PADANG BESAR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu disegerakan bagi membolehkan pembentukan kerajaan yang lebih stabil untuk mentadbir negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pembentukan kerajaan yang stabil diperlukan kerana negara bakal berdepan dengan pelbagai cabaran selepas ini.
Menurut beliau, langkah tersebut juga dapat memberi keyakinan buat pelabur-pelabur luar untuk terus bertapak di negara ini.
“Sekarang ini keadaan 50-50 dan pelabur luar tak nak masuk mungkin sebab tak ada keyakinan atau salah satunya kerana kerajaan tak stabil.
“Jadi kita tengah usaha kalau cepat (pilihan raya) lagi baik sebab untuk tunjuk bahawa kita mempunyai kerajaan yang stabil,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa ribut di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Mata Ayer di sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.
Zahidi berkata demikian sebagai mengulas pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan Oktober atau awal November tahun ini adalah tempoh sesuai untuk diadakan PRU15.
Mohamad dilaporkan berkata, tempoh berkenaan adalah ideal kerana pembentangan bajet dapat diawalkan sebelum pembubaran Parlimen dilakukan.
Dalam pada itu, Zahidi berkata, gesaan mempercepatkan PRU15 juga adalah selaras dengan perbincangan yang dicapai oleh pimpinan UMNO sebelum ini.
“Namun rakyat kenalah buat keputusan. Kalau tak nak UMNO, pilihlah parti lain tapi jika mahukan parti yang stabil dan kukuh, pilihlah UMNO,” katanya.
Mengulas mengenai majlis itu, Zahidi berkata, pihaknya turun padang bagi menyerahkan bantuan wang tunai kepada mangsa-mangsa ribut di kawasan Parlimen Padang Besar yang terjejas dengan kejadian itu.
Tambah Zahidi, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pejabat Menteri Besar dan Pejabat DUN.
“Kita bersatu padu untuk membantu mangsa-mangsa ini bagi mengurangkan kesedihan mereka susulan kejadian berkenaan,” katanya.-UTUSAN










