Benarkah ibu dan ayah Nabi SAW ke neraka? - Utusan Malaysia

Benarkah ibu dan ayah Nabi SAW ke neraka?

Perbuatan menyebut ayah dan ibu Nabi SAW berada dalam api neraka menyakiti hati Rasulullah SAW. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sewaktu di Mesir dahulu, persoalan ini sering dibangkitkan masyarakat di sana bertujuan supaya kami menerima bahawa ayahanda dan bonda Rasulullah SAW dicampakkan dalam api neraka.

Saya pernah diminta menyemak kitab dihasilkan seorang pelajar dari Perak, lalu saya kebingungan kerana pelajar tersebut menyatakan dalam karyanya, ayah dan ibu Rasulullah SAW berada dalam neraka.

Guru hadis saya al-Syeikh Dr. Sa’d bin Sa’d Jawish al-Husayniyy pernah berang apabila ada pelajarnya bertanya soalan ini. Guru menganggap menyebut ayah dan ibu Nabi SAW berada di dalam api neraka, menyakiti hati Rasulullah SAW.

Walhal kita ditegah menyakiti hati baginda sebagaimana firman Allah bermaksud: Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, mereka telah dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat dan Dia telah menyediakan untuk mereka akan azab yang menghinakan. (al-Ahzab: 58)

Ayah, Ibu Nabi SAW Ahlul Fatrah
Ahlul Fatrah bermaksud orang yang hidup pada zaman sebelum kedatangan rasul.

Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah berpegang dengan keyakinan bahawa sesiapa sahaja meninggal dunia sebelum kebangkitan seseorang rasul, maka dia tidak akan diazab Allah SWT.

Ini berdasarkan firman Allah bermaksud: Barang siapa yang telah beroleh hidayah, maka sesungguhnya dia hanyalah beroleh hidayah untuk dirinya sendiri. Barang siapa yang sesat, maka sesungguhnya dia hanyalah sesat atas dirinya sendiri. Diri seseorang yang menanggung bebanan yang berat tidak akan menganggung berat bebanan diri orang lain. Kami sama sekali tidak akan mengazab sehinggalah Kami mengutuskan seorang rasul”. (al-Israk: 15)

Sebagaimana dimaklumi, Saidina Abdullah bin Abdul Muttolib dan Saidatina Aminah binti Wahb adalah termasuk mereka yang meninggal dunia sebelum Rasulullah SAW diperintahkan Allah menyampaikan agama Islam. Ini bermakna ayah bonda Nabi Muhammad SAW adalah orang yang selamat daripada di azab api neraka.

Sebahagian ulama seperti al-Imam Fakhruddin al-Roziyy berkata, ayah dan ibu Rasulullah SAW tidak menyembah berhala tetapi menyembah Allah berdasarkan agama Islam warisan Nabi Ibrahim a.s.

Antara hujah utama adalah firman Allah bermaksud: (Dialah Allah) yang melihatmu (wahai Rasulullah) sewaktu anda berdiri. (Dialah Allah yang melihat) perpindahan anda di dalam orang-orang yang sujud”. Maka ayat ini menunjukkan bahawa ayah, ibu, datuk, nenek dan seluruh moyang-moyang Rasulullah SAW adalah orang yang sujud kepada Allah Taala dan bukannya penyembah berhala. (as-Syuara: 218-219)

Ayah dan bonda Nabi Dihidupkan Semula
Al-Imam Abdul Rahman bin Abdullah al-Suhayliyy yang wafat pada tahun 581 hijrah menulis dalam kitabnya, al-Rowdh al-Unuf sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bahawa:

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memohon kepada tuhan baginda agar menghidupkan kedua ayah bonda baginda. Lalu Dia telah menghidupkan kedua-dua mereka untuk baginda lantas kedua-duanya telah beriman kepada baginda kemudian Dia telah mematikan (semula) kedua-dua mereka.

