamakan. Tetapi akhirnya kita faham kita juga ada kekangan kewangan. Jadi apa yang kita bagi mungkin tidak sebesar Pusat mampu beri.
MAJU MENTAL, ROHANI
Boleh kupas tentang slogan Maju Johor?
Nak jadikan Johor negeri maju sangat boleh, bukan sahaja infrastruktur tetapi modal insan juga kena maju. Maksudnya orang kita kena maju daripada segi mentaliti dan juga kerohanian, kedua-duanya perlu seiring sebab kalau kita tak buat sayang, sebab potensi ada dan sebab itu saya keluarkan dengan visi Maju Johor untuk jadikan Johor negeri maju dan saya gariskan menerusi enam teras – tadbir urus, kedua ekonomi, ketiga keperluan dan kemudahan asas, keempat jaringan keselamatan sosial, kelima alam sekitar dan keselamatan, keenam orang muda Johor.
Respons pelabur bagaimana?
Positif tentang Johor, seperti saya cakap saya jumpa ramai pelabur dari Amerika, Eropah, China, Singapura. Mereka suka Johor sebab lokasi sangat strategik. Kedua, kita ada infra yang memuaskan hati mereka tetapi bagi saya kita boleh buat lebih baik, contoh kena lebarkan lebuh raya daripada empat lorong kena enam lorong. Pengangkutan dan perhubungan adalah sangat penting. Macam mana dari KL empat lorong, tiga lorong, tiba-tiba datang Johor dua lorong, ini antara perkara yang saya sedang usahakan dengan kerajaan Pusat supaya bajet diturunkan.
Saya dengar secara prinsip akan diluluskan pelebaran lebuh raya, saya minta dari segi pelaksanaan program Jendela oleh Pusat, percepatkan internet, minta lebuh raya dari Senai ke Desaru, saya minta Segamat diletakkan dalam ECERDC (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur). Jadi, nampak gaya semuanya positif.
DIBAYANGI SULTAN JOHOR?
Orang cakap pentadbiran Datuk dibayangi oleh Sultan Johor, bersetuju ke?
Saya tengok di Johor ini, akhirnya lihat kembali kepada hasil. Keputusan Alhamdulillah baik, itu satu. Keduanya, cara saya tadbir negeri sebagai MB tak ada bezanya dengan cara Datuk Seri Hasni dan MB sebelum ini. Jadi, saya tak nampak ada isu membayangi.
Sebaliknya saya lihat ia lebih kepada satu kerjasama yang baik. Maksudnya, kerjasama yang cukup baik, antara institusi diraja dengan saya sebagai pemimpin pentadbiran dan juga JCS di peringkat kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat. Kita mempunyai hubungan profesional yang cukup baik dan akhirnya semua untuk rakyat, itu cara saya lihat, tidak timbul isu membayangi.
Jadi tiada isu MB pilihan Sultan?
Semua MB adalah pilihan sultan berdasarkan perlembagaan, yang memilih adalah sultan. Orang yang mempunyai majoriti tertinggi dan dipilih oleh sultan, dari dahulu sejak zaman Datuk Jaafar Menteri Besar sampai sekarang, sama sahaja Johor ini. Saya tengok negeri yang ada sultan macam itu cara dia, yang akan melantik MB adalah sultan. Datuk Seri Hasni pun dilantik oleh sultan, Datuk Osman Sapian, Dr. Sahruddin. Jadi, cuma saya ini beza sikit, MB terkejut, itu sahaja bezanya, kalau tak, tiada isu.
Sultan Johor, baginda speaks his mind (menuturkan fikirannya). Tuanku adalah seperti itu, zaman Datuk Seri Hasni juga seperti itu, tiada beza.
MAKNA PRU15 PADA BANGSA JOHOR
Apa makna Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada Malaysia, khususnya Johor sendiri?
PRU15 ini sebuah PRU yang cukup penting. Rakyat Johor saya betul-betul doa jangan buat eksperimen lagi. Kita dah pernah cuba dan akhirnya HSR (kereta api berkelajuan tinggi) dibatalkan. Lebuh raya yang nak luluskan dibatalkan, yang rugi siapa, Bangsa Johor sendiri.
