Kebun sayur ‘titian kasih’, bantu golongan kurang berkemampuan - Utusan Malaysia

Kebun sayur ‘titian kasih’, bantu golongan kurang berkemampuan

Mahani Amat (kiri atas) berkongsi ilmu penjagaan kebun sayur bersama komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada pelbagai cara dapat dilakukan dalam menghulurkan kebaikan atau menyumbangkan sesuatu kepada yang memerlukan.

Seperti usaha yang dilakukan sekumpulan lelaki berusia 50-an juga merupakan alumni Sekolah Datuk Abdul Razak (SDARA) mengambil inisiatif memulakan projek nurseri dan kebun bandar di rumah kebajikan.

Projek yang dijalankan di Rumah Titian Kaseh (RTK) itu dijalankan sejak awal tahun ini bertujuan memberi sumbangan secara berterusan dan lestari kepada penghuni-penghuni rumah berkenaan.

Berkongsi kepada Utusan Malaysia, wakil SDARA, Mohd. Shahrir Ali menyifatkan bantuan itu sebagai amal jariah yang berterusan daripada kumpulan berkenaan kerana ia akan berperanan sebagai salah satu sumber kewangan pusat perlindungan anak yatim, ibu tunggal dan warga tua itu.

Mengenali rumah berkenaan melalui bekas majikannya yang juga tokoh politik, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid yang sering berkongsi rezeki bersama mereka membuatkan dia turut terinspirasi untuk melakukan hal yang sama.

Dorongan itu menjadikan dia tidak segan silu menyuarakan hasrat membuka kebun sayur yang nantinya akan menjadi sumber pendapatan kepada penghuni-penghuni dalam akaun Facebook miliknya.

“Tidak sangka hantaran itu kemudiannya mendapat sambutan baik daripada rakan-rakan sehingga ada yang memperkenalkan saya dengan pakar pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai langkah persediaan.

“Malah, rakan-rakan SDARA yang bersekolah sama 1985 turut bekerja keras mengumpul dana sehingga RM5000 dalam masa tiga hari sahaja untuk dijadikan modal permulaan projek,” katanya yang juga konsultan dalam bidang perhotelan.

Malah, status rumah perlindungan itu yang tidak mendapat sebarang peruntukan dan bantuan daripada kerajaan menguatkan lagi hasrat mereka untuk membantu meringankan beban.

“Jadi permulaan, salah seorang ahli kumpulan kami melantik kontraktor untuk membina sebuah tembok untuk dijadikan tempat penanaman di halaman rumah RTK.

“Dengan bantuan pakar dari UPM kami dapat menanam beberapa jenis sayuran untuk jualan dan juga nurseri untuk penjualan anak pokok dan bijih benih,” tambahnya.

Pertanian organik
Sementara itu, Pegawai Agrikultur UPM, Mahani Amat@Halimi berkata, penglibatan UPM adalah salah satu khidmat masyarakat bagi membantu orang awam.

Pembabitan dalam projek ini menjadi platform kepada pihak universiti untuk berkongsikan ilmu dan pengetahuan kepada mereka yang berminat untuk memulakan pertanian.

“Jadi kita bantu mereka di sini untuk menguruskan kebun dan nurseri dengan cara yang betul agar dapat mendatangkan hasil kelak. Menggunakan konsep pertanian bandar, kita berikan kursus dan latihan asas penanaman kepada mereka.

“Kita mahu bangunkan pertanian dengan kaedah yang betul kerana ia bukan sahaja akan menjadi hasil jualan malah ia turut dapat dijadikan sumber makanan yang mudah diperoleh oleh penghuni-penghuni rumah ini,” katanya.

Setakat ini terdapat lebih 10 jenis tanaman yang terdapat di halaman rumah berkenaan termasuk sayuran jenis berbuah dan berdaun iaitu terung panjang, cili, kubis termasuk beberapa jenis tanaman herba.

Menurut Mahani, tujuan tanaman itu dicampur adalah untuk menggalakkan konsep kawalan biologi kerana fungsi tanaman herba itu sendiri yang mengeluarkan bau untuk menghalau serangga perosak.

“Kerana kita mahu menjadikan ini sebagai penanaman organik yang selamat untuk semua orang tanpa penggunaan sebarang racun sintetik.

“Malah, kita turut mengajar penghuni-penghuni yang menjaga kebun sayur ini untuk menghasilkan sendiri kawalan serangga perosak menggunakan bahan-bahan organik dan mudah didapati seperti bawang putih, serbuk cili dan sebagainya,” tambahnya.

Selain itu, kebun berkenaan turut dibangunkan dengan konsep petik dan beli.

Oleh itu, bagi penggemar sayur segar dan organik boleh membawa seisi keluarga untuk beriadah sambil membeli dengan memetik sendiri sayur-sayuran yang ingin dibeli.

Setakat ini, kebun berkenaan sudahpun melakukan tuaian yang pertama dan menjangkakan jualan juga dapat terus dibuka.

Pendapatan tambahan
Dalam pada itu, Pengasas RTK, Sharifah Adlan melahirkan rasa syukur kerana ada pihak yang sanggup menghulurkan bantuan memberi peluang pendapatan baharu kepada golongan kurang bernasib baik.

Sejak ditubuhkan pada 1998, Sharifah melakukan pelbagai usaha untuk menanggung anak yatim, warga tua dan ibu tunggal yang berlindung di bawah organisasinya tanpa bantuan daripada pihak kerajaan.

“Selama bertahun-bertahun, kami menampung segala perbelanjaan bernilai RM65,000 sebulan meliputi tiga rumah yang disewa untuk tiga kategori penghuni dengan menjual pelbagai jenis kuih yang dibuat sendiri dan pakaian terpakai yang didermakan oleh orang ramai.

“Dengan adanya kebun sayur dan nurseri ini, ia akan memberikan sumber pendapatan baharu kepada kami. Ibu-ibu tunggal di sini ditugaskan untuk menjaga dan menguruskan kebun berkenaan pada waktu pagi,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×