Mengangkat khazanah seni dan budaya bangsa di alaf baru - Utusan Malaysia

Mengangkat khazanah seni dan budaya bangsa di alaf baru

Seni budaya khususnya sektor kelestarian seni budaya yang kaya dengan manifestasi akar bangsa perlu diberi ruang sewajarnya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masyarakat Melayu kaya dengan khazanah muzik tradisional. Alatan muzik seperti rebab, rebana, kompang, kertok, gong, angklung, serunai, gambus, kerincing dan jidor adalah sebahagian yang mewarnai kesenian tradisi alam Melayu.

Jika kita menyusuri manuskrip hebat seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin terdapat maklumat berkaitan alatan muzik seperti muzik paluan, peperangan, sambutan raja dan kepahlawanan.

Ini dapat diamati melalui petikan dalam Sulalatus Salatin yang mengisahkan bagaimana peritiswa Betara Majapahit menyuruh orang berjaga dan bermain segala bunyi-bunyian terhasil daripada alatan muzik tradisi seperti gong, gendang dan serunai.

Muzik Tradisional Melayu berkembang selari dengan arus zaman dan pengaruh muzik luar dari era penjajahan sehinggalah pasca kolonialisme.

Komposer lagu tradisional tersohor S. Atan pernah menyatakan seni persembahan muzik, gubahan dan penyampaian lagu tradisional berkembang melalui gabungan alat muzik asal seperti gong, rebana, kecapi selain alatan muzik barat seperti violin, gitar akustik, gitar bass, drum dan keyboard telah mewarnai landskap muzik tradisional Melayu yang kita kenali pada suatu ketika sebagai muzik Melayu Deli.

Menelusuri muzik tradisional Melayu, keunikan artistiknya selain melodi yang indah adalah muzik pengantar.

Tidak seperti lagu-lagu moden yang sekadar mempunyai intro, bridge dan muzik penutup, lagu tradisional seperti lagu Melayu Asli sangat unik disebabkan muzik pengantarnya. Tanpa muzik pengantar, penyanyi lagu Melayu Asli tidak dapat menyanyikannya oleh kerana tiada penanda muzik untuk memberi panduan kepada penyanyi tersebut.

Muzik pengantar lagu Melayu Asli sentiasa lengkap dan menjadi panduan penting untuk penyanyinya sehinggakan menjadi kemestian untuk pemain akordion atau pemain violin mempunyai kemahiran tinggi dalam penyampaian muzik pengantar.

Bagi seorang pemuzik lagu tradisional Melayu, kemampuan untuk mengalunkan cengkok lagu yang bagus akan bergantung kepada kemahiran, pengalaman dan tahap profesionalisme pemuzik itu.

Memposisi Semula Seni Budaya di Peta Minda
Di Malaysia, peranan seni budaya khususnya sektor kelestarian seni budaya tradisional yang kaya dengan manifestasi akar bangsa tidak begitu diberi ruang. Tinjau sahaja media arus perdana seperti televisyen dan radio sama ada yang percuma mahupun berbayar, tiada dalam senarai ‘hidangan’ mereka secara serius dan bertanggungjawab mengangkat persoalan berkaitan seni budaya yang menyerlahkan apresiasi jatidiri dan identiti bangsa Melayu, Cina, India dan lain- lain di minda masyarakat.

Kerajaan melalui kementerian berkaitan sebagai pembuat dasar dan penentu polisi perlu melakukan transformasi dengan memposisikan semula seni budaya di minda masyarakat. Kerajaan perlu memahami di negara ini bukan sektor industri kreatif saja perlu diberi perhatian melalui dana kewangan malah kewujudan sektor kelestarian seni budaya perlu diiktiraf dan diberi ‘kasih sayang’ sewajarnya.

Mewajarkan peruntukan dan menubuhkan pusat kegiatan seni atau one stop culture centre negeri seperti Majlis Kebudayaan Negeri atau NGO berpengaruh di seluruh negara misalnya adalah satu langkah sangat strategik dan membuahkan harapan tinggi bagi semua pentadbir, pengkaji dan penggiat seni.

Paling penting kebudayaan dan kesenian haruslah diberi peranan besar membangunkan akal fikir yang membentuk identiti bangsa selain mengharmonikan masyarakat Malaysia berbilang kaum ini.

Seni menyeimbangkan perasaan hormat sesama kita.Kejayaannya bergantung sejauh manakah kita mampu memposisikan semula kepentingan seni budaya di minda masyarakat. Bukan mudah membina naratif baharu dalam memposisikan seni budaya namun jika tidak dicuba bagaimana kita akan tahu jawapannya?

Ismail Ahmed ialah Pengarah Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×