Apa impak kekalahan PRU?
Apabila saya berjumpa dengan pelabur, mereka nak kestabilan politik, kerajaan yang stabil dan konsisten, tidak boleh hari ini satu dasar dan ada perjanjian tiba-tiba boleh tukar dasar, pelabur pun lari. Jadi, kalau lihat masa PH ambil alih, ramai takut nak melabur.
Mereka batalkan perjanjian, itu tidak betul, pada penghujung hari, ia tidak Onn Hafiz buat perjanjian tetapi adalah perjanjian kerajaan negeri dengan sesiapa yang dia buat perjanjian tersebut, mana boleh main tukar cakap itu kerajaan dulu, ini kerajaan baharu, dasar baharu, tidak boleh macam itu. Jadi, amat penting untuk ada konsistensi.
Kesan terhadap Johor teruk ke akibat pertukaran kerajaan?
Johor hasil utama sawit. Saya punya kawasan Simpang Renggam, Johor majoriti bergantung kepada sawit. Harga turun sampai RM300 satu tan, nak pulang modal pun tak boleh. Lepas itu bila nak naikkan harga, dia suruh makan sawit. Awak rasa pelabur nak masuk ke negara harga sawit jatuh, konsesi dibatalkan sewenang-wenangnya, tak boleh macam itu. Jadi, bagi saya itu mempunyai impak negatif kepada ekonomi negeri dan negara.
PRU15, sebagai MB bagaimana lihat peluang BN?
Peranan saya jelas. Saya akan bantu Datuk Seri Hasni sebagai Pengerusi UMNO negeri. Daripada 26 kerusi, saya tak boleh nak cakap dulu tapi kita nak lakukan lebih baik berbanding masa 2018. Saya fikir kita akan mendapat majoriti yang baik berdasarkan keputusan DUN, Johor menang 40. Sebanyak 40 DUN itu meliputi 20 kawasan Parlimen, secara kasarnya. Tetapi itu bukan penanda aras sebab PRN dan PRU senario berbeza saya faham itu, tetapi kita nak capai maksimum untuk bantu bentuk kerajaan di Pusat.
Pemimpin muda, Exco muda yakin dapat tambat hati pengundi 18?
Saya lihat anak muda dah bersama kita dan semua kaum kerana saya tengok semua tempat dan Johor kita tak boleh pecah belah. Pecahan demografi Johor dari segi kaum Melayu lebih kurang 58 peratus, baki 42 peratus mesti bersama kita untuk bangunkan negeri. Tak boleh syok sendiri untuk bangunkan Johor.
Hubungan kerajaan negeri dengan parti pembangkang?
Cara pembangkang saya tengok lebih kepada politik kebencian. Saya yakin pada masa sama rakyat makin matang, tak tengok provokasi semata-mata, sebab akhirnya dah cuba eksperimen. PTPTN masih kena bayar, tol masih kena bayar, jadi ia tidak mampan. Bila menang dengan taktik begitu tak bertahan kerana rakyat akan tuntut janji sebab janji kena dikotakan.
Masa PRN, Ikhtiar BN Johor, bagaimana pelaksanaannya?
Saya tengok daripada segi Ikhtiar BN Johor semasa PRN Johor, memang menjadi hasrat kerajaan negeri untuk tunaikan. Ada yang kita dah laksanakan dan ada yang masih dalam proses, sebagai contoh anti lompat parti, pasti dalam agenda kami, tetapi masa walaupun dah dapat mandat peringkat Parlimen dan Dewan Negara, lepas tu Majlis Raja-Raja pula.
Pesanan untuk Bangsa Johor?
Kita kena pilih kestabilan. Seperti saya cakap kita tak boleh ambil risiko lakukan eksperimen lagi. Kita rugi empat tahun. Tengoklah bila stagnant, tak bergerak sebab tiada kestabilan politik, negara jiran lain semua potong kita, Indonesia, Vietnam, Thailand. Semua orang takut datang Malaysia sebab tak stabil politik, dia pergi negara jiran, takkan kita nak buang masa lagi, bawa balik kestabilan kepada negara dan Johor akan dapat ganjaran juga, Insya-Allah. _ Mingguan Malaysia










