Keropok ikan merupakan antara makanan yang popular di kebanyakan negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brunei.
Malah, sumbangan keropok ikan kepada jumlah produk makanan proses berasaskan ikan di Malaysia adalah sebanyak lebih kurang 30 hingga 40 peratus.
Biarpun sajiannya nampak ringkas, namun sebenarnya penghasilannya agak rumit dan memakan masa bagi pengusaha-pengusaha besar.
Terutamanya ketika proses mendapatkan isi ikan yang masih memerlukan tenaga kerja manual dan buruh mahir.
Adakalanya pengusaha juga perlu membeli isi ikan kerana agak rumit untuk dihasilkan sendiri selain memerlukan tenaga buruh untuk menyiang ikan.
Bagi mengatasi permasalahan itu, lima orang penyelidik dari tiga buah institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kolej TATI (UCTATI) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berganding bahu menghasilkan mesin siang ikan.
Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Norizah Mhd. Sarbon berkata, mesin semi-automatik bagi pembuangan isi perut dan pemotongan kepala ikan itu, direka khas untuk mendapatkan isi ikan.
“Reka bentuk mesin semi-auto ini melalui proses permohonan pendaftaran sebagai Harta Intelek di bawah kategori Paten dan Rekabentuk Industri.
“Projek ini melibatkan kolaborasi bersama pengusaha keropok tempatan iaitu KMT Food Manufacturing Sdn. Bhd. dan diselaraskan oleh Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri, UMT,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Inovasi berkenaan dibangunkan dengan dana berjumlah RM140,000 daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah geran penyelidikan Public-Private Research Network 2.0.
JIMAT TENAGA KERJA
Mengulas lanjut mengenai keperluan mewujudkan inovasi baharu dalam industri keropok ikan, Norizah berkata, tidak dinafikan sebelum ini telah terdapat beberapa mekanisasi dan inovasi dibangunkan seperti mesin pencuci, mesin pembuangan tulang (deboner) dan mesin pengisar.
Namun, katanya, masih terdapat kekurangan teknologi yang perlu ditambahbaik terutamanya dalam penghasilan isi ikan untuk tujuan pemprosesan keropok.
“Sehingga kini, pengeluar keropok ikan masih menggunakan kaedah manual untuk menyiang ikan di mana tenaga buruh diperlukan untuk mengeluarkan isi perut ikan serta memotong kepala ikan.
“Perkara ini merupakan cabaran yang perlu dilalui oleh kebanyakan pengusaha dalam membangunkan perniagaan mereka,” jelasnya.
Justeru, bagi mencapai matlamatnya, mesin berkenaan ditempatkan di kilang pemprosesan isi ikan di Kampung Baru Merang, Setiu.
Rekabentuk mesin berkenaan dapat mengurangkan sebahagian keperluan kos buruh di samping meningkatkan produktiviti penghasilan isi ikan.
“Pembinaan mesin ini adalah satu usaha murni penglibatan institusi pengajian tinggi dalam membantu masalah dihadapi komuniti setempat serta mengeratkan hubungan dua hala antara keduanya,” kata Norizah.










