Alina beramal jariah melalui seni - Utusan Malaysia

Alina beramal jariah melalui seni

Alina Nikolaeva berpendapat bakat dan kelebihan dimiliki perlu dikongsikan kepada masyarakat dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mungkin pada ketika ini, Malaysia sedang terbelenggu dengan pelbagai masalah terutamanya dalam sektor ekonomi yang kian meruncing. Namun pada sisi lain, warga asing melihat Malaysia sebagai destinasi berpotensi mengembangkan kerjaya dalam bidang seni.

“Saya dapati dunia seni di sini sangat hebat malah turut mengenali beberapa pakar seni tempatan.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai orang mula memberi perhatian lebih kepada seni berbanding sebelum wabak termasuklah di Malaysia. Selaku artis seni sudah tentu saya merasa gembira melihat perkembangan ini,” ujar Alina Nikolaeva, 49, asal Nakhodka, Rusia kepada Utusan Malaysia.

Wanita yang sudah menetap di Malaysia selama 17 tahun ini, berpandangan seni tidak mengenal bangsa, agama dan negara.

Malah setiap seniman memahami antara satu sama lain tak kira di mana sahaja pun mereka berada.

Beliau kini aktif mencurahkan ilmu tentang seni di Sekolah TLS Antarabangsa, Kota Damansara. Khidmatnya sangat diperlukan memandangkan beliau merupakan pemenang Pameran Seni The Great Copy pada Jun 2022 anjuran Eurasian Art Union dengan kerjasama pertubuhan antarabangsa, World Find Arts. Beliau turut memegang keahlian Kesatuan Seni Eurasia.

“Saya menggunakan semua kaedah seperti menggunakan pensel, arang, pensel warna, cat air, lukisan akrilik, lukisan minyak, pastel minyak, pen marker, medium campuran dan sebagainya,” ujar penerima anugerah anugerah Pameran Seni Art Geo pada Julai 2022 ini.

Bakat dan kehebatan Alina juga telah berjaya membuatkannya merangkul dua lagi anugerah penghormatan Pameran Seni Watercolorium dalam kategori Lelaki dan Wanita pada April 2022 anjuran World Find Arts.

Apa yang lebih mengagumkan, Alina juga aktif membawa konsep ‘Seni Amal Jariah’ dengan menggerakkan aktiviti mengajar seni secara percuma kepada golongan susah di sini. Beliau pernah menjalankan kelas seni yang disertai lebih 100 kanak-kanak orang Asli.

Antara pakej ditawarkan kepada mereka yang berminat mendapatkan khidmat Alina adalah kelas secara berkumpulan atau individu sama ada secara atas talian atau langsung.

Kelas-kelas ini juga terbuka siapa sahaja yang berminat untuk berkecimpung dalam dunia seni.

PINDAH KE MALAYSIA TUNTUT ILMU
Sehingga kini, para pelajar Alina terdiri dalam kalangan warga tempatan dan asing.

Menurutnya, salah seorang pelajar sanggup berpindah dari tanah airnya, Kanada ke Malaysia semata-mata menuntut dengannya.

“Kemahiran terutamanya seni memang mendapat permintaan tinggi dari seluruh dunia. Ramai pemain seni sudah mula menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk menunjukkan bakat mereka,” kata Alina.

Perkara ini sememangnya perlu diambil perhatian oleh penggiat seni tanah air.

Jangan simpan sahaja bakat dan kelebihan itu, sebaliknya kongsikan kepada masyarakat dunia.

“Melukis tak susah, sebab bila anda dah mula melukis, anda pasti akan tenggelam dalam lukisan tersebut.

“Pelukis terbaik adalah pelukis yang mempunyai objektif yang tuntas selain menghayati setiap coretan di atas kertas,” katanya.

Alina sering mengingatkan pelajarnya untuk terus bekerja keras tanpa mengalah.

Balai Seni Negara harus diperkasakan dengan menganjurkan lebih banyak pertandingan dan pertunjukan seni bertaraf dunia.

Mengapa tidak kita jadikan Malaysia sebagai hub-seni, bukankah negara ini mempunyai ramai pemain seni bertaraf dunia?

Sangat rugi kalau bakat mereka itu hanya berlegar dalam ruang lingkup yang terhad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN