Abang bomba sado duta kecil JBPM - Utusan Malaysia

Abang bomba sado duta kecil JBPM

Ada hampir 120 abang bomba sado di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perarakan Merdeka seminggu berlalu, namun kemeriahan acara di Dataran Merdeka itu masih hangat diperkatakan terutama abang bomba sado.

Aksi menayangkan tubuh kekar dan biseps ketika perarakan pasukan beruniform mencetuskan fenomena dan tular di media sosial dan turut melonjakkan ‘saham’ warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Walaupun terkejut dengan sambutan luar biasa itu, abang bomba sado memandang positif perkara itu sebagai penghargaan buat institusi kebombaan.

Hingga kini, terdapat hampir 120 abang bomba sado di seluruh negara dengan masing-masing berbeza latar tugas termasuk ada yang berkhidmat di bahagian operasi dan menyelamat di samping kejuruteraan jentera serta keselamatan kebakaran.

Wakilnya Penolong Penguasa Bomba Syazwan Zakaria, 34, berkata, kumpulan abang bomba sado mula diwujudkan pada 2010 lagi dengan ahli paling ramai di Negeri Sembilan, Terengganu serta Selangor.

Impak tular katanya, secara tidak langsung mendekatkan lagi masyarakat dengan JBPM sekali gus dapat mengubah persepsi orang muda dan menarik mereka menyertai pasukan berkenaan.

“Sebelum ini mungkin tidak ramai yang tahu tentang kewujudan kami, sebab itu mereka terkejut melihat penampilan 18 pegawai dan anggota yang memperagakan sembilan jentera, 31 Ogos lalu.

“Tak sangka penglibatan kami tular hingga dapat menaikkan nama jabatan, malah Ketua Pengarah, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid turut memuji dan mahu disiplin serta momentum baik itu diteruskan sebagai duta kecil JBPM,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah baru-baru ini.

Menurut Syazwan, selain perarakan jentera semasa Hari Kebangsaan 2022, rata-rata mereka sebelum ini turut terlibat dalam aktiviti sama pada Sambutan Hari Bomba di Kepala Batas, Pulau Pinang, 22 Mei lalu.

Syazwan yang berkhidmat di JBPM Selangor berkata, berbadan sado memberi kelebihan dalam melaksanakan tugasan kebombaan yang penuh cabaran dan menekankan aspek kekuatan.

Bagaimanapun tegasnya, faktor fizikal itu bukan ukuran penentuan kemampuan anggota bomba, kerana khidmat bakti diberikan kepada masyarakat tidak berbelah bahagi.

“Ketika ini bukan se­mua BBP memiliki anggota dan pegawai sado, jadi saya harap orang ramai dapat me­nerima kehadiran bom­ba dengan sea­danya ketika berlaku sebarang kejadian kecemasan kerana usaha penyelamatan dibuat sehabis baik tanpa mengira saiz tubuh,” katanya.

Dari 46 ke 4,000 pengikut
PEGAWAI Bomba, Muhammad Hafizuddin Mohd. Aznan, 22, pengikutnya di laman TikTok melonjak dari 46 ke 4,341 dek video tular itu.

Malah katanya, hantaran tunggal yang dimuat naik tiga hari lepas yang memaparkan videonya berpakaian uniform turut mendapat lebih 22,000 tanda suka dan 788 komen.

“Saya terharu dengan sokongan padu orang ramai terhadap JBPM dan apabila viral, ramai kawan-kawan sebaya yang bertanya mengenai bomba dan berminat untuk menyertai pasukan,” katanya.

Beliau yang bertugas di BBP Senawang, Negeri Sembilan berkata, sejak kecil dia berminat menjadi bomba dan impian itu direalisasikan apabila berjaya menyertai perkhidmatan pada 2019.

Katanya, semasa awal kerjaya, dia sudah mengetahui tentang kumpulan abang bomba sado dan merupakan naib johan bagi acara Mr. Wonderful tahun ini.

Beliau turut meraih pengiktirafan sebagai Mr. Kluang dan lain-lain pertandingan bina badan.

Dua kali juara Mr. Wonderful
USIA menginjak angka 47, bukan halangan Pegawai Bomba Kanan II, Amir Abu Kassim menjaga kesihatan dengan berbadan kekar.

Malah beliau merupakan antara individu terawal terlibat dalam aktiviti sukan berkenaan ketika acara Mr. Wonderful diwujudkan lapan tahun lalu.

Sehingga kini, Amir meraih hampir 10 pengiktirafan top 3 dalam pelbagai pertandingan bina badan sama ada di pering­kat jabatan mahu pun di luar.

Juara Mr. Wonderful dua kali berturut-turut pada 2016 dan 2018 bagi kategori 60 hingga 70 kilogram ini turut memenangi anugerah badan cantik dalam acara di luar JBPM.

“Pengalaman dimiliki dimanfaatkan dengan melatih anak-anak buah di BBP Senawang hingga membolehkan balai kami memiliki lima abang bomba sado,” katanya.

Amir tidak menafikan kuasa viral turut membuatkan suri hatinya bimbang dengan pengikut terutama wanita yang makin bertambah di laman sosial.

Atlet bina badan
Dianggarkan 60 daripada keseluruhan komuniti abang bomba sado itu merupakan atlet bina badan yang bukan sahaja di peringkat jabatan, malah turut cemerlang dalam pertandingan lain.

Minat bina badan timbul apabila JBPM menganjurkan acara Mr. Wonderful dalam Sukan Bomba (Sukbom) yang dianjurkan sejak 2014.

Platform itu secara tidak langsung meluaskan lagi komuniti mereka. Tempoh selama sejam diperuntukkan setiap hari untuk sesi senaman.

“Kita tidak menetapkan kriteria tertentu untuk menyertai kumpulan abang bomba sado, sebaliknya mengalu-alukan penglibatan lebih ramai lagi asalkan mereka konsisten,” katanya.

Menurut Syazwan, aktiviti membina badan dilakukan di luar waktu tugasan sama ada di gim yang disediakan di jabatan atau premis luar.

“Senaman dilakukan mengikut jadual masing-masing misalnya pada hari Isnin difokuskan pada dada manakala bahagian belakang pada Selasa dan biseps (Rabu).

“Rutin pemakanan pula bergantung kepada individu, ada yang bersarapan dengan oat dan protein tambahan, tidak kurang juga yang mengambil 20 biji telur ayam sehari di samping yang makan seekor ayam dalam satu masa,” katanya.

Mengekalkan keindahan tubuh, Syazwan memperuntukkan kira-kira RM400 sebulan.

“Ia membabitkan RM200 hingga RM300 untuk protein yang boleh tahan untuk tiga bulan manakala daripada segi pemakanan pula sekitar RM200 hingga RM300 sebulan,” katanya.

Model kalender JBPM
KELEBIHAN fizikal memberi peluang Pegawai Bomba Kanan II, Sairul Hafiz Said, 40, ditampilkan sebagai model JBPM.

Aktiviti membina badan mula dilakukan sejak menyertai perkhidmatan itu pada 2010 hingga terpilih sebagai model kalender.

Menurutnya, tugasan di bahagian operasi dan menyelamat BBP Hang Tuah menuntut kecergasan dan berbadan sado memberi lebih keselesaan untuknya mengendalikan setiap tugasan kecemasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×