Kesedaran penjagaan kesihatan kanak-kanak yang semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa, menggalakkan ramai usahawan menceburkan diri dalam bidang penghasilan produk bayi dan kanak-kanak.
Audelia Naturals antara jenama produk bayi dan kanak-kanak, yang tidak asing lagi di pasaran.
Terkenal sebagai pembekal minyak pati yang selamat untuk bayi dan kanak-kanak, ia dihasilkan daripada ramuan semula jadi.
Ketua Pegawai Pemasaran Audelia Naturals, Noor Inora Noorzainy berkata, ilham menghasilkan pati minyak yang selamat untuk kanak-kanak terlahir daripada tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.
Menyedari cabaran dihadapi dirinya serta golongan ibu, kata Inora, produk dihasilkan itu mampu membantu ibu bapa menjaga anak-anak mereka dengan lebih baik.
“Jenama ini diasaskan pada 2018 ketika saya pun baru lepas bersalin. Saya menggunakan minyak pati untuk anak tetapi mendapati agak leceh kerana perlu dicairkan dahulu dengan minyak pembawa lain supaya sesuai digunakan.
“Dari situ saya terfikir mengeluarkan sendiri produk minyak pati yang telah dicairkan dan sesuai untuk digunakan pada kulit bayi,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran wajah baharu produk berkenaan baru-baru ini.
Wajah baharu
Pelancaran semula wajah baharu itu bagi memberi nafas lebih segar kepada produk yang mendapat permintaan paling tinggi iaitu Baby Shield, Bedtime, Happybelly dan sniffles yang mempunyai fungsi memberikan kelegaan kepada masalah yang sering dihadapi bayi seperti susah tidur lena dan ketidakselesaan perut.
Katanya, kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan memberikan keselesaaan kepada anak-anak kecil juga merupakan antara faktor membuatkan produk berkenaan mendapat permintaan memberangsangkan.
Kali pertama dipasarkan sebanyak 10,000 botol pada 2018 lalu menyaksikan semuanya habis terjual dalam masa seminggu sahaja.
Bahan semula jadi
Memastikan ia selamat digunakan, jenama berkenaan memberikan perhatian serius terhadap bahan digunakan.
Antara bahan utamanya adalah Lavender, Daun pudina dan Eucalyptus Radiata.
“Ramai kata daun pudina tidak selamat untuk bayi tetapi kami gunakan yang sudah dicairkan.
“Kami turut menyarankan ibu bapa untuk melakukan patch test atau menyapukan sedikit sahaja dahulu pada bahagian kulit bayi untuk mengenalpasti sebarang reaksi pada kulit bayi memandangkan setiap kulit bayi tidak sama,” katanya.










