Pasukan Ecolest9 berjaya membolot anugerah Identity Award dan Pit Display Award pada Pertandingan F1 In Schools Peringkat Dunia di Silverstone, London baru-baru ini.
Menurut Pegawai Pengiring Ecolest9 ke London, Kashnani Mat Nor, kejayaan tersebut amat berbaloi dengan pengorbanan anggota Ecolest9 sejak menyertai kejohanan tersebut di peringkat kebangsaan hingga ke peringkat dunia.
“Kita memenangi Identity Award dan hadiah ditaja oleh pihak Ferrari dan kita turut memenangi Pit Display Award,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Acara berlangsung di Silverstone, London pada 9 hingga 15 Julai lalu.
Kashnani berkata, pertandingan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana Ecolest9 perlu bersaing dengan 53 pasukan dari seluruh dunia.
Mengulas pengalaman dikutip para peserta, Kashnani berkata, pertandingan F1 In Schools turut mendidik mereka dalam aspek penajaan, pemasaran, media, strategi dan kewangan.
“Selain itu pelajar perlu mengasah bakat kepimpinan bagi memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing.
“Pertandingan ini bukan sahaja berkaitan inovasi teknologi automotif tetapi bagaimana pelajar bekerjasama untuk mencapai sesuatu objektif yang ditetapkan terutama semasa bersaing dengan pelajar dari seluruh dunia,” katanya.










