Ringgit jatuh, ekonomi tidak gawat

Ringgit jatuh, ekonomi tidak gawat

MALAYSIA boleh memperkenalkan semula prinsip sandaran mata wang dengan emas seperti yang diumumkan oleh Russia yang menyebabkan nilai Rubel naik lebih 12 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM Ringgit Malaysia (RM) berada di dalam kedudukan terlemah berbanding dengan USD sejak krisis kewangan 1997. RM diniagakan pada kadar lebih rendah dari 4.50 berbanding dengan USD. Apakah ini satu gejala negatif yang sangat kritikal yang meletakkan ekonomi Malaysia pada tahap nazak atau tergencat?

Sebenarnya sejak krisis kewangan 1997, RM telah dipaut kepada USD bagi menstabilkan kadar pertukarannya. Bagaimanapun, pautan ini telah dimansuhkan pada tahun 2012 apabila Arab Saudi juga melakukan perkara yang sama.

Sejak itu nilai RM diapungkan di pasaran. Sebagai mata wang yang bebas dan terapung, kadar pertukaran ditentukan oleh permintaan dan penawarannya yang banyak ditentukan oleh aliran keluar masuk wang dari Malaysia atau berasaskan pada prinsip permintaan dan penawaran RM.

Wang masuk bila Malaysia mengeksport barang keluarannya seperti komponen elektronik, barangan elektrik dan elektronik, komoditi dan perkhidmatan seperti pelancongan dan pendidikan. Wang juga masuk bila pelaburan asing masuk ke Malaysia di dalam projek perindustrian. Wang juga masuk di dalam bentuk pelaburan jangka pendek di pasaran saham. Wang masuk bila pelabur membeli hartanah di Malaysia.

Di masa yang sama, wang keluar bila Malaysia mengimport barang dan perkhidmatan dari negara lain. Wang juga keluar bila pekerja asing menghantar wang balik ke negara mereka. Paling besar, wang keluar bila pelabur jangka pendek menjual pelaburan mereka di Malaysia dan membawa wang mereka balik ke negara mereka kerana kadar keuntungan pelaburan (berkait dengan faedah) telah meningkat di negara mereka.

Apa yang berlaku sejak beberapa bulan yang lepas ke atas RM ialah peningkatan kadar faedah yang diumumkan dan pengumuman untuk kenaikan seterusnya kadar faedah sehingga ke tahun 2023 menjadi 3.5 peratus yang menyebabkan pelabur asing lebih tertarik untuk melabur di dalam pelaburan dengan pendapatan tetap berasaskan USD ini.

Inilah yang telah menyebabkan banyak pelabur, khususnya pelabur jangka pendek, menjual saham pelaburan mereka dan membawa keluar wang dengan menukarnya ke USD bagi melabur di Amerika Syarikat (AS) atau di dalam sekuriti berasaskan USD. Kesannya bukan sahaja RM menjunam jatuh kadarnya, pasaran saham kita, Bursa Malaysia, juga mengalami penurunan yang serius.

Sebenarnya RM menjadi lemah berbanding dengan USD disebabkan USD dima­nipulasikan di dalam pepe­rangan kewangan antara AS dan Russia. AS cuba menekan Russian Rubble dengan mengukuhkan USD. USD mudah dikukuhkan dengan menaikkan kadar faedah.

Di dalam bulan Mei dan Jun 2022, Federal Reserve (FED) telah meningkatkan kadar faedah sebanyak 125 mata dan FED berikrar untuk meningkatkan lagi sekurang-kurangnya dua kali lagi kadar faedah sehingga 2023. Setiap kenaikan adalah 50 mata.

Alasan mereka ialah ini bertujuan untuk mengawal kadar inflasi yang meningkat di AS melebihi 9.0 peratus. Kadar faedah kini 2.5 peratus dijangka akan dinaikkan menjadi 3.5 peratus di awal tahun 2023. Malaysia juga dijangka melakukan inisiatif yang sama untuk menaikkan kadar faedah dari 2.25 kepada 2.5 peratus pada tahun ini tetapi ia tidak cukup untuk mengekalkan pelaburan asing di dalam pelaburan berpendapatan tetap di Malaysia.

Sebenarnya, walaupun RM menurun berbanding dengan USD namun ia mengukuh berbanding dengan mata wang lain di dunia. Misalnya sejak awal tahun 2022, RM telah meningkat 7.7 peratus berbanding Yen (Jepun), 2.56 peratus berbanding Won (Korea Selatan), 2.22 peratus Peso (Filipina) dan 1.08 peratus berbanding dengan Dolar Taiwan.

BARANG IMPORT
Jadi sebenarnya mata wang RM tidaklah jatuh menjunam dan menjadi nazak disebabkan tindakan AS menaikkan kadar faedah. Ia menjadi lemah disebabkan banyak pelabur asing keluar dengan menjual pelaburan di dalam RM dan menukar kepada pelaburan di dalam USD.

Selain dari menonjolkan kecekapan ekonomi untuk pulih dari kegawatan dengan pertumbuhan memberangsangkan dari tiga peratus di tahun 2020 menjadi 8.9 peratus di suku kedua tahun 2022 dan anggaran enam peratus pertumbuhan bagi keseluruhan tahun 2022, Malaysia perlu menonjolkan polisi pruden di dalam belanjawan, mengurangkan defisit dan pinjaman kerajaan dan menekankan pelaburan di dalam teknologi bagi memesatkan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi keseluruhannya.

Malaysia perlu berani untuk cuba memisahkan diri dari kaitan dan tekanan ekonomi barat ke atas negara kita melalui model kewangan mereka. Malaysia boleh memikirkan untuk kembali ke model ‘Bretton-woods’ sebelum tahun 1970.

Malaysia boleh memperkenalkan semula prinsip sandaran mata wang dengan emas seperti yang diumumkan oleh Russia yang menyebabkan nilai Rubel naik lebih 12 peratus walaupun terus menerus diserang oleh USD. Arab Saudi, China dan Turkiye juga sedang di dalam proses yang sama untuk keluar dari tekanan sistem kewangan berasaskan USD ini.

Malaysia boleh menukar rizab mata wang asing yang melebihi RM400 billion di dalam bentuk USD menjadi emas. Ini akan mengukuhkan mata wang ini dan memastikan kita tidak dijerat oleh sistem dollar Amerika yang secara tidak langsung menjadikan kita terlalu bergantung kepada kekukuhan USD.

Walaupun mata wang Malaysia jatuh lebih rendah dari tahap terendah waktu krisis kewangan 1997 dahulu tetapi ia tidak bermakna Malaysia telah terbenam jauh di dalam kegawatan. Banyak lagi negara yang jauh lebih teruk mengalami kesan tindakan AS mengukuhkan matawangnya.

Malaysia perlu kurangkan penekanan terhadap kesan mata wang yang merosot dengan mengurangkan pergantungan terhadap barangan impot dan cuba mengatasi masalah dalaman peningkatan kos sara hidup yang menjadi lebih kritikal dalam jangka pendek sementara merancang langkah jangka panjang untuk berpisah dari sistem kewangan barat yang dikuasai oleh AS.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Barjoyai Bardai adalah pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×