Hukuman Najib tidak jejas UMNO/BN

Hukuman Najib tidak jejas UMNO/BN

PENYOKONG dan pengikut setia termasuk dalam kalangan orang Melayu melihat Najib Tun Razak telah dianiaya dari segi politik dan tidak mendapat pengadilan secukupnya dalam kes mahkamah. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dalam kes SRC International Sdn Bhd. Keputusan mahkamah ini menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama dihukum penjara atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Melihat kepada prosiding mahkamah yang dilalui Najib melebihi dua tahun itu menunjukkan beliau Najib telah diberikan ruang dan peluang secukupnya untuk membela diri dengan barisan peguam yang terkenal dan cukup berpengalaman. Najib kini mengharapkan laluan terakhir untuk bebas daripada perintah hukuman, iaitu mendapatkan pengampunan diraja.

Sayugia diingat, Najib masih mempunyai beberapa kes lagi membabitkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Ini mungkin menyukarkan Najib memperoleh pengampunan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Persoalannya, adakah hukuman yang dihadapi Najib itu akan memberikan kesan politik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)? Apakah kesan negatifnya lebih dominan berbanding kesan postif?
Pada hemat saya, hukuman yang dijalani Najib tidak banyak memberi kesan buruk kepada UMNO/BN pada PRU15 nanti. Ini disebabkan majoriti rakyat melihat Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari parti UMNO telah menunjukkan sikap tidak campur tangan dalam keputusan dibuat oleh mahkamah Tinggi.

Sikap tidak campur tangannya ke atas kuasa kehakiman memberikan keyakinan kepada pelbagai pihak dan rakyat bahawa Ismail dan pasukannya mampu memulihkan kembali imej UMNO yang telah dicemari kesan daripada salah laku beberapa pemimpinnya yang dituduh menyalahgunakan kuasa dan terpalit dengan isu rasuah. Pada PRU14, isu yang tepalit ke atas Najib telah dimanipulasi sepenuhnya oleh Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan imej buruk kepada UMNO/BN gabungan parti itu yang sudah lebih 60 tahun memerintah kalah teruk.

Menjadikan hukuman Najib sebagai modal untuk menyerang UMNO/BN dalam PRU15 dilihat tidak begitu berkesan. Ini disebabkan rakyat tidak lagi termakan dengan isu itu kerana Najib telah pun menerima hukumannya.

Mungkin musuh-musuh politik akan cuba menjadikan modal hukuman yang dihadapi Najib sebagai bukti bahawa UMNO/BN memang parti yang terbukti rosak kerana penyelewengan yang dilakukan oleh beberapa pemimpin besarnya. Ini termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga sedang berdepan pertuduhan di mahkamah berkaitan beberapa kes penyelewengan dan rasuah.

Walaupun Ahmad Zahid belum dibuktikan bersalah tetapi persepsi buruk terhadapnya meningkat setelah Najib dikenakan hukuman pemenjaraan. Musuh-musuh politiknya mengharapkan Ahmad Zahid juga akan menerima nasib sama seperti Najib.

LCS
Selain itu, kes rasuah lain dan skandal pemerolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) oleh Kementerian Pertahanan juga akan digunakan sepenuhnya oleh pembangkang untuk menang pada PRU akan datang.
Apa pun, pada hemat saya, hukuman yang dikenakan ke atas Najib tidak banyak meningkatkan sokongan terhadap PH, sebuah gabungan politik yang dikatakan berjanji untuk mengurangkan rasuah dan membela rakyat.

Namun, beberapa kes mahkamah yang masih dihadapi Najib boleh menjejaskan peluangnya untuk mendapatkan pengampunan dalam masa terdekat. Sudah tentu musuh-musuh politik Najib, sekali gus musuh politik UMNO/BN mengharapkan Najib akan kekal menjalani hukuman pemenjaraan. Justeru, wujud usaha pihak tertentu dalam kalangan pemimpin parti politik pembangkang yang melancarkan petisyen dalam talian bagi menggesa Yang di-Pertuan Agong agar tidak memberi pengampunan kepada Najib.

Ini membuktikan bahawa mereka bimbang sekiranya dibebaskan dengan pengampunan diraja maka Najib akan dapat berpartisipasi dalam politik dan ini akan memberi cabaran cukup kuat kepada musuh-musuh politik UMNO/BN.

Sekiranya diandaikan Najib tidak mendapat pengampunan diraja, UMNO/BN masih boleh menyandarkan harapan kepada kepimpinan Ismail yang dilihat berupaya untuk menarik sokongan rakyat. Sentimen rakyat yang ada buat masa ini dilihat cenderung untuk memenangkan UMNO/BN dalam PRU akan datang. Memang tidak mudah untuk Najib kembali sebagai Presiden UMNO atau Perdana Menteri kerana perebutan ke jawatan ini agak sengit.

Sebelum ini Najib menjadi Presiden UMNO dari 2009 hingga 2018.

Namun, Najib dilihat masih boleh memainkan peranan penting sekurang-kurangnya untuk PRU15. Apatah lagi, anak lelaki Najib dikatakan akan bertanding di kerusi Parlimen Pekan bagi menggantikannya.

Sekiranya Najib mendapat pengampunan sebelum PRU akan datang, sudah tentu beliau akan memainkan peranan aktif bagi memastikan anaknya menang, sekali gus membantu UMNO/BN kembali ke tampuk kuasa. Apa pun, pada sisi lain jika UMNO mahu menampilkan imej pemulihan adalah baik Ismail dan pemimpin yang lain menjauhkan diri daripada Najib supaya keyakinan rakyat berada pada tahap tinggi. Ia juga mampu untuk menarik pengundi atas pagar.

Namun, ia bukan mudah kerana pengaruh blok penyokong setia Najib tidak boleh diketepikan dan jika ini cuba diketepikan maka boleh memecahkan UMNO. Penyokong dan pengikut setia termasuk dalam kalangan orang Melayu melihat Najib telah dianiaya dari segi politik dan tidak mendapat pengadilan secukupnya dalam kes mahkamah. Justeru, pemimpin UMNO mesti bijak dalam mengatasi isu-isu kepemimpinan seperti ini.

UMNO juga dilihat akan mendapat pengaruh yang kuat jika konsep Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat dipertahankan dan berfungsi dengan baik pada PRU akan datang.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya