DALAM keterujaan menyambut Hari Malaysia, alangkah baik jika kita merenung kembali sejarah pembentukan negara. Sejarah mengajar kita mengenali siapa diri kita agar menjadi lebih bijak dan matang. Jangan sesekali alpa dengan sejarah asal usul negara bangsa kerana itulah asas pembentukan jati diri anak watan.
Hari Malaysia amat besar ertinya kerana ia ialah titik yang menyatukan kesemua negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak di bawah Persekutuan Malaysia. Maka ia merupakan lambang penyatuan dan kebersamaan kita sebagai rakyat, sehati dan sejiwa dalam mempertahankan kedaulatan negara. Negara terbentuk dengan hasil daripada hasrat murni, kebijaksanaan serta kerja keras pemimpin-pemimpin terdahulu.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah merangka dan mengatur segala perancangan dengan begitu teliti dan berhati-hati. Beliau maklum akan timbul bantahan daripada Indonesia dan Filipina terhadap penyatuan ini. Tambahan pula ketika itu, Persekutuan Tanah Melayu baharu sahaja dibentuk.
Pada waktu sama, keselamatan negara serta kawasan serantau sedang diancam komunis. Namun, hasil kesepakatan dan semangat kesatuan pemimpin kita, maka akhirnya terbentuklah Malaysia pada 16 September 1963.

SUMBANG
Ketika itu, kita berazam dan berikrar untuk bersama-sama menempuh panas dan hujan demi negara tercinta. Bukan sedikit nyawa terkorban dalam usaha mempertahankan negara.
Namun setelah berjaya, timbul pula suara-suara sumbang yang menghasut supaya benci-membenci dan berpecah-belah.
Persoalannya, kalau dahulu boleh bersatu hati, kenapa setelah sekian lama bersama, kita harus bercakaran?
Sememangnya, bukan mudah untuk membentuk serta mengekalkan perpaduan berbilang kaum. Namun, berkat sikap toleransi dan mahabbah sesama rakyat, kita berjaya hidup dengan penuh harmoni.
Malangnya ada dalam kalangan kita sudah termakan hasutan daripada pihak yang gigih berusaha mencetuskan sentimen orang Sabah, orang Sarawak dan orang Semenanjung. Walhal, sentimen sebegini tidak patut timbul. Kita tidak mahu kedamaian dan kesejahteraan yang dinikmati kini terjejas hanya dek hasutan serta percaturan sesetengah pihak. Jadikan kerosakan yang berlaku di negara luar sebagai pengajaran dan iktibar.
Semua anak negeri berhak menzahirkan semangat kenegerian, namun, sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mendahulukan rasa cinta kepada negara serta mempunyai semangat kewatanan yang tinggi.
Pemimpin yang baik dan bertanggungjawab harus mendahulukan negara, bukannya memperjudikan nasib rakyat demi kuasa politik.
Saya sangat menghormati sikap dan prinsip Tun Abdul Rahman Ya’kub yang mengangkat semangat kenegaraan sebagai asas perjuangan. Hindarilah sikap keakuan dan jangan hidup seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita rakyat satu negara, hidup kita bagai aur bergantung ke tebing, bagai tebing bergantung ke aur.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










