RAMAI wanita mulai risau dan takut apabila kulit mula mengendur seawal 30-an. Pastinya akan mencuba pelbagai rawatan untuk mengembalikan kulit yang tegang dan muda remaja.
Menurut Pengarah Perubatan dan Pengasas Dr. Chong Clinic, Dr. Ching Tze Sheng, salah satu satu kaedah selamat dan berkesan tanpa pembedahan untuk menegangkan kulit adalah dengan rawatan menggunakan benang PDO (polydioxanone).
“Prosedur ini lazimnya dilakukan untuk bahagian muka, namun ia juga amat berkesan untuk menegangkan dan menganjalkan payudara dan leher, lengan, paha, perut, betis serta untuk mengetatkan dan menaikkan punggung.
“Benang PDO iaitu sejenis bahan jahitan yang sering digunakan dalam pembedahan kardiovaskular. Ia tidak memerlukan masa pemulihan yang lama dan tanpa ketidakselesaan atau risiko seperti dalam prosedur pembedahan,” katanya.
PDO menggalakkan produksi kolagen dan asid hyaluronik kulit. Benang yang digunakan akan diserap sepenuhnya dalam empat hingga enam bulan, tanpa meninggalkan sebarang kesan, tetapi struktur kulit yang anjal akan bertahan selama satu ke dua tahun.
CARA RAWATAN
Langkah-langkah dalam prosedur menegangkan kulit menggunakan benang adalah mudah. Doktor akan memeriksa kulit terlebih dahulu sebelum benang dibenamkan di bawah permukaan kulit menggunakan jarum panjang dan halus. Benang ini akan kekal selepas jarum ditarik keluar.
HASIL RAWATAN BENANG PDO
Tiada perubahan dramatik seperti pembedahan facelift, sebaliknya perubahan kaedah benang PDO adalah signifikan tetapi halus. Rawatan ini menghasilkan keputusan yang hampir serta-merta, dan bahan-bahan dalam benang jahitan juga merangsang tubuh untuk menghasilkan kolagen bagi mengekalkan penampilannya yang muda. Kesan untuk benang pengangkat muka (threadlift) boleh bertahan sehingga 18 bulan.
Prosedur rawatan perlu diulangi setiap dua tahun untuk menghasilkan kesan penegangan kulit jangka panjang.
BENANG KOLAGEN
Tenaga Pengajar dan Pengasas The Beauty Expert Academy (TBEA), Mastura Idris pula berkongsikan kaedah penggunaan benang kolagen yang dapat memberi hasil kulit anjal serta-merta dan berkilat.
Rawatan ini sangat selamat kerana serum meresap terus ke kulit. Tiada batasan usia untuk rawatan ini. Seawal 21 tahun ke atas boleh mencuba kaedah benang kolagen.
KESAN RAWATAN BENANG KOLAGEN
* Menganjalkan wajah dan leher seperti kulit pipi serta rahang.
* Meremajakan kulit wajah.
* Mengurangkan kerutan pada wajah, garis senyum, kerutan pada dahi dan sudut mata.
* Mencerahkan kulit wajah.
* Mengecilkan pori-pori.
* Membuat wajah menjadi tirus.
* Mengurangkan kulit berlapis di bawah dagu.










