UPNM, ACITE Angola jalin kerjasama pertahanan, keselamatan

UPNM, ACITE Angola jalin kerjasama pertahanan, keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Academia de Ciências Sociais e Tecnologias (ACITE), Angola membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang pertahanan, keselamatan dan teknologi termasuk keselamatan siber serta maritim.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Surat Penyataan Niat (LOI) yang menjadi asas kepada pelaksanaan penyelidikan dan penyeliaan bersama, pertukaran kepakaran, program pendidikan dan latihan serta pembangunan kapasiti antara kedua-dua institusi.

Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan potensi hubungan strategik Malaysia-Angola dalam memperkukuh keupayaan kedua-dua negara menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

“Kerjasama ini bukan sekadar pertukaran akademik, tetapi satu jambatan strategik antara Malaysia dan Angola dalam memperkukuh pendidikan pertahanan, keselamatan dan pembangunan kepakaran.

“Yang lebih penting, kita mahu kerjasama ini menghasilkan program yang nyata, khususnya dalam penyelidikan, pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran, sebelum dikembangkan ke arah Memorandum Persefahaman (MoU),” katanya ketika menerima lawatan rasmi delegasi ACITE di UPNM, semalam. 

Arman berkata, antara bidang berpotensi dikembangkan menerusi kerjasama itu ialah keselamatan siber dan rangkaian, pengurusan krisis, kepimpinan strategik, keselamatan maritim serta hubungan antarabangsa.

Katanya, kerjasama berkenaan sekali gus membuka peluang kepada perkongsian kepakaran dalam menangani ancaman keselamatan rentas sempadan.

“Kerjasama turut membawa dimensi Kerjasama Selatan-Selatan dengan kedua-dua institusi berpotensi menjadi penghubung antara kepakaran pendidikan pertahanan Malaysia dengan keperluan pembangunan kapasiti Angola.

“Hubungan ini memberi peluang kepada kita untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran, di samping membuka jaringan baharu UPNM di benua Afrika melalui pendidikan tinggi, pertahanan dan keselamatan,” katanya.

Delegasi ACITE diketuai Rektornya, Dr. Pedro Bengue turut mengadakan perbincangan strategik bersama pengurusan UPNM bagi memperincikan potensi pertukaran akademik, penyelidikan dan penerbitan bersama, seminar pertahanan serta program pembangunan kapasiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×