Bidaahkah qunut, salam selepas solat? - Utusan Malaysia

Bidaahkah qunut, salam selepas solat?

Sekiranya konsep difahami dengan baik, tidak akan timbul sikap membidaahkan amalan berqunut dan amalan bersalaman selepas solat di Malaysia yang majoriti penduduknya bermazhab al-Imam al-Syafi’iyy. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umumnya masyarakat Malaysia dari sudut aqidah adalah bermazhab dengan mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy dan menganut fikah aliran mazhab al-Imam al-Syafi’iyy.

Menjadi kebiasaan apabila hukum-hakam berdasarkan mazhab al-Imam al-Syafi’iyy dilakukan secara meluas dalam ibadat sehari-hari. Bersalaman sesama jemaah selepas solat fardu juga jadi kebiasaan.

Namun kadangkala timbul tanda tanya dalam kalangan masyarakat Islam apabila amalan berqunut pada solat Subuh dan bersalaman selepas solat fardu dianggap sebagai amalan lemah dan tidak menepati Sunnah Rasulullah SAW.

Berqunut adalah Sunnah
Ulama fikah mempunyai perbezaan pandangan dalam menentukan status berqunut pada rakaat kedua solat Subuh. Menurut mazhab al-Imam al-Syafi’iyy, ia merupakan sunnah Rasulullah SAW.

Menurut pandangan al-Imam al-Nawawiyy di dalam kitab beliau al-Majmu’, pandangan mengatakan sunat berqunut setiap hari di dalam solat Subuh sebenarnya adalah pandangan majoriti atau pandangan ramai ulama salaf.

Menurut al-Imam al-Nawawiyy, antara para sahabat Rasulullah SAW yang berqunut dalam solat Subuh adalah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina ‘Aliyy, Saidina ‘Abdullah bin ‘Abbas dan Saidina al-Baro bin ‘Azib, sebagaimana diriwayatkan al-Imam al-Bayhaqiyy dengan sanad-sanad sahih.

Dalil yang menjadi pegangan al-Imam al-Syafi’iyy dan ulama yang bersependapat dengan beliau adalah hadith yang ke-1717 yang diriwayatkan al-Imam al-Daroqutniyy di dalam Sunan beliau menerusi sanad beliau: Daripada (Saidina) Anas bahawa sesungguhnya Nabi SAW berqunut selama sebulan dalam keadaan baginda telah mendoakan kehancuran buat mereka (yang para sahabat baginda di dalam tragedi pembunuhan Bir al-Ma’unah di dalam qunut tersebut). Kemudian baginda meninggalkan qunut tersebut. Adapun di dalam (solat) Subuh, baginda terus-menerus berqunut sehinggalah baginda berpisah dengan dunia.

Menurut al-Imam al-Nawawiyy, hadith di atas adalah hadith sahih sebagaimana dinyatakan sekumpulan ulama hadith. Atas dasar kesahihan hadith ini, ulama mazhab Malikiyyah dan Syafi’iyyah telah mengamalkan doa qunut dalam solat Subuh sekalipun mazhab al-Imam Malik berpandangan bahawa qunut di dalam rakaat kedua solat subuh dibaca sebelum seseorang rukuk manakala mazhab al-Imam al-Syafi’iyy berpendapat bahawa qunut dibaca selepas selesai iktidal rakaat kedua.

Pandangan mengatakan tiada qunut dalam solat Subuh
Para ulama dari aliran mazhab al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Ahmad pula berpandangan bahawa tiada pensyariatan qunut dalam solat Subuh secara berterusan. Mereka berpegang dengan hadith diriwayatkan di dalam Sahih Muslim: Daripada (Saidina) Anas bahawa sesungguhnya Rasulullah telah berqunut selama sebulan dalam keadaan baginda mendoakan kebinasaan kepada beberapa kabilah daripada kabilah-kabilah Arab (yang terlibat dalam tragedi Bir al-Ma’unah). Kemudian baginda meninggalkannya.

