Jangan ambil mudah pengambilan antibiotik - Utusan Malaysia

Jangan ambil mudah pengambilan antibiotik

Chin Beek Yoke berkongsi pengalaman berdepan superbug.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGKITAN superbug yang kebal terhadap pelbagai ubat dan antibiotik atau multidrug-resistant (MDR) menjadi punca kepada hilangnya hampir lima juta nyawa di seluruh dunia.

Ini termasuklah kira-kira 1.2 juta kematian berkait dengan jangkitan superbug. Dalam sesetengah kes, jika superbug memasuki darah, ia akan menjadi sistemik yang boleh membawa maut.

Dekan Bersekutu Fakulti Sains Kesihatan, Hal Ehwal Penyelidikan dan Hubungan Luar, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Chin Beek Yoke pernah dua kali berdepan jangkitan superbug.

Kali pertama beliau melalui pembedahan membuang ketumbuhan daripada belakang telinga.

Katanya, prosedur pembedahan tidaklah rumit dan tidak menyakitkan, tetapi selepas beberapa hari ketumbuhan lain muncul pada bahagian pembedahan yang dijahit itu dan ia dipenuhi nanah.

“Kejadian kedua menimpa saya apabila terluka akibat serpihan gelas. Keesokan harinya, timbul lepuh seperti bola di kawasan luka.

“Saya pergi berjumpa pakar bedah untuk mendapatkan antibiotik topikal dan oral. Namun, rawatan tersebut tidak berkesan. Luka semakin teruk dan nanah meleleh dengan banyaknya sehinggakan saya sendiri terpaksa merawat sendiri seperti membalut luka kecederaan,” katanya berkongsi cerita.

Dua minggu seterusnya, Beek Yoke diberikan tiga ke empat kelas antibiotik berbeza.

Malangnya, tiada satu pun antibiotik itu boleh mengawal pembiakan bakteria pada badannya.

“Akhirnya, saya merujuk seorang pakar perubatan tropikal di AS yang melakukan sapuan pada luka, mengkultur dan menjeniskan bakteria itu. Ia adalah stafilokokus aureus yang tahan methicillin (MRSA) iaitu sejenis ubat yang tahan jangkitan kuman stafilokokus,” katanya.

Kongsi beliau, jika tidak mendapat antibiotik yang sesuai tepat pada waktunya berkemungkinan ia akan menjadi lebih teruk, membawa maut atau jika dijangkiti di kaki maka ia terpaksa dipotong.

“Saya berasa bertuah kerana berjaya mendapatkan ubat yang betul dan tepat pada masanya. Penting untuk kita memberitahu doktor sejarah jangkitan superbug kerana ia sangat membantu doktor memberikan pilihan rawatan dan penjagaan terbaik,” katanya.

APAKAH SUPERBUGS?
Superbug adalah istilah yang dicipta bagi menjelaskan bakteria yang kebal atau tahan terhadap pelbagai ubat (MDR).

Bakteria ini berupaya memintas kesan antibiotik, lalu membiak atau membiak secara tidak terkawal dalam perumahnya.

“Setiap seorang daripada kita bertanggungjawab atas kewujudan superbug, jenis bakteria, parasit, virus dan kulat yang tahan terhadap kebanyakan antibiotik dan pelbagai ubat yang digunakan untuk merawat gejala akibat daripadanya. Namun ramai yang tidak sedar akan perkara ini,” katanya.

PENYEBAB UTAMA
Beek Yoke berkata, beberapa penyebab utama yang menyebabkan superbug semakin berleluasa adalah terlalu banyak preskripsi dan pemberian antibiotik yang tidak perlu, penggunaan antibiotik yang tidak diluluskan atau dari pasaran gelap yang tidak cukup berkesan selain pesakit yang tidak menghabiskan antibiotik.

“Ramai yang tidak peduli untuk menghabiskan antibiotik. Ada masanya kita merasakan gejala dihadapi sudah semakin baik tetapi kita tiada bukti untuk mengesahkan sama ada bakteria sudah dibunuh sepenuhnya atau sebaliknya yang berlaku iaitu ia terus membiak.

“Ada juga yang menyimpan antibiotik dan apabila tidak sihat, mereka mengambilnya semula tanpa preskripsi doktor atau mengetahui sama ada mereka menghidapi jangkitan virus atau bakteria.

“Malah pengambilan antibiotik yang tidak lengkap tidak mampu menghentikan pembiakan bakteria.

“Keadaan ini membolehkan MDR berkembang dan membenarkan bakteria dalam badan untuk membina ketahanan kepada ubat-ubatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×