Kawasan belakang rumah yang dahulunya dipenuhi semak-samun, bertukar wajah menjadi kebun yang kini menjadi sumber makanan dan pendapatan buat komuniti Garden 8, Taman Perwira, Gombak di ibu kota.
Kebun hasil usahasama penduduk dan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu pada awalnya hanya diusahakan lapan buah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) September tahun lalu. Kini ia bertambah kepada 36 buah rumah.
Perkembangan itu adalah hasil kerjasama komuniti setempat mengenai idea berkebun belakang rumah.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, pengenalpastian isu dan permasalahan dihadapi komuniti setempat menjadi titik tolak bagi merancang sesuatu program dan aktiviti yang akan dilaksanakan.
“Hal ini bagi memastikan setiap program dilaksanakan memberikan impak besar kepada komuniti dan menepati kehendak komuniti.
“Program pemindahan ilmu ini bermatlamat meningkatkan pengetahuan komuniti dan penglibatan pegawai UPM untuk membantu mengatasi masalah berkebun,” katanya.
Penghujung Ogos lalu UPM mengiktiraf Garden 8 sebagai Rakan Kebun Komuniti dan diletakkan di bawah salah satu inisiatif universiti berkenaan melalui Program Pembangunan Komuniti Pertanian Angkat (Zon Tengah).
Pasar hujung minggu
Wakil Garden 8, Abdul Latif Mohamed berkata, kebun itu memberi contoh dan inspirasi sebagai hasil kesepakatan jiran tetangga membawa berkat.
“Lokasi ini berjaya mengaplikasikan ilmu dikongsikan pegawai di UPM sehingga mampu menghasilkan sumber makanan untuk keperluan sendiri dan komuniti setempat melalui Program Sunday Market yang diadakan sebulan sekali pada setiap minggu akhir,” katanya.
Pelbagai jenis tanaman diusahakan di situ, antaranya terung, cili, sawi dan tanaman herba.
Ada beberapa tanaman yang jarang dilihat terdapat di kebun berkenaan seperti kacang itik, kacang batik dan habanero.
Pemandangan lebih indah apabila ia turut diselang-seli dengan kepelbagaian tanaman bunga-bungaan menyerikan lagi kebun berkenaan.
“Kawasan belakang rumah yang dahulunya tidak terurus kini berubah landskap menjadi kebun yang bukan sekadar sumber makanan segar dan selamat, tetapi merangkumi pelbagai fungsi seperti taman mini rekreasi, pendidikan, mengamalkan kitar semula dan merapatkan ukhuwah sesama jiran,” katanya.
Antara program pemindahan ilmu UPM dikongsikan kepada warga Garden 8 ialah demonstrasi penanaman sayur berdaun dan pengurusan kompos dari sisa dapur, demonstrasi pengurusan dan kawalan serangga serta pengurusan tanaman cendawan tiram.
Perkongsian ilmu berkaitan asas pengurusan ternakan kelulut, karnival Garden8 dan menyediakan set sistem pengairan secara automatik yang lebih efisien dengan penggunaan teknologi pintar turut diadakan.
Perkongsian ilmu penanaman turut melibatkan pegawai Fakulti Pertanian, Pusat Pertanian Putra dan Cirnet.
Sempena Majlis Perasmian Fasa 4 Kebun Komuniti Garden 8 baru-baru ini, UPM turut menyumbangkan tiga unit log kelulut spesies Heterotrigona itama kepada komuniti Garden 8 untuk mewujudkan ekosistem semulajadi yang lebih lestari sebagai agen pendebungaan.
Sumbangan itu juga sebagai tanda sokongan universiti bagi meningkatkan lagi motivasi dan semangat warga komuniti Garden 8 untuk terus bercucuk tanam dan menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia.










