Cacar monyet: Wanita hamil berisiko dijangkiti - Utusan Malaysia

Cacar monyet: Wanita hamil berisiko dijangkiti

Satu kes wanita hamil sudah dikesan cacar monyet di AS baru-baru ini. (kanan) Nur Mahiza Md. Isa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyakit cacar monyet yang mulai mengganas sejak Mei lalu, kini semakin cenderung menunjukkan corak jangkitan dalam kalangan lelaki yang mengamalkan hubungan kelamin sesama jenis.

Ia dibuktikan dengan Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini, mendedahkan hampir semua pesakit terjejas setakat ini adalah lelaki lingkungan usia 37 tahun, dengan tiga daripada lima pesakit dikenal pasti sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Menerusi laporan situasi dwi-mingguan pertama mengenai cacar monyet, WHO, data jantina tersedia pada 4,406 kes, mendapati 99.5 peratus adalah lelaki. Antara kes dengan orientasi seksual dilaporkan, 60 peratus (1,214 daripada 2,025) dikenal pasti sebagai gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki dan 41 peratus (335 daripada 827) kes dengan status positif HIV.

Apakah ini petanda satu lagi penyakit menyerupai HIV/Aids, yang virusnya berpunca dari haiwan seperti monyet, tersebar menerusi hubungan sesama jenis yang awalnya dikesan di benua sama iaitu Afrika?

Pensyarah Kanan, Makmal Parasitologi, Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Nur Mahiza Md. Isa berkata, cacar monyet adalah penyakit zoonotik disebabkan oleh virus cacar monyet dari genus Orthpoxvirus, keluarga Poxviridae, yang dijumpai pada 1958, dari monyet penyelidikan yang terkena wabak seperti cacar.

“Mengikut agensi CDC, tidak jelas bagaimana manusia terdedah kepada cacar monyet, tetapi data awal menunjukkan kegiatan seperti seperti gay, biseksual dan hubungan kelamin lelaki dan lelaki menjadikan peningkatan bilangan kes cacar monyet. Bagaimanapun, sesiapa yang ada kontak rapat dengan seseorang yang terkena cacar monyet adalah orang yang berisiko.

“Cacar monyet boleh tersebar apabila seseorang itu ada kontak dengan virus daripada haiwan, manusia yang dijangkiti serta bahan yang tercemar dengan virus. Wanita mengandung juga boleh menjangkiti fetus yang dikandung kerana virus ini juga boleh merentas dari plasenta atau uri daripada ibu mengandung kepada janin,” katanya.

Virus cacar monyet katanya, boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia melalui gigitan haiwan yang dijangkiti atau penggunaan produk daripada haiwan yang dijangkiti.

Virus juga boleh merebak melalui kontak langsung dengan cecair kudis manusia yang dijangkiti atau bahan yang telah terkena cecair atau kudis, seperti pakaian.

Penyakit cacar monyet adalah endemik di Afrika Barat dan Tengah, kerap berlaku berhampiran komuniti yang tinggal di hutan.

Kes pertama cacar monyet pada manusia juga direkodkan di negara Afrika iaitu di Republik Demokratik Congo ketika dalam usaha memerangi penyakit cacar di negara tersebut. Antara negara dikenalpasti sebagai negara endemik cacar monyet termasuk Republik Afrika Tengah, Liberia, Nigeria, Republik Demokratik Congo, Sieera Leone dan lain-lain.

Sejak awal Mei, penyakit cacar monyet dilaporkan berlaku di negara bukan endemik cacar monyet seperti United Kingdom, Sepanyol dan Portugal berdasarkan laporan sesawang Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada pertengahan Jun lalu.

HAIWAN PUNCA:
Pelbagai haiwan dikenalpasti sebagai rentan pada virus cacar monyet. Ini termasuk tikus pau gergasi (Gambian pouched rats), tikus (dormice), tupai ( tree, rope squirrel), primat bukan manusia dan spesis lain.

Kajian masih dijalankan untuk menentukan perumah sebenar dan bagaimana virus cacar monyet kekal didalamnya.

GEJALA:
Dr. Nur Mahiza berkata, gejala atau simptom cacar monyet termasuk demam, pening kepala, sakit otot serta bengkak nodus limfa dan diikuti dengan ruam.

Ruam juga boleh didapati di tempat yang sukar dilihat, termasuk mulut, tekak, kemaluan, faraj dan kawasan dubur.

“Biasanya lesi atau ruam akan terbentuk dalam masa sama dan berkembang di tempat lain pada badan. Ruam berkembang kepada beberapa peringkat seperti kemerahan (macula), luka yang timbul (papul), gelembung yang berisi cairan (vesikel), bernanah (pustule) dan keruping sebelum ia sembuh.

“Ia akan berlangsung selama satu sehingga tiga hari. Spektrum penyakit ini adalah daripada ringan sehingga teruk dan boleh membawa maut. Sebelum ini agensi WHO melaporkan kadar kematian berjulat 3 sehingga 6 peratus. Komplikasi yang direkodkan termasuk muntah, cirit birit, konjunktivitis, sepsis, ensefalitis dan bronkopneumonia,” katanya.

Beliau berkata, simptom cacar monyet adalah ringan daripada cacar (variola) yang mana perbezaan utama simptom cacar dan cacar monyet adalah cacar monyet menyebabkan limfadenopati manakala cacar tidak.

Tempoh inkubasi (tempoh masa daripada jangkitan kepada simptom adalah 7 hingga 14 hari tetapi boleh menjadi 5 hingga 21 hari. Cacar monyet adalah kurang menular berbanding cacar biasa.

Tahukah anda
Cacar monyet dilaporkan berlaku sejak awal Mei di luar Afrika Tengah dan Afrika Barat yang mana penyakit itu telah lama menjadi endemik.

Bermula 1 Januari hingga 4 Julai lalu, 6,027 kes cacar monyet yang disahkan oleh makmal dan tiga kematian dilaporkan kepada WHO di 59 negara.

Bilangan kes meningkat sebanyak 77 peratus sejak 27 Jun, yang mana dua kematian baharu dengan kedua-dua kes di Republik Afrika Tengah telah dilaporkan.

Negara yang mempunyai lebih 1,000 kes yang disahkan adalah Britain (1,351), Sepanyol (1,256) dan Jerman (1,242), menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah dan WHO Eropah.
Di luar Eropah, WHO melaporkan 460 kes disahkan di AS dan 300 di Kanada.

Kira-kira 82 peratus kes dikesan di Eropah dan 15 peratus di Amerika.

Sebanyak 81 peratus mengalami ruam yang meluas pada badan, 50 peratus mendapat demam dan 41 peratus mengalami ruam alat kelamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN