Wanita kena sedia ‘ditinggalkan’ - Utusan Malaysia

Wanita kena sedia ‘ditinggalkan’

Datuk Mastura (tengah) bersama anak-anak, menantu dan cucu. (GAMBAR ATAS KIRI) Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika Datuk Mastura Mohd. Yazid mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Kuala Kangsar pada Oktober 2016, ramai yang kurang mengenali beliau kecuali sebagai isteri kepada mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Bagaimanapun, beliau bukan asing dalam kalangan ahli politik terutama UMNO dan masyarakat di Kuala Kangsar kerana selama ini menjadi ‘tulang belakang’ kepada perjuangan parti berkenaan dan kerjaya politik Allahyarham suaminya.

Sebagai isteri wakil rakyat, boleh dikatakan Mastura sentiasa menyertai program bersama rakyat di Kuala Kangsar malah menjadi orang tengah yang menyampaikan masalah, permintaan dan cadangan daripada rakyat yang tidak sempat bertemu suaminya.

Dilahirkan dalam keluarga politik, Mastura sering mengikut ayahanda beliau, Tan Sri Mohd. Yazid Baba yang ketika itu memegang jawatan di peringkat bahagian dan pernah menjadi setiausaha perhubungan Negeri Sembilan.

Beliau mendedahkan pada awalnya cita-cita sebenarnya ingin menjadi seorang doktor tetapi bapanya mahu beliau mengikuti langkah bergelar peguam. Akur dengan permintaan bapanya, Mastura menyedari bapanya sudah dapat mengesan bakat beliau yang mahir berdebat dan berhujah sejak di bangku sekolah lagi.

“Papa pernah menjadi wakil rakyat selama empat penggal di kawasan Teluk Kemang (Rembau), Terentang. Selepas saya menamatkan pengajian di London pada tahun 1979 selama enam tahun dan dilantik sebagai peguam bela dan peguam cara di mahkamah pada 1988, saya kembali aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Wanita Bahagian Teluk Kemang selama sepenggal.

“Selepas bersalin anak kedua di mana ketika itu, suami juga sudah aktif dalam pemuda UMNO di Kuala Kangsar, saya buat keputusan untuk meletak jawatan dalam politik dan menjadi ahli biasa saja untuk memberi tumpuan penuh kepada suami,” katanya kepada Seri.

Di peringkat pusat, Mastura diberi kepercayaan sebagai ahli jawatankuasa untuk menubuhkan Puteri UMNO, diketuai Datuk Azalina Othman Said yang ditubuhkan pada 1997. Antara tugasnya adalah memikirkan nama sayap ketiga parti itu, warna pakaian, cogan kata dan kaedah untuk rekrut gadis muda dalam politik.

TIGA PETANDA
Dunia bagaikan terhenti ketika Mastura menerima berita jenazah suami tercinta, ditemui di Linga selepas helikopter dinaiki dari Betong menghala ke Kuching terhempas pada 5 Mei 2016.
Allahyarham Datuk Wan Mohammad adalah antara enam mangsa dalam nahas berkenaan yang berlaku di Sebuyau ketika menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ketika itu.

“Saya rasa dunia sudah berakhir ketika menerima berita mengejutkan itu. Allah mengambil Allahyarham ketika di puncak kerjayanya. Ada tiga petanda menunjukkan Allahyarham akan pergi buat selama-lamanya yang kami perasan selepas pemergiannya.

“Pertama, ketika hendak keluar rumah pagi itu, Allahyarham hendak memakai baju berwarna tanah (coklat) sedangkan warna kegemarannya adalah putih. Kemudian, sebelum keluar biasanya Allahyarham tidak habis minum airnya tetapi pada hari itu, habis segelas air diminumnya.

“Beberapa hari sebelum itu, kami ke Kuala Kangsar dengan menaiki kereta yang saya pandu. Mak Wan iaitu ibu Allahyarham perasan, cara anaknya melihat wajahnya sangat berbeza daripada biasa.

Allahyarham tidak lepas memandang ibunya yang berdiri di pintu sehingga keluar daripada pagar. Katanya dia tidak pernah melihat cara Allahyarham melihatnya begitu. Allahyarham juga sempat berpesan kepada kakitangannya, Liyana supaya menjaga pejabat dan anak-anaknya,” katanya mengimbau saat terakhir bersama Allahyarham.

Tidak pernah menyangka dipilih menggantikan tempat Allahyarham. Ketika ditanya untuk menjadi calon, Mastura bertanya pada diri, mana lebih penting, perasaan sendiri dilindungi kesedihan atau untuk menyelamatkan negara?

“Kalau ikutkan memang mahu menjalani hidup seperti biasa. Namun saya memilih akur dengan permintaan parti kerana terfikir betapa banyaknya kerja suami yang belum selesai. Saya tak tahu adakah semangat suami yang sama akan dibuat oleh orang lain. Saya tahu apa kerisauan Allahyarham dan misi dan visinya. Dia selalu cakap hanya saya saja yang faham.

