‘Banyak kali ajar pun tak faham-faham?!’‘Malas! tu yang susah nak belajar!’ banyak lagi kata-kata yang mengguris hati kanak-kanak yang lambat dalam pembelajaran. Sama ada ketika membaca, mengira atau menulis, mereka mengalami tekanan emosi yang sukar difahami.
Kekeliruan antara ‘b’ dan ‘d’ dan ‘p’ adalah ‘q’ menyebabkan kanak-kanak ini kerap diperli atau dimarahi kerana kekurangan dimiliki.
Ciri-ciri demikian sering dihadapi mereka dengan masalah disleksia namun ia lebih mencabar apabila masalah itu tidak difahami oleh ahli keluarga, dan gagal dikesan oleh guru pada peringkat sekolah.
Tahukah anda bahawa orang-orang terkenal seperti Albert Eistein, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, penulis Hans Christian Anderson, pelakon Tom Cruise dan Orlando Bloom adalah orang yang mempunyai disleksia?
Menurut Pakar Kanak-kanak KPJ Batu Pahat Specialist Hospital, Dr. Sulokchana Alagan, ibu bapa berperanan penting dalam mengesan awal atau diagnosis awal perkembangan anak-anak mereka
“Pengesanan awal oleh pakar kanak-kanak membantu penghidap disleksia dalam proses pembelajaran dan mereka boleh berjaya dalam kehidupan,” katanya kepada Seri.
Disleksia adalah satu masalah pembelajaran khusus. Masalah asas bagi kanak-kanak yang mengalami disleksia adalah masalah neurobiologi atau berkaitan fungsi otak menghubungkan diantara simbol visual dan bunyi.
Penghidap akan mengalami kesukaran dalam membaca, mengira, menulis, mengeja dan memahami. Mereka juga akan mengalami masalah dalam pengurusan diri dan sosial yang menyebabkan rasa rendah diri dan suka menyendiri jika tidak dirawat dari awal.
“Sebelum diagnosa disleksia dibuat, kadang kala kanak-kanak perlu menjalankan ujian pendengaran, penglihatan atau ujian IQ untuk memastikan pelajar bukan slow learner atau lewat perkembangan global,” jelasnya.
Menurut Dr Sulokchana, membaca adalah sinonim dengan penghidap disleksia. Mereka akan membaca tergagap-gagap dan membaca dengan intonasi berbeza tanpa menghiraukan tanda baca.
Ini kerana mereka mungkin keliru atau sukar mengenal huruf berbentuk seakan sama seperti ‘m’-‘w’, ‘y-g-j’, ‘u’-‘n’, ‘m’–‘n’, ‘c’–‘e’, ‘p’–‘q’, ‘h’– ‘n’ dan ‘b’-‘d’.
Begitupun, keistimewaan kanak-kanak ini boleh diasah dengan pembelajaran khusus yang betul dan juga mendapatkan bantuan terapi dari speech therapy dan occupational therapy.
“Ibu bapa mempunyai anak-anak disleksia tidak perlu risau kerana boleh mendapatkan khidmat nasihat dan perkongsian dari kumpulan sokongan seperti Persatuan Dyslexia Malaysia,” jelasnya.










