APAKAH reaksi dan sumbangan kaum India di Persekutuan Tanah Melayu apabila sistem pendidikan kebangsaan dicadangkan dan dibahaskan di bawah Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum yang ditubuhkan pada 1949? Persoalan ini muncul semasa saya berbincang dengan anak buah, Kuhan Sankar dan rakannya, Pravien tentang mata pelajaran sejarah, baru-baru ini.
Jawatankuasa itu yang dipengerusikan E.E.C. Thuraisingam berperanan menangani isu politik, ekonomi, kewarganegaraan dan pendidikan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum pada waktu itu. Buku teks yang digunakan di sekolah menghuraikan bagaimana Laporan Barnes (1951) mencadangkan sekolah rendah menggunakan bahasa pengantar Inggeris atau Melayu, manakala sekolah menengah menggunakan bahasa Inggeris sahaja.
Usul itu menerima bantahan kaum Cina kerana bahasa ibunda mereka dipinggir. Maka, komuniti Cina mengemukakan Laporan Fenn-Wu (1951) bagi menuntut sekolah aliran Cina diteruskan mengguna pakai silibus tempatan.
Susulan usaha itulah lahir Ordinan Pelajaran (1952) yang menjadi asas kepada Laporan Razak (1956) dan Dasar Pelajaran Kebangsaan (1971) yang terus menjadi rujukan sehingga hari ini. Dalam buku teks Sejarah (tingkatan 4), tidak dinyatakan apa-apa tentang reaksi dan sumbangan kaum India kepada Laporan Barnes dan Ordinan Pelajaran. Seolah-olah, kelangsungan hidup sekolah Tamil hanya tempias perjuangan kaum Cina mempertahankan sekolah vernakular.
Maka, saya berusaha mencari maklumat daripada pelbagai sumber lain untuk mengetahui apakah reaksi pemimpin kaum India apabila Laporan Barnes meminggirkan sekolah aliran Tamil. Mengikut rekod rasmi, kelas bahasa Tamil mula-mula diperkenalkan di Penang Free School pada 1816. Sekolah Tamil pertama pula dibuka di Seremban, Negeri Sembilan pada 1897.
Pada 1907, Persatuan India-Ceylon di Pulau Pinang memulakan sekolah India-Ceylon menggunakan bahasa pengantar Tamil dan Inggeris khusus bagi kanak-kanak India dan Ceylon (Sri Lanka). Menjelang 1929, terdapat 299 sekolah Tamil dengan 10,909 murid. Jumlah pada 1939 ialah 620 buah.
Sokongan penjajah (British) sebenarnya tidaklah seindah kita bayangkan. Misalnya, The Singapore Free Press (1 April 1936) melaporkan kenyataan Residen British di Selangor, T.S. Adams bahawa bukan tanggungjawab kerajaan (British) menyokong pelajaran anak-anak imigran dalam bahasa ibunda. Hanya pelajaran anak-anak tempatan (Melayu) dipentingkan.
Pada Jun 1938, di tengah-tengah situasi kekurangan guru berkelayakan bagi sekolah Tamil, Persatuan Guru-guru Tamil Pulau Pinang ditubuhkan antara lain untuk mempromosi sekolah aliran Tamil di Malaya. Sewaktu muncul bantahan di Tamil Nadu, India terhadap keputusan mewajibkan pelajaran bahasa Hindi di sekolah pada Januari 1939, komuniti Tamil di Malaya turut bersuara lantang. Pada masa sama, semangat memperjuangkan sekolah Tamil semakin marak.
Anehnya, sepucuk surat pembaca di akhbar The Straits Times (31 Julai 1939) mendedahkan realiti penderitaan guru sekolah Tamil di estet seluruh Malaya. Sekolah Tamil dikatakan beroperasi semata-mata bagi memenuhi syarat dan bukan dengan niat memandaikan anak-anak pekerja estet.
LADANG GETAH
Kelas bahasa Tamil turut diperkenalkan di sekolah aliran Inggeris. Misalnya, Sekolah King Edward VII, Taiping menjadi sekolah pertama di Perak membuka kelas bahasa Tamil pada 1939. Kelas serupa kemudian diperkenalkan di Sekolah Clifford, Kuala Kangsar dan St. George’s Institution, Taiping.
Menjelang 1947, semangat memperjuangkan sekolah Tamil semakin tinggi dalam kalangan komuniti Tamil. Pada masa sama, ada juga sekolah Malayalam, Telugu dan Punjabi di beberapa tempat. Namun begitu, ramai guru sekolah Tamil mengeluh yang ibu bapa tidak menggalakkan anak meneruskan pelajaran kerana perlu membantu kerja di ladang getah.
Sekolah Tamil masih terus mendapat sambutan. Misalnya, Sekolah Tamil Bharathi di Simpang Ampat, Hutan Melintang, Perak dirasmikan pada 10 Januari 1950. Dalam situasi inilah Laporan Barnes dikemukakan lalu mendapat bantahan komuniti Cina menerusi Laporan Fenn-Wu. Walaupun tidak ada catatan dalam buku teks Sejarah sekolah, sebenarnya ada bantahan daripada kaum India terhadap Laporan Barnes. Akhbar Indian Daily Mail (17 September 1951) menyiarkan berita satu muka penuh bertajuk Indians Reject Barnes Report.
Memang menghairankan mengapa suara kaum India dalam soal Laporan Barnes disenyapkan dan dipadam terus daripada buku teks sekolah. Catatan ini penting untuk membetulkan dan melengkapkan dokumentasi sejarah negara. Dalam memorandum itu, ditegaskan rasa kecewa kerana kerajaan (British) tidak melantik jawatankuasa mewakili kaum India sebagaimana dilakukan bagi kaum Cina menerusi pelantikan ahli akademik dari China, Dr. William P. Fenn dan pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dr. Wu Teh Yao yang menyediakan Laporan Fenn-Wu.
Dinyatakan pada 1949 terdapat 835 sekolah Tamil, 23 sekolah Tamil-Telugu, sekolah Telugu (13), sekolah Punjabi (9), sekolah Hindi (3), sekolah Tamil-Malayalam (2), sekolah Malayalam (1), Gurkhali (1), Singhalese (1) dan Gujerati (1). Maka, menurut memorandum itu, tidak adil jika British tidak meminta pandangan kaum India dalam soal pendidikan di Tanah Melayu.
Jawatankuasa itu kecewa kerana Laporan Barnes menafikan hak anak-anak kaum India menimba ilmu dalam bahasa ibunda. Data 1959 menunjukkan jumlah penduduk kaum Melayu di Tanah Melayu berjumlah 2.6 juta orang sementara gabungan kaum Cina (2.03 juta) dan India (601,056) adalah satu jumlah besar serta tidak wajar dinafikan hak pembelajaran menggunakan bahasa ibunda.
Walaupun ada kebimbangan bahawa sekolah kebangsaan yang dicadangkan dalam Laporan Barnes akan hanya menjadi sekolah Melayu, jawatankuasa itu menegaskan, kaum India bersedia mempelajari bahasa kebangsaan dengan hati terbuka. Beberapa cadangan bernas turut dikemukakan dalam memorandum itu. Semoga buku teks Sejarah pada masa depan memuatkannya untuk berlaku adil.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










