“Jodoh memang di tangan Tuhan, tapi engkau kenalah usaha! Berhias sikit! Upload gambar yang lawa berhias dalam media sosial. Baru orang tahu engkau tu masih solo! Jangan juga jual mahal sangat. Kalau ada lelaki dekati, layanlah!”
Pernah seorang pelajar perempuan bertanya saya tentang saranan temannya dalam usaha mencari jodoh. Ramai temannya bangga kerana sebelum habis belajar di universiti, sudah ada teman lelaki yang berjanji taat setia mahu membina rumah tangga bersama.
Sepanjang perkenalan pula, mereka bebas bergerak ke sana ke mari seakan suami isteri ‘percubaan’. Nak kenal hati budi katanya. Risau pula saya jika yang dikenali bukan hanya hati budi tetapi bodynya sekali. Semoga Allah jaga kehormatan semua gadis Islam daripada tipu daya buaya darat yang selalu menunggu peluang membaham mangsa.
Sebagai seorang Muslim, saya percaya dengan batas agama dan sangat tidak setuju dengan saranan mendedahkan diri secara terbuka sebegitu. Apatah lagi keluar berdua-duaan ke hulu ke hilir sebagai ‘pasangan suami isteri percubaan’. Ini bukan budaya Islam kerana hakikatnya mereka turut menjemput musuh masuk bersama dalam hubungan tersebut.
Ingatlah sabda nabi SAW yang bermaksud: Ketahuilah, jangan sesekali seorang lelaki duduk berduaan dengan wanita asing kerana akan wujud syaitan sebagai makhluk yang ketiga antara mereka berdua. (Sunan al-Tirmidzi, 2091).
Larangan Islam bukan bermaksud mengikat sempit hubungan sesama manusia, sebaliknya bertujuan menjaga kesucian kedua insan daripada jebak berduri syaitan. Kita juga tak tahu bagaimana ‘gambar cantik’ dalam media sosial kita itu boleh disalin, disunting, difantasikan atau disihir oleh segelintir manusia yang punyai nafsu binatang.
Penulis bukan hanya melarang tetapi memberi panduan lain yang selaras dengan kehendak Allah, penentu sebenar jodoh kita. Percayalah! Jika kita patuh dengan panduan Allah, Allah akan temukan kita dengan jodoh dunia akhirat kita. Berikut panduan ringkas bersama justifikasinya:
1) Berdoa kepada Allah agar dikurniai jodoh yang soleh. Sifat soleh sangat penting kerana ia menjadi punca kerukunan serta kebahagiaan rumah tangga di dunia dan di akhirat. Perkahwinan orang soleh akan berlanjutan sehingga ke syurga (al-Ra’d: 23 & Ghafir: 8).
Jangan pula disalah faham bahawa sifat soleh berkait dengan profesion atau keterampilan agama. Tidak.Sifat soleh boleh wujud pada orang yang benar-benar menghayati agama tanpa mengira siapa atau apa profesion mereka.
Bukan hanya itu, sifat soleh menjadi sebab Allah menjaga keluarga kita walaupun selepas kematian kita. Lihatlah bagaimana Allah menghantar Khidir a.s bersama Nabi Musa a.s menyelamatkan harta terpendam milik dua anak yatim dalam kisah kembara mereka berdua.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada harta terpendam kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula dahulu adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (al-Kahfi: 82).
2) Menjaga batas agama dan berakhlak mulia. Ini kerana mata lalat biasanya akan melihat sesuatu bernajis atau busuk, manakala mata lebah akan melihat bunga yang harum.
Lelaki soleh bersama ibu bapa mereka biasanya bermata lebah dan mereka cenderung melihat calon yang menjaga diri dan agama. Jika bakal calon isteri kelihatan terlalu ranggi menonjolkan diri sehingga melanggar batas agama, mereka akan tawar hati. Pendek kata sifat soleh mampu memberi pantulan kuat kepada pencarian calon yang soleh.
Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: (Lazimnya) perempuan yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji untuk perempuan yang keji; dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (al-Nur: 26)
Selain itu, lelaki soleh pastinya patuh mengikut garis panduan diberikan Nabi SAW iaitu yang bermaksud: Wanita dinikahi kerana empat kriteria; harta, keturunan, rupa paras dan agama. Akan tetapi utamakan kriteria agama, nescaya kamu gembira (dunia akhirat). (Sahih al-Bukhari, 4700 & Sahih Muslim, 2661).
3) Membaca doa yang sesuai dengan pencarian pasangan soleh. Antara doa yang disarankan adalah doa nabi Musa a.s ketika baginda terkandas sebatang kara di Madyan setelah lari daripada buruan Firaun.
Baginda AS pasrah berdoa kepada Allah yang bermaksud: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan. (al-Qasas: 24)
Kita akan melihat kehebatan doa ini jika kita tadabbur kisah Nabi Musa dalam surah al-Qasas ini bermula ayat 14-28). Hasil doa tersebut, Allah salurkan berbagai bantuan dan rezeki kepada baginda termasuklah pasangan hidup yang soleh.
Ingat! Jodoh pertemuan di tangan Allah. Patuhilah arahan-Nya kerana sehebat mana sekalipun anda memuat-naik turun gambar paling cantik dalam media sosial atau berlagak mesra di hadapan lelaki asing, keputusan akhir tetap di tangan Allah.
Sebaliknya patuhilah kehendak-Nya dalam pencarian pasangan hidup kerana tiada jodoh terbaik melainkan apa yang ditentukan Allah selepas kita memohon pada-Nya.
———————
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










