Nampaknya tahun ini semua jenama telefon bimbit berlumba-lumba mengeluarkan peranti yang mengoptimumkan pengimejan dengan memberikan tawaran penggambaran kurang pencahayaan yang lebih baik.
Antaranya, jenama telefon pintar Oppo yang sememangnya sinonim dengan penawaran gambar yang menarik.
Melalui peranti terbaharunya, Oppo Reno8 Siri 5G, jenama itu menawarkan penggambaran kurang pencahayaan yang lebih baik, malah peranti kelas pertengahan itu turut dilengkapi komponen premium terutamanya cip mercu yang dibangunkan sendiri iaitu MariSilicon X NPU.
Cip MariSilicon X merupakan cip dibangunkan sendiri oleh OPPO dengan fokus terhadap pengimejan.
Ia merupakan cip pengimejan berasaskan perkomputeran neural bersaiz 6 nanometer (nm) yang mampu memberikan imej tajam berasaskan kecerdasan buatan.
Teknologi ditawarkan itu juga mampu 18 trilion operasi sesaat bagi memproses imej yang dirakamkan.
Kelajuan sedemikian membolehkan ia memproses pelbagai data secara pantas yang menggabungkan HDR sehingga 10 Bit dalam format RAW.
Selain itu, gabungan cip pemprosesan Marisilicom X dengan cip sedia ada itu juga mampu meningkatkan butiran rakaman video menggunakan fungsi HDR Fusion serta AI Noise Reduction.
Ia mampu mencegah pencahayaan yang berlebihan di samping mengekalkan tona warna dan cahaya biarpun dalam keadaan gelap.










