Makin ramai orang muda sakit jantung - Utusan Malaysia

Makin ramai orang muda sakit jantung

Nabil Idris.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Muda sangat nak kena penyakit darah tinggi, kencing manis. Itu kan sakit orang tua.”

Anda mungkin salah seorang yang berfikir begini dan tidak kisah apa dan bila hendak makan. Bagaimanapun anda mungkin perlu berfikir semula sebelum melepak di kedai mamak sehingga jam dua pagi atau menikmati minuman hipster yang manis.

Hakikatnya orang muda tidak kalis penyakit malah fakta menunjukkan semakin ramai individu mengalami serangan jantung pada usia 20an atau awal 30an.

Satu daripada lima pesakit serangan jantung pula berumur bawah 40 tahun.

Kajian mengenai penyakit arteri koronari dalam kalangan belia mendapati, hampir 70 peratus peserta berumur 15 hingga 24 tahun, mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kardiovaskular atau jantung.

Pakar Perunding Kardiologi Residen, Hospital Aurelius Nilai, Dr. Nabil Idris berkata, penyakit jantung tiada diskriminasi usia.

Malah makin ramai golongan muda mengalami penyakit dikaitkan dengan risiko penyakit jantung iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

“Usia 20an bukan alasan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala kerana ia amat penting termasuk mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan faktor risiko,” katanya.

Tiada salahnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti sebarang tanda masalah awal.

Walaupun sesetengah faktor risiko penyakit jantung tidak dapat dikawal, sebagai contoh umur atau sejarah keluarga, anda boleh mengurangkan risiko dengan mengubah faktor yang boleh dikawal.

“Perubahan kecil dalam gaya hidup, seperti bersenam dan membuat pilihan pemakanan sihat, boleh mendatangkan perubahan besar kepada kesihatan jantung.

“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, jadi sebaiknya jalani pemeriksaan jantung dan mengenal pasti faktor risiko anda lebih awal serta mengambil tindakan proaktif bagi melindungi dan menguatkan jantung anda,” katanya.

Berikut beberapa salah tanggapan berkaitan faktor risiko penyakit jantung dalam kalangan golongan muda:

1. Boleh makan apa saja
Fikir baik-baik sebelum memesan mi segera goreng kesukaan. Ini kerana diet tidak sihat dan tinggi lemak menyebabkan pengumpulan plak di arteri dan meningkatkan risiko serangan jantung. Tukarkan teh tarik dengan teh O kosong lebih baik.

2. Tak perlulah kawal rokok dan alkohol.
Merokok adalah faktor risiko utama kegagalan jantung kongestif kerana ia boleh menyebabkan aterosklerosis serta meningkatkan tekanan darah. Alkohol yang diambil secara berlebihan selama beberapa tahun boleh menghasilkan kardiomiopati alkohol, iaitu keadaan di mana alkohol bertindak sebagai toksin untuk melemahkan otot jantung secara langsung. Jadi, inilah masanya untuk berhenti merokok.

3. Orang muda boleh menangani tekanan dengan baik, jadi itu bukanlah masalah besar.
Tidak kiralah fizikal atau emosi, tekanan berterusan akan meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan peredaran darah. Kajian mendapati, apabila anda berasa tertekan, amigdala (bahagian otak yang menangani tekanan) akan memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah putih berlebihan. Ini menyebabkan arteri meradang, yang berupaya mencetuskan serangan jantung, angina dan strok.
Kehidupan memang tidak lari daripada tekanan, justeru peruntukkan masa untuk berehat, memulihkan tenaga tubuh dan menyegarkan tubuh untuk memerangi kesan tekanan.

4. Tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi penyakit orang tua.
Semua ini adalah faktor risiko klasik untuk penyakit jantung. Namun, golongan muda mungkin tidak sedar jika mereka mempunyai penyakit ini melainkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan secara keseluruhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×