Khuatir 'dedah aurat demi rezeki' jadi trend - Utusan Malaysia

Khuatir ‘dedah aurat demi rezeki’ jadi trend

Manusia jangan lupa bahawa Allahlah yang mengurnia dan memberi rezeki kepada kita. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Risau saya melihat trend terkini sesetengah artis Malaysia yang bertudung. Ada yang buka tudung atas alasan rezeki banyak terhalang dek penampilan tertudung. Ada juga yang tak mahu menjadi hipokrit, tidak ikhlas memakai tudung. Saya risau perkara ini berjangkit kepada orang lain.”

Penampilan individu adalah hak peribadi. Pakailah apa sahaja asal menutup aurat secara sempurna dan tidak menimbulkan gangguan mental pada orang lain dengan fesyen mencolok mata. Penampilan Islam juga tidak terikat dengan mana-mana budaya kerana Islam bersifat universal tanpa ikatan geografi.

Menjadi Muslim bukan menjadi orang Arab, Melayu atau Asia. Pakailah sari India atau cheongsam Cina sekalipun, ia boleh jadi patuh syariah jika seluruh tubuh dilindung rapi menurut garis panduan Islam.

Menutup aurat adalah nikmat agama yang besar. Ia bukan sekadar ritual meletakkan helaian kain melindung kepala atau badan. Sebaliknya ia menjadi lambang kehormatan serta kepatuhan kita kepada Allah. Jika ia dilakukan dengan betul dan ikhlas, syurga ganjarannya.

Contohilah kecaknaan wanita yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW ini. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Ata’ bin Abi Rabah menceritakan Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan padamu wanita yang diiktiraf sebagai ahli syurga?” Aku (Ata’) menjawab: “Ya!” Abdullah bin ‘Abbas menjawab: “Wanita berkulit hitam itu, kerana dia pernah datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata: Aku sering dirasuk (atau sawan) dan terdedah aurat.”

Baginda SAW menjawab: “Sekiranya engkau bersabar, maka syurgalah ganjaranmu, sekiranya engkau mahu aku boleh mendoakan penyembuhanmu.” Wanita itu kemudiannya berkata: “(Kalau begitu, aku pilih) untuk sabar, tetapi aku risau (semasa sawan atau rasukan itu) auratku akan terdedah, maka doakan agar auratku tidak tersingkap (dilihat orang)”. Baginda kemudiannya mendoakan permohonannya itu (Sahih Muslim, 4673).

Wanita dalam kisah ini amat risau auratnya terdedah kepada manusia. Bandingkan pula dengan sesetengah Muslim yang sengaja mencari jalan agar auratnya dilihat orang. Seni menelanjangkan diri itu pula dijustifikasi atas nama fesyen atau tipu daya kecantikan dorongan nafsu dan syaitan.

Selain itu, perkara pertama yang perlu dipasak dalam minda mengenai tudung atau apa sahaja busana muslimah, ia dipakai bukan kerana fesyen semasa atau ikutan orang ramai. Sebaliknya ia adalah tuntutan agama yang melibatkan dosa pahala.

Biarlah manusia mempertikai logik atau kewajaran arahan menutup aurat, orang beriman kekal patuh kepada arahan Allah kerana percaya selaku Pencipta manusia, Allah pasti tahu yang terbaik untuk mereka.

Dalam topik yang dibincangkan sekarang, kelemahan pengetahuan manusia amat ketara apabila ada yang mengaitkan isu penampilan mereka dengan limpahan rezeki. Walhal rahsia sukatan rezeki kita sudah tertulis sebelum alam wujud lagi. Mungkin pendedahan aurat menjadi sebab rezeki lebih terhalang.

Nabi melarang keras sebarang penglibatan dalam perkara haram (seperti mendedahkan aurat) hanya kerana rezeki yang dirasakan lambat sampai.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Wahai sekalian manusia, bertakwalah kamu kepada Allah dan perelokkan usaha kalian dalam mencari rezeki. Ini kerana seseorang itu tidak akan mati melainkan setelah sempurna rezekinya walaupun ia lambat diperolehi. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan perelokkan usaha kalian dalam mencari rezeki. Ambil apa yang halal dan tinggalkan yang haram. (Sunan Ibn Majah, 2135).

Risau miskin atau lapar kerana patuh ajaran Islam adalah ‘kerisauan purba’. Contohnya, setelah orang bukan Islam dilarang memasuki Mekah mulai tahun ke 9 Hijrah, ramai penduduk risau kelangsungan hidup akan terancam kerana Mekah bukanlah negeri pertanian.

Sumber makanan atau komoditi Mekah banyak bergantung kepada peniaga luar yang rata-ratanya belum memeluk Islam. Melarang mereka masuk ke Mekah umpama menghalang kemasukan sumber makanan dan rezeki ke Mekah. Siapa tidak risau?

Di tengah-tengah kekalutan itu Allah menegur mereka dengan firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini (tahun ke 9 Hijri); dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki… (al-Taubah: 28)

Hebatnya kerja Allah. Selepas arahan itu orang Arab yang melihat keindahan dan kekuatan Islam mulai mengubah arah kiblat mereka kepada tauhid sebenar. Kemudiana mereka membanjiri Mekah seperti biasa. Ingat! Allah yang mengatur dan memberi rezeki. Ia bukan datang dari manusia, bukan penerbit filem atau majikan kita.

Akhir bicara renungi hadis ini sebagai jentikan jiwa agar kita lebih cakna akhirat dan hak Allah dalam kehidupan seharian. Jangan kerana mahu dunia yang secebis, kita hilang akhirat yang selaut.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Pada hari kiamat, dibawakan penghuni neraka yang paling hebat nikmatnya di dunia (dahulu) lalu dicelupnya ke dalam dengan sekali celup sahaja, kemudian dikatakan padanya: “Wahai anak Adam, adakah kamu melihat satu kebaikan dan merasa kesenangan (segala kemewahanmu di dunia dahulu)?”

Lalu dia menjawab: “Tidak sama sekali wahai Tuhanku.” Kemudiannya dibawakan pula ahli syurga yang paling susah hidupnya di dunia dahulu (kerana memathui arahan Allah), lalu dicelupkan padanya satu celupan (sahaja) ke dalam nikmat syurga, kemudian dikatakan padanya: “Wahai anak Adam, adakah kamu melihat kesusahan dan adakah kamu merasakan kepayahan (kerana mematuhi arahan Allah semasa di dunia dahulu)?” Lalu dijawabnya: “Demi Allah wahai Tuhanku, tidak pernah aku rasakan kesusahan atau kepayahan sama sekali”. (Sahih Muslim, 5021).

Kembalilah kepada rahmat naungan Allah yang memberi kita hidayah menutup aurat. Orang yang menutup aurat sebenarnya sudah melangkah gagah ke pintu rahmat Allah.
Usah undur kerana terpedaya dengan sedikit pesona dunia yang sementara. Semoga Allah selamatkan kita.

————-
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN