Kedai teh, herba tradisi ada sambutan - Utusan Malaysia

Kedai teh, herba tradisi ada sambutan

CHANG menunjukkan antara herba yang laris dan jadi pilihan pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sambutan terhadap herba dan teh tradisional Cina di Sarawak sebagai perubatan alternatif, terus mendapat sambutan memberangsangkan.

Peniaga, Nolan Chang, 42, berkata, walaupun ada ubat moden, masih ada yang sukakan bahan alternatif kerana diyakin kurang kesan sampingan pada individu.

“Biasanya ia diambil bagi meredakan demam, selsema, badan panas dan batuk ringan. Walaupun mengambil masa untuk reda tetapi ia tetap jadi pilihan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Premis itu beroperasi sejak 1946 dan Chang merupakan generasi ketiga Khee Hiang menjual ubat dan herba tradisional.

Antara air minuman herba diusahakan dari perniagaan datuknya adalah Ba Xian Cha, Qing Ku Cha, Feng Huo Cha dan Pei Yao Cha.

Herba berkenaan dikatakan mampu mengurangkan suhu panas badan individu, meredakan selsema dan sakit tekak.

Hingga kini minuman herba itu terus menjadi permintaan daripada penduduk setempat sekiranya mengalami sakit-sakit ringan.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan kemujaraban bergantung kepada mereka yang mengalami simptom dan gejala ringan sahaja.

“Pada permulaan wabak pandemik Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham menegaskan bahawa penggunaan ubat tradisional dan herba hanya dicadangkan sebagai komplementari dan bukan sebagai rawatan kepada pesakit Covid-19.

“Ketika itu permintaan terhadap herba mendapat sambutan luar biasa sehingga terpaksa mendaftar pesanan pelanggan mengguna perkhidmatan penghantaran,” katanya.

Mewarisi perniagaan datuk
PREMIS perniagaan milik peninggalan datuknya di deretan Padungan Street sudah berusia lebih seabad.

Namun ia mengekalkan nama kedai ‘Khee Hiang Traditional Herbal Tea’ yang mana ia disamakan dengan teh herba yang menjadi pilihan pelanggan mereka sejak dari dulu lagi.

“Datuk saya berasal dari wilayah Shantou di Guangdong, China. Dia (datuk Nolan, Chang Eng Chuan) menaiki kapal dan belayar ke Kuching pada tahun 1930-an.

“Datuk berhijrah untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kata Chang.

Mengikut cerita di dengari, sekitar tahun 3o-an mencari sumber pendapatan di China amat sukar. Situasi berkenaan mendorong datuknya berlayar ke Kuching dengan harapan mengubah nasib dan kehidupan keluarga dengan lebih baik.

Lagipun beberapa saudara datuk sudah berada di Kuching sekitar tahun berkenaan.

Sejurus selepas pemerintahan Jepun di Sarawak berakhir, datuk Chang memutuskan untuk menceburi bidang perniagaan, mengeluarkan rempah ratus.

“Datuk mempelajari kemahiran itu di China dan membawanya ke Kuching. Dia mula menghasilkan serbuk kopi, serbuk kari dan sebagainya.

“Pada akhir 40-an, pasaran berkembang pesat, perniagaannya turut menunjukkan keuntungan dan saudara-mara yang ada pada ketika itu turut bersama-sama menjadi pembekal rempah dan herba khusus untuk penduduk tempatan,” katanya.

Sehingga kini, kedainya sentiasa menjadi pilihan penduduk sekitar bandaraya itu kerana ia terkenal dengan minuman herba yang diperkenalkan sejak 1964.

Bagi peniaga yang mengusahakan perniagaan ubat tradisional dan herba di deretan Carpenter Street di Waterfront Kuching, Winston Lok, 46, semenjak sempadan negara dilonggarkan ramai pengunjung dari Kalimantan Indonesia berkunjung ke premisnya.

“Ramai yang suka herba tradisional tetapi saya sering ingatkan mereka ia hnya alternatif.

“Pengambilan dan kesembuhan bergantung kepada imunisasi individu,” katanya.

Menceritakan detik berniaga semasa pandemik Covid-19 ini, Lok akui turut terkesan dengan bahan herba tradisional Cina yang ditempahnya dari China ekoran had kuantiti dikenakan pembekal dari negara asal.

“Kuantiti dihadkan sebab tidak cukup untuk pasaran ke seluruh dunia.

“Antara alasan lain yang diberikan pembekal disebabkan beberapa jenis herba terpaksa dihadkan kerana diperlukan oleh bekas pesakit Covid-19 untuk merawat kesan jangka panjang selepas dijangkiti,” ujarnya.

Di Sarawak, penggunaan teh, herba dan ubat tradisional Cina masih lagi diamalkan oleh penduduknya bagi merawat sakit-sakit ringan, namun mereka akui mengambil masa yang panjang untuk sembuh.

Bagaimanapun, tidak dinafikan rawatan moden tetap dirujuk ke hospital dan klinik berdekatan demi kesejahteraan dan kesihatan yang lebih terjamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN