SEJAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke Penjara Kajang untuk memulakan hukuman penjara 12 tahun setelah rayuan beliau untuk mengetepikannya, selain denda RM210 juta ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu banyak pendapat telah dikemukakan oleh pelbagai pihak mengenai kewajaran beliau diberikan pengampunan.
Di pihak UMNO, satu majlis Taklimat Khas oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung di Dewan Merdeka, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Ogos khusus untuk membicarakan nasib yang menimpa Najib.
Seperti kata Ahmad Zahid, “Apabila watak-watak utama tidak ditampilkan, bukti baharu tidak diterima dan penangguhan tidak dibenarkan ekoran pertukaran peguam baru, maka wujudlah pelbagai persepi yang menjurus kepada tanggapan wujudnya perbicaraan yang tidak adil”.
Ekoran itu, Ahmad Zahid menyeru ahli-ahli UMNO yang hadir di dalam majlis itu supaya bersedia memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan kepada Najib di mana mereka akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menilai dan melaksanakannya kelak.
Pada hari yang sama, seorang pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof telah membuat gesaan supaya semua pihak menghormati had dan peraturan berkaitan kuasa pengampunan dan tidak mencemari institusi Istana dengan desakan bagi memberikan pengampunan kepada mana-mana individu yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Mengikut Muhammad Fathi, pengampunan segera kepada pesalah yang baru dijatuhi hukuman jenayah bukan satu pilihan yang munasabah kerana jika ia diberikan maka kesemua proses siasatan, pendakwaan dan perbicaraan yang panjang dan rumit melibatkan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), pendakwa raya dan beberapa peringkat mahkamah menjadi sia-sia dan tidak bermakna.
Beliau menyebut bahawa pengampunan segera, jika diberikan kepada pesalah, boleh dianggap sebagai satu tindakan memperkecilkan peranan institusi penguatkuasaan, perundangan dan kehakiman dalam negara. Sebaliknya, situasi yang mungkin mewajarkan pengampunan hanyalah seperti apabila pesalah telah menjalani hukuman yang setimpal, menginsafi kesalahannya dan berkelakuan sangat baik sepanjang menjalani hukuman.
Simpul beliau, kuasa pengampunan adalah kuasa istimewa yang hanya wajar dilaksanakan berteraskan prinsip yang kukuh dan melalui kaedah yang adil, telus dan berwibawa. Kuasa pengampunan ini tidak boleh tunduk kepada kuasa politik. Kita tidak mahu lagi tanggapan bahawa pesalah dari kalangan ahli politik akan berpeluang untuk bebas semata-mata kerana partinya menguasai kerajaan.
Lebih autoritatif lagi adalah pandangan panjang lebar bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam rencana beliau pada 7 September lalu mengenai petisyen pengampunan yang telah difailkan oleh Najib pada 2 September 2022.
Mengikut Abdul Hamid, Najib tidak wajar diberikan pengampunan segera kerana kes Najib berbeza dengan kes Datuk Harun Idris, Datuk Mokhtar Hashim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dalam ketiga-tiga kes ini mereka kesemua telah menjalani sebahagian besar atau beberapa tahun hukuman penjara, barulah permohonan pengampunan dibuat dan diberi.
Ini berbeza dengan Najib yang baru sahaja menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos lalu.
Perbezaan kedua adalah dari sudut besar kecilnya kesalahan mereka kerana kesalahan Najib dikatakan adalah lebih besar kerana ia melibatkan kewangan negara.
Tegas Abdul Hamid, jika pengampunan diberi kepada Najib dalam masa terdekat maka ini akan menjadikan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini bahan ketawa di dunia.
“SPRM menghabiskan bertahun-tahun menyiasat, pendakwa raya menghabiskan berbulan-bulan mengkaji kertas siasatan, bertahun-tahun hakim-hakim membicara dan mendengar rayuan lepas rayuan, merekod, menyemak dan mengkaji beribu-ribu halaman keterangan dan dokumen, mendengar berpuluh-puluh orang saksi dan menulis beratus-ratus halaman alasan penghakiman, satu dua bulan selepas tertuduh disabitkan dan dihukum penjara berpuluh-puluh tahun dan didenda beratus-ratus juta atau berbilion, tanpa terpaksa melakukan apa yang disebut itu semua, ahli-ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu ayat mengampun sabitan dan hukuman itu! Perlukah saya berkata apa-apa lagi? Bayangkanlah sendiri,” tulis Abdul Hamid.
PENGASINGAN KUASA
Sekalipun jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Abdul Hamid juga berpendapat bahawa pengampunan belum boleh diberi kepada Najib kerana precedent yang diwujudkan oleh kes Anwar itu tidak patut diikuti untuk mengelak pemimpin-pemimpin yang korup, menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang negara dan penjenayah daripada berkuasa atau berkuasa semula dan mengelak hukuman.
Ia juga dikatakan perlu untuk mengelak ahli-ahli politik daripada memperalatkan Raja Berperlembagaan dan Lembaga Pengampunan untuk membolehkan pemimpin seperti itu berkuasa atau berkuasa semula kerana itu bukanlah tujuan Lembaga Pengampunan diadakan.
Sehubungan itu, ramai sekali tokoh-tokoh negara, malah rakyat biasa yang memuji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas titah Baginda sempena majlis perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang pada 5 September lalu.
Titah Seri Paduka: “Prinsip keadilan menurut Islam; adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan. Justeru, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.”
Seterusnya, Seri Paduka bertitah lagi: “Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda. Akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa. Maka, titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.”
Sesungguhnya Malaysia amat bernasib baik kerana mempunyai gabungan Yang di-Pertuan Agong yang amat memahami prinsip keadilan yang sebenarnya serta Perdana Menteri yang amat menghormati prinsip pengasingan kuasa.
Bersama-samalah kita maju ke hadapan untuk kepentingan semua rakyat, bukan untuk kepentingan mana-mana individu.-UTUSAN
DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh adalah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)