Menurut kitab al-Ahkam al-Muta’alliqoh Bi al-‘Aqoid terbitan Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah), ramai juga kalangan ulama hadis berpegang dengan hadis yang menyatakan Allah telah menghidupkan semula ayah bonda Rasulullah pada zaman baginda lalu kedua-duanya beriman kepada baginda.

Antara berpegang dengan hadis ini, al-Imam al-Hafiz al-Khotib al-Baghdadiyy, al-Imam al-Hafiz Ibnu Syahin, al-Imam Ibnu al-Munayyir, al-Imam al-Muhibb al-Tobariyy dan al-Imam al-Qurtubiyy.

Menurut kitab al-Ahkam al-Muta’alliqoh Bi al-‘Aqoid; sekalipun hadis-hadis tersebut adalah daif namun kepelbagaian sanad telah mengangkat darjatnya tersebut kepada status Hasan.

Ada dua hadis seakan-akan menunjukkan ayah dan ibu Rasulullah SAW adalah ahli neraka. Hadis pertama diriwayatkan al-Imam Muslim dengan sanad beliau: Daripada Anas bahawa seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah. Di manakah ayah saya (sekarang selepas dia meninggal dunia)”?

Baginda bersabda: Di dalam neraka. Apabila lelaki tersebut telah berpaling (untuk pulang), baginda telah memanggil lelaki tersebut lalu baginda telah bersabda: Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka.

Hadis kedua diriwayatkan al-Imam Ahmad dalam Musnad beliau dengan sanad beliau: Daripada Abu Hurairah, beliau telah berkata: Nabi SAW telah menziarahi kubur ibu baginda lalu baginda menangis dan orang yang berada di sekeliling baginda (juga) telah menangis.

Lalu Rasulullah SAW bersabda: Daku telah meminta izin daripada tuhanku untuk daku memohon keampunan buat beliau lalu daku tidak diizinkan. Daku telah memohon keizinan daripada-Nya untuk daku menziarahi kubur beliau lalu Dia telah mengizinkan daku. Maka kalian ziarahilah kubur-kubur kerana sesungguhnya ia akan mengingatkan kematian.

Kedua-dua hadis ini secara zahirnya seakan-akan menunjukkan ayah dan bonda Nabi SAW adalah ahli neraka. Namun kefahaman ini tidak dipegang ulama al-Azhar al-Syarif. Sebaliknya al-Azhar berpendirian ayah bonda Rasulullah SAW adalah penduduk syurga.

Salah seorang ulama al-Azhar terkenal yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Mesir iaitu al-Imam al-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’iyy pernah menyelar pandangan ayah dan ibu Rasulullah SAW di dalam neraka dengan berkata: Orang tersebut telah salah dengan kesalahan yang terang nyata. Dia berdosa dan dia termasuk di dalam golongan orang yang menyakiti Rasulullah SAW. Walaupun begitu dia tidaklah dihukum dengan kekafiran kerana masalah ini bukanlah termasuk di dalam perkara-perkara dasar bagi agama yang wajib ke atas mukallaf untuk mempercayainya secara terperinci.
Guru kami al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy menjelaskan, maksud:

Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka yang di dalam hadis sahih Muslim bukanlah merujuk kepada Saidina Abdullah bin Abdul Muttolib yang merupakan ayah kandung Rasulullah SAW sebaliknya maksud ‘ayahku’ di sini adalah ayah saudaraku iaitu merujuk kepada Abu Lahab yang telah dijanjikan dengan neraka oleh Allah.

Hadis kedua menunjukkan Rasulullah SAW dilarang memohon keampunan buat ibunda baginda, al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy menjelaskan, larangan itu bukanlah menunjukkan ibunda baginda ahli neraka sebaliknya kerana tiada keperluan memohon keampunan buat ibu baginda kerana meninggal dunia sebelum Rasulullah diperintahkan menyebarkan agama Islam.

Oleh itu, si ibu akan selamat daripada neraka kerana beliau termasuk Ahlul Fatroh. Beliau menjelaskan bahawa tangisan Rasulullah SAW kerana kerinduan, bukannya sedih kerana sang ibu di dalam neraka.

————
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN