‘Perpaduan ummah dengan siapa lagi?’

‘Perpaduan ummah dengan siapa lagi?’

Khairil Nizam Khirudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hangat diperkatakan, malah ia semakin jelas apabila Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti diluluskan.

Pun begitu pada masa sama, kerap kali menjadi persoalan adalah mengenai kedudukan Pas dalam membawa agenda penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN). Mampukah ia direalisasikan sedangkan UMNO konsisten dengan jawapan mahu bergerak solo dalam PRU15?

Sementara Pas pula secara jelas menolak cadangan ‘khemah besar’ dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang sebaliknya masih meneruskan usaha memfokuskan agenda penyatuan ummah.
Ketua Penerangan Pas, SENATOR IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID baru-baru ini menyatakan usaha berterusan masih tetap dilakukan untuk memujuk UMNO selagi tiada tarikh PRU15.

Malah, usaha tersebut menjadi salah satu agenda penting dalam Muktamar Pas kali ke-68 yang akan berlangsung pada 3 dan 4 September ini di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah.

UTUSAN: Boleh kongsikan agen­da Muktamar Pas tahun ini?
KHAIRIL NIZAM: Kita akan memberi fokus berkaitan hala tuju Pas untuk setahun akan datang terutama dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum dan kemudiannya persiapan jentera.

Kami juga akan memberi fokus tentang bagaimana hu­bungan kita (Pas) dengan parti-parti lain dalam kerjasama politik seperti perpaduan ummah sebagaimana pendirian kami sebelum ini dan kami tetap dengan pendirian itu selain bagaimana menghadapi isu-isu terkini.

Persediaan Pas dalam meng­­hadapi PRU15 yang dijangka pada bila-bila masa?
Alhamdulillah, jentera sudah bersedia dan kita akan buat pelancaran secara besar-besaran sewaktu muktamar nanti.

Pas dilihat terus ‘memujuk’ untuk menjalin kerjasama dengan UMNO? Mengapa masih berharap pada UMNO?
Habis tu, perpaduan ummah ini nak bekerjasama de­ngan siapa?

Tapi kita lihat UMNO menolak kerjasama tersebut dan kekal dengan pendirian mahu bergerak solo?
Usaha masih perlu diteruskan. Usaha itu wajib diteruskan. Itu kerja Pas iaitu berusaha untuk menyatukan ummah. Kita akan terus usaha dan usaha selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar parti.

Pas akan terus menjayakan penyatuan ummah dan memberi fokus bagi memastikan satu lawan satu dalam pilihan raya umum akan datang dicapai. Agenda ini penting bagi mengelak pertembungan seperti yang berlaku pada PRU14 lalu. Kemenangan Pakatan Harapan (PH) jelas menjadi mimpi ngeri buat rakyat dan negara.

Benarkah kata-kata Setia­usaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa tiada sebarang perbincangan antara Pas dan UMNO bagi me­nyuburkan kembali MN?
Kita ada berbincang. Takkan benda-benda gitu kita nak cerita kepada umum.

Kita ada perbincangan tetapi secara tidak rasmi. Kadang-kadang kita jumpa di Parlimen. Bila berjumpa, ada yang dibincangkan. Cuma perbincangan secara rasmi nanti akan disusun kemudian.

Komen mengenai panda­ngan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang hanya mahu bentuk kerjasama dengan Pas selepas PRU15? Bagaimana pula pendirian Pas?
Itu terpulang pada dia. Kita akan usahakan juga selagi ma­na tak sampai pilihan raya. Kita tak tahu apa keadaan politik selepas itu. Macam saya cakap tadi, usaha berterusan akan tetap dibuat.

Sudah ada kata putus mengenai penggunaan logo dalam PRU15?
Penggunaan logo adalah isu taktikal dan strategik. Ia akan dimaklum pada masa akan datang setelah mendapat persetujuan dalam mesyuarat nanti.

Harapan menjelang Muktamar Pas awal September ini?
Seperti biasa, diharap muktamar dapat mencerahkan pemahaman dan menyelaraskan tindakan semua ahli khusus untuk menghadapi suasana selepas ini nanti. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×