AIM 23 cerminan realiti industri muzik - Utusan Malaysia

AIM 23 cerminan realiti industri muzik

Rosmin (tengah) bersama Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna, Norzeha Mohd. Salleh (kanan) ketika sidang media AIM 23 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lima tahun ‘direhatkan’ gara-gara masalah kewangan, penajaan dan penularan Covid-19, Anugerah Industri Muzik (AIM) kembali dianjurkan tahun ini untuk mengiktiraf penggiat muzik tempatan.

Bakal berlangsung pada 11 September depan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), acara berprestij yang memasuki edisi ke-23 itu mempertandingkan 26 kategori, membabitkan produk muzik yang dihasilkan antara Januari 2021 dan Jun 2022.

Mekanisme pencalonan itu, bagaimanapun mencetuskan persoalan apabila ramai berpendapat, kriteria tersebut secara tidak langsung menafikan peluang produk berkualiti yang dihasilkan pada 2017, 2018 dan 2019 untuk turut sama bersaing.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim pada sidang media AIM23, baru-baru ini menjelaskan keputusan itu ditetapkan sebulat suara selepas perbincangan dilakukan bersama ahli RIM.

“AIM kebiasaannya menilai produk muzik yang diterbitkan dalam tempoh setahun. Memandangkan AIM sudah lama tidak dianjurkan, kami ambil keputusan untuk memanjangkan tempoh pencalonan sehingga 18 bulan.

“Jika kami membuka pencalonan terhadap karya yang dihasilkan sebelum tempoh terbabit, AIM mungkin akan dilihat sedikit ketinggalan.

“Justeru, ahli RIM sebulat suara menetapkan hanya menerima penyertaan yang dihasilkan sepanjang 18 bulan lalu untuk memastikan penganjuran acara relevan dengan karya terkini,” jelasnya.

Memantapkan lagi penganjuran, AIM 23 memperkenalkan tiga kategori baharu iaitu Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik dan Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing. Tempoh pencalonan pula dibuka sejak 27 Julai lalu dan berakhir jam 5 petang esok.

Masih berpengaruh, kekal relevan
Meskipun terdapat suara yang mempersoalkan penganjuran edisi terbaru AIM, Rosmin menegaskan, acara berprestij itu masih berpengaruh dan kekal relevan sebagai platform yang mengiktiraf pencapaian penggiat muzik di negara ini.

Ini kerana, kata Rosmin, acara itu masih dinantikan seluruh warga industri muzik, malah karya yang dipertandingkan bakal dinilai panel juri profesional dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Acara ini berbeza dengan pengiktirafan lain kerana panel penilai bagi setiap kategori terdiri daripada mereka yang pakar dan berpengalaman dalam industri (muzik).

“Setiap kemenangan begitu bernilai buat penggiat industri muzik kerana mereka dipilih oleh golongan profesional. AIM akan terus dikenali sebagai acara penganugerahan yang mengiktiraf kualiti dan kecemerlangan, bukan populariti semata-mata,” katanya.

Rosmin tidak menafikan penganjuran AIM23 memberikan cabaran yang tersendiri, terutama untuk ‘membangunkan’ semula acara itu setelah lama ‘ditidurkan’.

“RIM akan memastikan konsep persembahan pada malam kemuncak nanti menepati kehendak ramai. Kami juga kena pastikan proses penjurian dibuat secara profesional kerana itu yang membezakan AIM dengan acara anugerah lain.

“Pemilihan juri juga penting kerana matlamat utama penganjuran acara ini adalah untuk mengiktiraf penggiat seni terbaik,” katanya.

Rosmin memaklumkan, keputusan RIM memansuhkan AIM edisi Cina dan India, sebaliknya dimasukkan dalam kategori Anugerah Utama pada edisi terbaharu ini adalah untuk memberikan wajah baharu, sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Pengikut AIM kebanyakannya terdiri daripada penonton Melayu. Jadi, penganjur berpendapat, lebih relevan jika lagu dalam bahasa Mandarin dan Tamil dimasukkan dalam kategori anugerah utama.
“Kita mahu meraikan dan mengiktiraf karya pelbagai bahasa yang mewarnai industri muzik Malaysia,” katanya.

Kategori pencalonan:
» Artis Baharu Terbaik

» Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)

» Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)

» Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan)

» Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu

» Video Muzik Terbaik

» Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama

» Lagu Rock Terbaik

» Lagu Pop Terbaik

» Lagu R&B/Hip Hop Terbaik

» Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik

» Lagu Inggeris Tempatan Terbaik

» Lagu Cina Tempatan Terbaik

» Lagu India Tempatan Terbaik

» Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara

» Lagu Nasyid Terbaik

» Lagu Pop Etnik Terbaik

» Album Terbaik

» Lagu Terbaik

» Anugerah Sri Wirama

» Kulit Single/Album Terbaik

» Rakaman Album Terbaik

» Rakaman Lagu Terbaik

» Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu

» Lagu Paling Tinggi Distrim

» Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×