Hadith ini secara zahirnya menunjukkan Rasulullah SAW hanya berqunut sementara waktu sahaja iaitu selama sebulan lalu hadith ini menunjukkan bahawa tiada pensyariatan qunut yang berterusan dalam solat fardu Subuh. Walau bagaimanapun hadith ini difahami oleh para fuqaha mazhab al-Imam al-Syafi’iyy bahawa ia hanya membincarakan qunut nazilah iaitu doa khusus dibaca ketika solat apabila umat Islam dilanda malapetaka.

Adapun berqunut secara umum semasa solat Subuh, ia tidak dibicarakan oleh hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim ini, sebaliknya dibicarakan hadith yang diriwayatkan al-Imam al-Daroqutniyy yang dinyatakan sebelum ini.

Bersalaman selepas solat dipermasalahkan
Bersalaman selepas selesai solat berjemaah juga adalah perbuatan dibenarkan Syariat Islam kerana termasuk dalam tuntutan Syarak yang bersifat umum yang meminta agar kita saling bersalaman. Ia berdasarkan hadith yang ke-5213 di Sunan Abi Daud.

Al-Imam al-Nawawiyy di dalam kitab al-Majmu’ 4/633 menjelaskan bahawa apabila dua orang muslim saling bertemu, maka bersalaman ketika itu adalah disunatkan berdasarkan hadith-hadith yang sohih dan Ijma’.

Al-Imam al-Nawawiyy mengulas isu yang berlaku pada zaman beliau dengan:

Bersalaman disunatkan di sisi setiap pertemuan. Adapun apa yang telah menjadi adat manusia iaitu bersalaman selepas solat Subuh dan Asar, maka tidak ada dalil baginya pada Syara’ berdasarkan cara ini. Namun tidak ada salahnya kerana asas bersalam-salaman adalah sunnah. Adapun sikap mereka yang mengkhususkan bersalaman pada sebahagian keadaan dalam keadaan mereka mencuaikannya pada kebanyakan keadaan, pengkhususan ini tidak mengeluarkan sebahagian [bersalaman yang mereka lakukan itu] daripada keadaan bersalaman itu sendiri sebagai perbuatan yang disunatkan.
Di dalam kitab Fatawa al-Romliyy 1/156 dinyatakan bahawa al-Imam Syihab al-Din al-Romliyy pernah ditanya mengenai status tindakan manusia bersalaman selepas mereka selesai melakukan solat adakah sunnah atau tidak?

Lalu imam menjawab bahawa apa dilakukan oleh manusia yang bersalam-salaman selepas solat tidak ada dalil yang menyatakan tentang perkara tersebut secara khusus. Walaupun begitu beliau menyatakan bahawa perbuatan tersebut tidak ada salahnya.

Al-Imam ‘Izzuddin Ibnu ‘Abdissalam di dalam kitab Qawa’id al-Ahkam Fi Masolih al-Anam 2/205 pula berpandangan bersalaman setiap kali selesai solat fardu Asar dan Subuh adalah termasuk dalam bidaah dibenarkan (Mubahah) sekalipun ia tidaklah disunatkan. Al-Imam Ibnu ‘Abidin yang bermazhab Hanafiyy menukilkan bahawa sebahagian fuqaha mazhab al-Imam Abu Hanifah berpandangan bersalaman secara khusus selepas solat adalah dimakruhkan dengan alasan bahawa tindakan ini boleh menyebabkan orang jahil beranggapan bersalaman selepas solat, wajib dilakukan.

Meraikan perbezaan pandangan Fikah
Isu ini hanya contoh kepada sekian banyak permasalahan fikah yang menjadi topik kajian ulama fikah. Maka apabila sesuatu masalah mempunyai kepelbagaian pandangan, konsep yang perlu diterapkan adalah: Masalah Khilaf Fuqaha Tidak Boleh Diingkari.

Ia mengajar kita bahawa tidak sepatutnya bila seseorang sudah berpegang dengan pandangan fikah tertentu, ada pula pihak lain menyalahkan tindakannya dengan alasan bahawa dalil golongan lain, lebih kuat.

Sekiranya konsep ini difahami dengan baik, tidak akan timbullah sikap membidaahkan amalan berqunut dan amalan bersalaman selepas solat di Malaysia yang majoriti penduduknya bermazhab al-Imam al-Syafi’iyy.

————————-
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN