PORTAL berita digital Universiti Utara Malaysia (UUM), UUM Today dilancarkan, sekali gus mencipta sejarah sebagai portal berita pertama seumpamanya dimiliki universiti awam di negara ini.
Berfungsi untuk menyebar luas maklumat dan berita yang berlaku di dalam kampus dan luar kampus, portal berita digital itu merangkumi berita dalam bentuk teks, web tv dan web radio.
Ia mengandungi tiga komponen utama iaitu bahagian berita digital, pemasaran digital, dan pengurusan acara secara digital.
Komponen berita digital memaparkan berita terkini mengenai UUM dan luar kampus menerusi penggunaan web tv dan web radio, manakala komponen pemasaran digital membantu mempromosi program ijazah UUM, tempat-tempat menarik dan kemudahan infrastruktur universiti.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pemasaran digital diharap mampu menjana pendapatan melalui iklan perniagaan di saluran UUM Today melalui media sosial seperti YouTube, Facebook dan TikTok.
“Komponen pengurusan acara secara digital pula membantu pihak Komunikasi Korporat UUM (UCC) membuat hebahan program dan aktiviti dianjurkan pusat pengajian, pusat-pusat tanggungjawab dan inapan siswa (Inasis) di universiti dengan lebih efisyen dan meluas.
“Seiring perkembangan semasa, fungsi portal berita ini adalah untuk menghasilkan berita kejadian atau yang diperolehi melalui temubual dengan pakar penyelidik di UUM.
“Penulis dan pemberita akan mengumpulkan bahan berita, menulis dan menterjemah berita berkenaan, menyunting dan seterusnya memuat naik ke dalam portal berita,” katanya.
UCC merupakan entiti utama universiti yang bertanggungjawab dalam mengendalikan urusan komunikasi dalaman dan luaran disamping menyebar luas dan mempromosi aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan dilaksanakan di UUM.
Ia bukan sahaja untuk makluman warga kampus tetapi juga masyarakat luar seperti yang dilakukan melalui media konvensional dan media baharu.










