Krisis harga makanan ternakan yang semakin meningkat memberikan tekanan kepada penternak yang perlu menanggung kos operasi yang tinggi.
Keadaan itu juga memberikan kesan negatif kepada masyarakat umum kerana peningkatan harga makanan ternakan turut mengakibatkan kenaikan harga daging di pasaran.
Tidak dapat elak, kenaikan harga ternakan antara 20 hingga 30 peratus sejak kebelakangan ini berpunca daripada kenaikan harga bahan mentah import yang digunakan untuk membuat makanan ternakan.
Ia berikutan krisis Rusia-Ukraine yang menjejaskan bekalan dan makanan ternakan di pasaran.
Justeru, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tampil dengan inovasi terbaharu, formulasi pelet makanan lembu pedaging berasaskan bahan domestik iaitu sawit.
Formulasi baharu itu sekaligus mengurangkan pergantungan dan penggunaan bahan mentah yang diimport dengan harga tinggi.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi baharu itu merupakan alternatif untuk menghasilkan makanan ternakan dengan bahan mentah yang lebih mampu milik.
“Teknologi MPOB menggunakan produk sampingan kelapa sawit sebagai bahan utama rumusan pelet makanan tersebut. Formulasi MPOB mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit iaitu dedak isirung sawit (PKC), tandan buah kosong (EFB) dan minyak sawit mentah (MSM).
“Formulasi MPOB merupakan alternatif kepada rumusan berasaskan bahan mentah import yang mahal. Ini kerana bahan mentah berasaskan sawit boleh didapati dalam negara sepanjang tahun,” katanya.
Pelet makanan yang dihasilkan menggunakan formulasi MPOB mengandungi komponen nutrisi lengkap untuk lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien.
Analisa kuantitatif ke atas pelet makanan lembu yang dihasilkan menunjukkan ia mengandungi 4,769 kalori bagi setiap gram yang terdiri daripada kelembapan (7.35 peratus), abu (3.73 peratus), protein kasar (17.30 peratus) dan serat kasar (14.40 peratus).
Harga lebih kompetitif
PENGGUNAAN produk dan produk sampingan sawit dapat mengurangkan kos penghasilan pelet makanan untuk lembu pedaging selain boleh dijual pada harga yang kompetitif di pasaran.
Di samping itu, rumusan berkenaan juga menghasilkan pelet makanan yang mengandungi keperluan nutrien yang lengkap bagi pertumbuhan lembu pedaging.
Penyelidikan yang dijalankan sejak Julai 2019 itu berfokuskan untuk menggunakan biojisim pertanian seperti hasil sampingan sawit bagi penghasilan pelet makanan berkualiti untuk lembu pedaging.
Formulasi pelet makanan lembu pedaging yang terdapat di pasaran menggunakan bahan tunggal hasil sampingan sawit iaitu dedak isirung sawit.
Namun begitu, terdapat bahan berasaskan sawit lain yang sesuai digunakan sebagai bahan mentah dalam catuan ruminan seperti tandan buah kosong (EFB) dan minyak sawit mentah.
“Penggunaan EFB dalam rumusan makanan haiwan ternakan adalah sesuatu yang baharu di pasaran dan berpotensi untuk mengurangkan kos bahan mentah tanpa menjejaskan nilai nutrisi pelet makanan,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, percubaan projek itu menggunakan menggunakan lembu pedaging telah dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) berjaya memberi hasil yang memberangsangkan.










