REZEKI yang paling bermakna dapat menunaikan haji bersama pasangan suami atau isteri tetapi lebih menggembirakan dan teruja apabila berpeluang dapat melakukan ibadah rukun Islam kelima seisi keluarga.
Mualaf, Dr. Ahmad Kamal Peong Abdullah, 60, sehari sebelum berangkat ke tanah suci Mekah minggu lalu memanjatkan rasa syukur dapat bersama-sama isteri dan tujuh anaknya menunaikan haji tahun ini kerana itulah impiannya.
Kongsi Dr. Ahmad Kamal, beliau awalnya belum bersedia untuk mendaftar haji pada 2008 kerana tidak sanggup berpisah jauh dan memikirkan anak-anak yang masih kecil ketika itu.
“Pada Jun 2008, saya masukkan duit simpanan anak-anak ke Tabung Haji (TH). Kemudian ditawarkan untuk mendaftar haji. Awalnya saya mahu tetapi apabila fikir semula saya tolak sebab fikir anak-anak. Tak sanggup pula pergi berdua bersama isteri sahaja.
“Kalau pergi pun susah, keluarga mentua juga jauh di Ipoh, Perak. Tiada siapa pula nak jaga anak. Namun apabila orang TH memaklumkan jika daftar ketika itu akan dipanggil tunai haji pada 2025.
“Jadi, saya pun isi borang dan daftar semua nama termasuk isteri dan anak-anak pada hari yang sama. Itu yang membolehkan kami dapat pergi haji bersama-sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dr. Ahmad Kamal dan sekeluarga merupakan antara jemaah haji dari Alor Setar, Kedah yang sepatutnya menunaikan haji pada 2020 namun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, tawaran yang datang awal pada 2020 daripada tahun jangkaan susulan ada yang menolak, kematian dan sebagainya namun mereka sekeluarga sudah membuat persiapan.
“Tak sangka dapat panggilan tunaikan haji lima tahun awal daripada yang ditetapkan. Perasaan pun bercampur baur untuk menunaikan rukun Islam kelima ini. Kami dah biasa melakukan umrah, jadi rugilah jika tidak menunaikan haji.
“Untuk persiapan pada 2020, kami sekeluarga sudah bersedia dengan kursus haji dan siap packing baju semua. Juga sudah menghantar buku rawatan dan laporan perubatan serta mendapatkan suntikan namun dimaklumkan perjalanan haji ditangguhkan susulan pandemik dan diminta menunggu sehingga diberitahu,” katanya.
Sungguhpun begitu, beliau berkata, penangguhan itu juga merupakan hikmah buat mereka sekeluarga kerana pada awalnya anak bongsu, Muhammad Luqman Irfan tidak dapat sertai bersama kerana usianya ketika itu 16 tahun.
“Sebenarnya, anak yang bongsu tidak dapat kerana umur dia baru 16 tahun pada dua tahun lalu. Kemudian, kami membuat rayuan dan Alhamdulillah ada rezeki kami sekeluarga tunai haji bersama-sama,” katanya.
Kata Dr. Ahmad Kamal, perasaan dapat pergi satu keluarga lebih seronok tambahan mereka sekeluarga tidak pernah berpisah dan sangat akrab.
“Kalau seorang antara kami tidak dapat pergi, rasa sedih jugalah dan kurang seronok. Sebab kami sudah biasa ke mana-mana sahaja memang akan pergi sekali dan satu keluarga tidak pernah berpisah.
“Anak-anak juga sangat teruja untuk tunai haji di usia muda. Jika orang lain seusia mereka sibuk memikirkan untuk melancong kami sekeluarga hanya fikir untuk melakukan ibadat,” katanya.
Jemaah termuda berusia 18 tahun
Muhammad Luqman Irfan berusia 18 tahun merupakan anak bongsu pasangan Dr. Ahmad Kamal dan Adilah Hanim Mahmud, 59, menjadi jemaah haji termuda yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima sempena Musim Haji 1443H/2022M.
Selain Muhammad Luqman Irfan, kakak dan abang-abangnya Muhammad Abdullah Adli, 32, Muhammad Abdul Rahman Ahnaf, 30, Muhammad Abdul Rahman Asmaan, 28, Fathul Islam, 24, Fatimah Insyirah, 22 dan Ahmad Athar, 20, turut serta menjadi tetamu Allah pada tahun ini.
Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat bersama-sama seluruh ahli keluarga menunaikan haji selepas membuat permohonan rayuan kerana namanya tidak tersenarai pada 2020 susulan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan syarat pemohon atau bakal jemaah bermula 18 tahun.
“Alhamdulillah saya gembira dan teruja dapat pergi bersama dengan ahli keluarga. Risau juga kalau ditinggalkan seorang diri di sini. Rezeki saya apabila rayuan diterima ketika saya sudah berusia 18 tahun pada tahun ini.
“Persiapan juga sudah dilakukan sejak 2020 termasuk pernah mengikuti kursus haji. Saya juga banyak belajar dengan menonton video berkenaan haji di Youtube dan tunjuk ajar daripada ayah.
“Kami sekeluarga juga pernah menunaikan umrah sebelum ini. Jadi, sedikit sebanyak pengalaman yang ada digunakan malah saya memang sudah bersedia dan tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi. Saya juga berharap urusan haji kami sekeluarga dan jemaah lain dipermudahkan,” katanya.
Muhammad Luqman Irfan kini menuntut di Abedeen Academy International and Private School di Cyberjaya. Katanya, rakan-rakan tidak mengetahui dia dapat menunaikan haji.
“Rakan-rakan sekelas tidak tahu saya pergi tunaikan haji sebab tidak memberitahu mereka. Semua sibuk menghadapi peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE). Saya akan mendoakan mereka berjaya lulus cemerlang. Insha-Allah,” katanya.
Mereka sekeluarga antara 297 jemaah haji KT31B yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah pada 23 Jun lalu.










