Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan pengembangan, Dr. Milah Zainal merupakan antara pemilik syarikat landskap dan nurseri yang berjaya di selatan tanah air.
Melalui syarikatnya, MZ Landskap & Nurseri Benut, dia berjaya mencapai keuntungan belasan ribu ringgit selepas membayar gaji pekerja, memberi barang hiasan nurseri dan pembelanjaan pengurusan yang lain.
Katanya, dia memilih untuk mengusahakan projek landskap apabila mula menyedari bahawa melalui aktiviti tersebut semua orang mampu mewujudkan suasana yang ceria, indah dan harmoni.
Menggunakan kaedah ‘rekaan gabungan’, landskapnya itu menjadi pilihan ramai pelanggan.
“Saya merancang, merekabentuk, melaksana serta menguruskan landskap untuk keselesaan, keselamatan dan keseronokan komuniti di samping dapat menjana pendapatan.
“Saya mengupah beberapa orang pekerja bagi membantu syarikat saya menguruskan projek-projek landskap pelanggan memandangkan kebanyakan aktiviti dalam pelandskapan memerlukan tenaga atau kudrat golongan lelaki,” katanya kepada Seri.
Dr. Milah berkongsikan tips penting bagi yang ingin membina landskap di kediaman.
“Membina landskap bukan sekadar untuk kelihatan cantik semata-mata, malah ia juga perlu lestari dan praktikal,” pesannya.
Tips
1. Pertama, perlu tahu konsep yang diingini sama ada Melayu, Bali, Jepun atau pelbagai lagi.
2. Tentukan pokok-pokok yang ingin dipilih itu pokok untuk jangka masa pendek atau panjang sesuai dengan keperluan di kawasan landskap.
3. Mempunyai bajet mencukupi untuk pengurusan dan penyelenggaraan.
4. Mempunyai pengetahuan tentang aspek pengurusan pokok dan landskap.
5. Memastikan landskap di kawasan anda selamat untuk orang sekeliling dan tidak merbahaya.
6. Landskap yang baik ialah dengan menjimatkan kos, selamatkan alam sekitar dengan menggunakan barangan terbuang atau terpakai.
7. Batu putih, pagar hiasan, lampu, rumput tiruan dan dek kayu antara contoh elemen yang dapat menaikkan lagi seri landskap.
Dilarang
1. Jangan membina landskap tanpa perancangan yang rapi seperti jenis pokok, konsep landskap, jumlah bajet.
2. Tidak perlu menggunakan pokok yang mahal sebaliknya pokok berkualiti dan susun atur sesuai itu yang terbaik.
3. Bukan sekadar membina landskap tetapi perlu mempunyai komitmen dalam membuat penyelenggaraan dan pengurusan landskap.
4. Landskap dibina tidak mengganggu kesejahteraan jiran seperti menggunakan kawasan jiran, sisa buangan seperti pokok, baja dan sebagainya.
5. Landskap bukan sekadar menggunakan elemen pokok hiasan tetapi boleh menggunakan sayur, herba atau buah-buahan.
6. Jangan mempunyai fikiran bahawa kita yang mencantikkan yang membuatkan tanaman hidup subur tetapi berserah kepada Allah yang Maha menghidupkan dan mematikan.