“Selama 27 tahun melayari kehidupan berumahtangga, perjuangan untuk bangsa dan negara menjadikan hubungan kami lebih kukuh dan saya mahu meneruskan perjuangan beliau. Ternyata kehadiran saya diterima baik penduduk Kuala Kangsar dan seterusnya memenangi pilihanraya umum ke 14 pada 2018,” katanya.

Tabah besarkan anak
Berkongsi pengalaman kehilangan suami secara mengejut, Mastura berkata, wanita perlu memastikan mereka memiliki kemampuan daripada segi kewangan sebagai persediaan sekiranya berlaku insiden tidak diinginkan ke atas suami.

“Kalau berlaku apa-apa pada suami, isteri tidak rasa kehilangan mengejut itu akan menekan kehidupan mereka. Mereka juga mesti ada satu perkara yang diusahakan sendiri seperti minat untuk kita bersandar dan menjadikan diri lebih sibuk berbanding hanya bersedih.

“Anak-anak adalah perjuangan yang wahid (utama) bagi saya. Saya ada empat anak lelaki yang perlu saya bimbing selepas pemergian bapa mereka. Ketika pemergiannya, tiga anak saya masih belajar dan mereka sedang membuat persiapan untuk mengambil peperiksaan. Tugas saya yang paling besar adalah untuk memastikan mereka berjaya walaupun sehingga sekarang mereka masih terkesan dengan pemergian ayah mereka,” katanya.

Wan Emir Astar seorang arkitek, Wan Imar Izzat pula dalam bidang rekaan, Wan Iskandar dalam bidang kewangan dan Wan Muhammad Ammar, melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Tiada paksaan dalam menentukan kerjaya, tetapi mungkin mereka ‘terpesona’ dengan cara ayah mereka mengasuh dan mendidik mereka selama ini,” katanya yang kini bergelar nenek kepada dua cucu daripada perkahwinan Wan Emir dengan pelakon, Mira Filzah dan Wan Imar dengan pengacara dan pelakon, Shalma Aina.

Tak tahu duduk diam
Tanggungjawab membesarkan anak-anak dan pada masa sama memikul tugas sebagai timbalan menteri sudah tentu membuatkan Mastura tidak terlepas daripada berdepan tekanan.

Bagaimanapun, beliau mempunyai cara tersendiri dalam mengatasi tekanan dialami. Selain berserah kepada pencipta, Mastura gemar memandu malah pernah memandu sehingga ke Johor Bahru dan kembali semula ke Kuala Lumpur selepas tol.

“Muzik juga satu terapi. Saya menggemari R&B, mendengar muzik klasik piano, Mozart dan Bethoven. Masa kecil dulu, ayah saya menghantar saya ke kelas ballet dan belajar bercakap dengan baik serta disiplin dengan kuat.

“Apa yang penting, semuanya dalam minda kita. Saya beritahu diri sendiri bahawa saya tidak akan duduk diam walaupun usia sudah meningkat. Kesihatan juga adalah segalanya. Saya amalkan makan vitamin sejak dari kecil. Ramai yang tidak percaya bila saya kata usia saya sudah cecah 60 tahun. Umur bukan satu ukuran. Saya mampu pergi 20 hingga 30 buah rumah dalam satu hari,” katanya yang turut mementingkan penjagaan kulit wajah.

Walaupun tanpa produk penjagaan kulit berjenama, Mastura memastikan wajahnya dibersihkan sebelum tidur dengan meletakkan krim penjagaan kulit di sebelah katilnya. Jadi, tidak hairanlah kulitnya kelihatan bersih tanpa jeragat atau kedutan.

Mendekati rakyat menerusi LK, Demi Cinta
Pada peringkat kawasan, Mastura lebih gemar mendengar sendiri masalah penduduk dan cuba untuk membantu mereka semampu mungkin berbanding menjalankan program besar-besaran. Ini kerana apa yang penting bagi beliau adalah pulangan untuk ‘perut’ rakyat.

“Setiap dua minggu sekali, saya cuba buat Lawatan Kerja Pejabat Parlimen Kuala Kangsar (LK) iaitu forum rakyat yang terbuka untuk penduduk kampung, belia, wanita, pertanian dan sebagainya. Ia adalah program yang ditunggu-tunggu oleh penduduk kerana pada sesi itu, mereka diberi peluang meluahkan masalah masing-masing. Bermula daripada perkara remeh sehingga isu lebih besar.

“LK menjadi bualan mereka yang seronok kerana dapat berkomunikasi secara langsung dengan saya sehingga ia menjadi program yang ditunggu-tunggu setiap Jumaat. Bermula dengan solat Dhuha bersama wanita, bacaan Yassin untuk semua arwah,” katanya yang menyifatkan program itu adalah kejayaan bagi dirinya.

Program Demi Cinta (DC) turut dijalankan iaitu set makanan berharga RM50 hingga RM80 untuk golongan memerlukan. Setiap kali menziarah orang sakit, beg DC turut disampaikan.

“Program di dewan tidak akan menyelesaikan masalah. Sebolehnya saya melawat lima buah rumah sehari bagi menyampaikan beg DC dan melihat sendiri kehidupan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN