Aktiviti kumpulan agama wajar dipantau - Utusan Malaysia

Aktiviti kumpulan agama wajar dipantau

Ajaran sesat masih disebarkan dan kini menerusi media sosial. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini tular di media sosial dan berita arus perdana berkenaan kumpulan agama dikhuatiri menyeleweng dari ajaran sebenar Islam. Berita ini sangat membimbangkan kita. Tindakan Jabatan Mufti Negeri Sembilan yang menutup sebuah pusat pengamalan tarikat yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus Habib Ahmad wajar dipuji.

Kumpulan ini dikatakan melakukan amalan yang bercanggah dengan Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005. Tarekat ini dikatakan menyebarkan kepercayaan dakwaan bahawa Imam Mahdi akan muncul pada Hari Arafah.

Berita dakwaan sesat sebegini begitu mudah untuk menarik perhatian masyarakat umum. Ada pengikut kumpulan yang menjual harta benda untuk menunggu kedatangan Imam Mahdi di Mekah.

Dakwaan kemunculan Imam Mahdi atau dakwaan tokoh tertentu bahawa pemimpin mereka adalah Imam Mahdi bukanlah satu perkara baru dalam kalangan umat Islam. Banyak kumpulan bertopengkan agama dalam dan luar negara membuat dakwaan tidak berasas begini untuk menarik ramai pengikut. Mereka akan membuat persediaan menantikan kemunculan Imam Mahdi dan sekali gus menyebarkan ketakutan dalam kalangan orang awam.

Minggu ini kita dikejutkan dengan kewujudan sebuah kumpulan bertopengkan agama dan ajaran sesat dikenali Hadi Minallah. Kumpulan yang berasal dari negara jiran ini dikesan menyebarkan dakyah mereka melalui pelbagai medium seperti saluran YouTube yang dikenali sebagai Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Pengasas kumpulan ini menyebarkan ajaran makrifat sesat, menyokong pluralisme agama malah pengasasnya sendiri mengaku tiada agama.

Kumpulan ajaran sesat mempunyai figura yang menjadi ikutan dan idola para pengikut mereka. Pengikut yang naif, dahagakan ilmu, yang mahu berubah menjadi lebih baik mudah terpedaya dan terpesona dengan kelunakan tutur bicara pesona figura kumpulan begini. Ucapan dan ajaran yang disulami ayat al-Quran dan hadis hanyalah topeng menarik pengikut yang jujur.

Lebih menyedihkan pengikut kumpulan ini boleh berubah menjadi taasub dan fanatik mempertahankan guru dan kumpulan mereka. Malah begitu ramai yang mengetepikan pasangan dan ahli keluarga serta sanggup melanggar peraturan pihak berkuasa untuk meneruskan perjuangan kumpulan mereka.

Kita pasti tertanya-tanya apa tarikan ajaran sesat ini hingga boleh mengumpul ramai pengikut?

Satu kajian yang pernah dilakukan menunjukkan ajaran sesat ini kebiasaannya mempunyai ciri-ciri utama iaitu mahu kebebasan syariat dan mencari kelainan dalam kehidupan beragama. Mereka tidak mahu terikat dengan undang-undang Syariat dan mencipta ritual mereka sendiri yang sesuai dengan kehendak mereka.

Perintah solat, puasa dan zakat akan ditafsirkan sesuka hati untuk kepentingan diri dan kumpulan terbabit. Zakat akan diserahkan kepada ketua kumpulan mereka dan takrifan asnaf ditafsirkan mengikut kepentingan mereka.

Solat, haji dan puasa juga diamalkan menurut pentafsiran yang jauh menyimpang dari ajaran sebenar.

Selain itu, kumpulan ini juga mengembangkan aktiviti mereka melalui aktiviti pengumpulan dana awam. Bukan sedikit pengasas kumpulan ajaran sesat yang dikesan mempunyai gaya hidup mewah hasil sumbangan dana pengikut mereka yang taasub dengan pemimpin kumpulan agama mereka.

Dalam masa yang sama, terdapat kumpulan ajaran sesat yang mengeksploitasi wanita supaya tunduk dan patuh kepada golongan lelaki kumpulan ini. Lebih radikal terdapat pengikut wanita sanggup dijadikan hamba seks bagi pemimpin kumpulan ini.

Ciri-ciri ini boleh dikesan jika pemimpin kumpulan mendakwa dia mempunyai keistimewaan untuk menyentuh dan berkhalwat dengan wanita dan pengikut wanita akan mendapat penghormatan jika disentuh serta berkhalwat dengan pemimpin suci mereka.

Ada juga kumpulan ajaran sesat yang ditubuhkan pada awalnya atas dasar kebenaran tetapi menyeleweng apabila jumlah pengikut bertambah ramai. Pengaruh dan sokongan yang bertambah kuat ini akan menyebabkan pengasas kumpulan lupa diri dan mudah menyeleweng.

Pengikut yang naif dan ikhlas boleh berubah menjadi ekstrem, fanatik dan taasub. Mereka akan menerima apa sahaja ajaran yang dibawa walaupun ia jelas bertentangan dengan Islam. Ini kerana bagi pengikut ini, ketua mereka sudah mencapai ismah, infallibility atau terpelihara dari sebarang kesalahan. Pada pandangan pengikut kumpulan ajaran sesat, kebenaran itu hanya datang dari mulut ketua atau pengasas mereka sahaja.

Ajaran mereka yang pada asalnya adalah benar boleh bertukar menjadi ajaran yang mengelirukan kerana kejahilan pengasas dan tenaga pengajarnya. Bersikap degil dalam isu agama, menolak fahaman arus perdana dan pandangan yang diiktiraf muktabar kerana mereka sudah mempunyai pengikut yang ramai.

Sehinggalah mereka berasakan sudah mempunyai kuasa mutlak untuk ‘membuat hukum berkaitan agama’. Atas sebab kedegilan dan pengaruh besar inilah menjadikan mereka berani melawan pihak berkuasa agama dan mampu mengancam keselamatan negara.

Justeru, adalah penting setiap kumpulan agama dan pendakwah agama untuk berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri. Kegiatan penyebaran ilmu agama perlu dipantau dan sebarang penyelewengan perlulah dilaporkan segera bersama bukti yang jelas.

Kelangsungan kumpulan agama yang benar dan ikhlas amat penting untuk membantu dakwah Islamiah namun tidak dinafikan penyelewengan akan mudah berlaku jika pemantauan tidak dilakukan dengan baik. Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) sebagai contoh mengambil pendekatan terbaik memantau Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK).

MAIS melakukan koloborasi dengan agensi kerajaan seperti Pendaftar Pertubuhan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau dan menjalinkan kerjasama yang baik dengan kumpulan dakwah agama Islam di Negeri Selangor.

Masyarakat yang dahagakan ilmu agama perlu bijak untuk membezakan ajaran yang hak dan ajaran yang sesat.

Kumpulan yang mempunyai tiga ciri ini; mengejar kuasa, harta dan wanita haruslah dijauhi. Kumpulan ini akan bijak memanipulasikan pengikut mereka untuk kepentingan golongan tertentu.

Proses verifikasi perlu dilakukan sekiranya pendakwah atau sesuatu kumpulan membawa ajaran yanh berlawanan dengan amalan yang sahih dan benar mengikut fatwa yang dipersetujui setiap negeri. Masyarakat Muslim boleh membuat laporan dan aduan ke Pejabat Agama yang terdekat.

——

Penulis ialah Prof. Madya di Universiti Sains Islam Malaysia, Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan MAIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×