Antara tugas manusia sebagai khalifah Allah ialah beribadah kepada Allah. Ini yang disebutkan dalam firman Allah yang bermaksud: “(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (Adz-Dzaariyaat: ayat 56). Orang beriman harus menjaga hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah. Dua bentuk hubungan inilah yang membentuk keperibadian Muslim sebenar.
Apabila seseorang Muslim menjaga hubungan dengan Allah, maka dia akan sentiasa menjaga ibadah dan menjauhkan perkara yang mungkar dan haram. Setiap suruhan Allah baik ibadat khusus atau ibadah umum, akan sentiasa dipelihara demi mencapai reda Allah. Dia juga sangat berhati-hati dalam amalannya takut tergelincir ke arah kemaksiatan dan murka Allah.
Dalam masa yang sama, orang Islam wajib menjaga hubungan sesama manusia dengan menjaga akhlak. Ini bertepatan tujuan nabi diutuskan untuk memperbaiki akhlak sebagaimana sabda Baginda SAW: sesungguhnya aku diutuskan untuk memperbaiki akhlak.
Namun, lumrah manusia tidak semua berakhlak mulia. Ramai yang tersasar jauh daripada hukum syariah. Zina dianggap biasa, maksiat, rasuah dan salah guna kuasa dianggap biasa. Sejak mula tamadun manusia, pelbagai masalah sosial telah wujud. Inilah tugas syaitan menyesatkan manusia agar sentiasa hidup dalam kemungkaran.
Maka wajiblah umat Islam mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar apabila berhadapan dengan kebejatan manusia. Itulah tujuan Rasul dan Nabi diutus untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan. Setelah Nabi SAW wafat lebih 1400 tahun, maka tugasan menyambung legasi dakwah ini tertanggung di atas umat Islam.
Paling menyedihkan pada zaman ini, mereka yang melakukan maksiat sudah tidak malu menghebahkan aktiviti itu secara terang-terangan. Kes lelaki memakai pakaian wanita dan kes seorang wanita memakai ihram lelaki ketika umrah menunjukkan betapa mereka sudah berani mencabar hukum tuhan secara terbuka.
Soalannya bagaimanakah cara dakwah yang sesuai? Apakah maksud berdakwah dengan hikmah? Adakah hikmah bermaksud menggunakan pendekatan yang lembut sentiasa dan teguran keras tidak dibenarkan sama sekali?
Apabila masyarakat hidup dalam budaya hendonisme, maka bagaimanakah dakwah kita? Menyatakan bahawa hiburan yang melalaikan itu haram dengan tegas itu perlu. Tetapi dalam masa kita juga harus memikirkan apakah alternatif hiburan yang patuh syarak. Begitu juga dalam usaha menyelesaikan masalah zina, keruntuhan akhlak, dadah, mat rempit perlulah menggunakan kaedah pendekatan bersepadu.
Menyelesaikan masalah sosial umat yang melanggar syarak sama seperti mengatasi masalah pesakit ketagihan dadah, arak dan rokok. Pendekatan mengurangkan risiko dan beransur-ansur amat perlu selain menggunakan kaedah menyerang pelaku secara agresif.
Mereka yang ketagih buat maksiat tidak boleh berubah sekelip mata. Masalah ketagihan perlukan pendekatan dakwah yang bersepadu. Ramai pendakwah guna pendekatan berhikmah yang boleh diterima mereka yang bermasalah.
Pendekatan dakwah perlu berterusan dan konsisten. Sama seperti pesakit yang ingin membuang ketagihan alkohol, rokok dan lainnya. Kaunseling berterusan, bimbingan harus sentiasa diberi. Dalam masa yang sama, pembinaan persekitaran yang positif dan jauh daripada maksiat harus diteruskan.
Soalnya, adakah pendekatan dakwah menangani masalah sosial itu semata-mata menggunakan kaedah yang lemah-lembut.
Dalam al-Quran, banyak pendekatan dakwah yang boleh dijadikan contoh. Allah bersifat al Halim, kelembutan dalam masa yang sama, Allah juga bersikap keras dalam memberi peringatan dan hukuman.
Begitulah juga manusia, kita membimbing dengan kelembutan sejajar dengan firman Allah: Maka dengan rahmat Allah kamu bersikap lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari kamu. Kerana itu maafkanlah mereka dan pohonlah keampunan untuk mereka. (ali-Imran: 159)
Menasihat dan memberi bimbingan kepada umat manusia bukan mudah. Selain ilmu, perlunya pendakwah bersabar dan sentiasa konsisten memperbaiki masyarakat.
Dalam masa yang sama, pendakwah perlu menguatkan diri mereka dengan amalan yang baik. Pendakwah juga harus mengambil iktibar dalam menguruskan kes sosial. Mereka juga harus sedar mereka tidak maksum.
Berapa ramai pendakwah yang terpesong buat maksiat sedangkan dia sendiri adalah pendakwah aktif. Berhati-hatilah dalam tindakan dan teguran.
Manusia selama mana ada iman di hatinya, akan terbuka menerima teguran. Namun, ada manusia yang sudah tertutup hatinya dan sukar menerima nasihat dan teguran. Lebih membahayakan, golongan degil yang buta mata hati ini turut beri galakan kepada Muslim lain mengikut jejak langkah mereka.
Golongan pelaku maksiat tegar seperti ini harus dikenakan tindakan. Sekali pun tindakan undang-undang tidak menjamin mereka bertaubat, setidak-tidaknya kita mengelakkan maksiat daripada tersebar dan diamalkan berleluasa. Maksiat harus dihentikan bukan hanya untuk pelaku tetapi kepada masyarakat lainnya.
Walaupun ramai mencerca hukuman Islam sebagai keras dan tegas terhadap pelaku maksiat, mereka juga harus sedar hukuman bukanlah satu-satunya jalan menyelesaikan masalah sosial umat. Islam menggunakan pendekatan pelbagai; menghalang dan mencegah, menasihat dengan hikmah dan kelembutan, bimbingan dan terakhir, tindakan dan hukuman.
Islam bukan sekadar hudud dan takzir. Ia lebih daripada itu. Lihatlah bagaimana nabi menasihatkan pencuri yang mahu bertaubat, baginda menasihatkannya agar tidak menipu. Akhirnya, lelaki itu tidak lagi mencuri.
Sama-samalah kita berusaha menjadi pendakwah yang baik, berhikmah dan bijak. Seterusnya berhati-hati dalam tindakan dan tidak ego membimbing dan memberi nasihat. Paling utama, tidak berasa diri maksum.
———-
Penulis ialah Prof. Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM dan Ahli JK Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.










