Perlu risau anak muda kita cebur ekonomi gig

Perlu risau anak muda kita cebur ekonomi gig

KADAR pengangguran negara menurun sedikit pada Mei 2024. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ERA digital Revolusi Industri 4.0 dan pascapandemik merangsang sektor guna tenaga negara berubah ke sektor baharu ekonomi gig dengan drastik. Selain individu, negara berada dalam konvensi risiko pekerjaan, eksploitasi guna tenaga tidak mahir dan bakal mencipta jurang agihan kekayaan.

Suasana ini merupakan cabaran baharu yang perlu negara tangani.

Selayak namanya, sektor ini bersifat jangka pendek, bebas dan fleksibel dari segi masa, tempat dan autonomi membuat keputusan sendiri.

Ekonomi gig dalam sistem pasaran bebas mengambil pekerja dengan komitmen jangka pendek. Istilah ‘gig’ dinisbahkan kepada kumpulan pemuzik ‘gigging’ yang bersifat tiada bermasa dan tidak terikat. Dengan kata lain, ekonomi gig ialah pekerja bebas, kontraktor tidak terikat dan bekerja berasaskan tugasan atau projek secara sementara atau sambilan.

Apabila semakin ramai memasuki pekerjaan ini, syarikat penyedia perkhidmatan boleh menetapkan pelbagai cara dan syarat untuk meningkatkan keuntungan mereka termasuklah bayaran kadar upah yang semakin mengecil. Kebanjiran aplikasi mudah alih perkhidmatan gig menjadikan ekonomi gig mendapat sambutan hangat.

Apakah realiti sebenar kehidupan dan pekerjaan dalam sektor ini?

Masalah utama ekonomi gig ialah upah, hak dan keadaan sebenar pekerjaan tersebut. Perasaan memiliki kebebasan hanya satu igauan. Lebih teruk lagi berlaku eksploitasi masa dan kebebasan demi mendapatkan wang. Kepada riders, mereka sebenarnya bersaing dengan tugasan dan kudrat kerana kadang-kadang kemampuan dijadikan cagaran dan dipaksakan diri kerana keletihan. Jika berlaku kelewatan atau kesilapan, pekerja didenda atau deactivated daripada mendapat order.

Tiada lagi bayaran cuti rehat, kebajikan dan kemudahan perubatan. Seorang pemandu, contohnya pemandu e-hailing sepenuh masa menerima ganjaran yang lumayan (sekitar RM3,000-RM5,000), tetapi menjejaskan sektor ekonomi sedia ada seperti melumpuhkan industri kereta sewa dan pemandu teksi.

Bukan tidak pernah kita lihat riders yang terlibat dengan kemalangan atau melanggar lampu isyarat dan memandu dalam keadaan berbahaya. Pengalaman sebagai riders tidak memberi nilai tambah kepada pengalaman seseorang, contohnya seorang graduan yang bekerja sambilan sementara mendapat pekerjaan tetap.

Mendidik guna tenaga dengan mengerah seluruh kudrat demi wang tanpa memikirkan kesihatan dan kebajikan jangka panjang suatu perkara yang tidak sihat dalam sektor guna tenaga negara. Jika kita tidak berhati-hati fenomena digital nomad dan freelancer ekonomi gig ini sebenarnya membawa kepada isu moral, kemanusiaan, keselamatan dan kesihatan serta hak perlindungan pekerjaan.

HAMPA
Di ambang kemerosotan ekonomi yang bakal dihadapi, makin ramai yang akan kehilangan pekerjaan tetap akibat pengecilan operasi perusahaan dan perniagaan. Sistem saraan sukarela dan tawaran pemberhentian kerja juga dalam pertimbangan majikan yang tidak mampu menampung kos penawaran barangan dan perkhidmatan. Di samping membuka ruang kepada peluang menawarkan kerjaya secara sambilan, pasaran dan penawaran pekerja sambilan juga akan meningkat. Walaupun ekonomi gig memberi kesempatan kepada pengusaha mengurangkan tenaga kerja, tetapi dalam masa yang sama kos gaji juga akan meningkat untuk menahan pekerja mereka lari daripada menyertai ekonomi gig.

Adakah ekonomi gig ini suatu yang boleh menyumbang kepada pembangunan individu atau negara? Untuk jangka masa pendek dan secara sambilan tidak mengapa, tetapi dijadikan pergantungan strategik perbelanjaan jangka masa panjang, kerjaya ini tidak membantu. Kemudahan memasuki ekonomi gig ini mempunyai potensi melumpuhkan usaha meningkatkan pemilikan ekuiti terutama dalam kalangan bumiputera.

Kelelahan berkecimpung sebagai bekerja sendiri dalam ekonomi gig akan melumpuhkan semangat mereka membuka perniagaan sendiri. Selagi tidak memiliki perniagaan sendiri, selagi itu bekerja makan gaji tidak menokok jurang pemilikan ekuiti. Latihan dan pengalaman kerja yang tidak mempunyai nilai tambah working poor dari sudut kemahiran, teknologi dan strategi akan merugikan masa mereka yang mempunyai potensi.

Sementara itu, kita menyaksikan kelompok pendatang asing yang bijak memasuki bidang guna tenaga dengan strategik. Sebilangan mereka seperti orang Aceh, menyertai peruncitan sehingga terkenal dengan memiliki rangkaian peruncit di seluruh negara. Pemilik gedung besar dikuasai oleh majoriti satu bangsa sahaja, taukeh pasar borong, kontraktor baik pulih rumah, juruteknik elektrik, pengedar karpet, juga terdiri daripada bangsa-bangsa asing.

Anak muda kita berlonggok di tepi pasar raya besar menunggu pesanan sebagai ejen penghantaran, kadang-kadang pulang hampa. Di manakah silapnya dengan semua orientasi keadaan ini?
Fenomena ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Strata guna tenaga agak tidak sihat apatah lagi untuk memastikan jurang pemilikan ekuiti atau lebih tepat lagi meningkatkan pemilikan ekuiti dalam kalangan bumiputera. Perhatian dan kesedaran perlu dipupuk bagi mengembalikan keseimbangan agihan pendapatan dan kekayaan dalam kalangan rakyat.

Pertama sekali mengubah sikap mengambil mudah, kedua, memberi fokus kepada peningkatan kemahiran guna tenaga mahir dan profesional dan ketiga, peranan kerajaan dalam merancang keseimbangan strata guna tenaga selain memikirkan strategi membentuk pasaran bebas yang unik dan dinamik. Sikap ambil mudah, memilih atau membiarkan guna tenaga, bidang dan kerjaya yang tiada berkemahiran dan tiada masa depan perlu dielakkan kecuali jika terdesak. Jadikan ekonomi gig sebagai jalan terakhir selepas mencuba bidang lain.

Agenda perancangan agihan guna tenaga dan kekayaan perlu diutamakan jika ingin menjamin kestabilan ekonomi dan sosial negara. Penubuhan pusat latihan vokasional dan berkemahiran tinggi dengan memimikkan fleksibiliti masa ekonomi gig dengan kadar pendapatan segera atau dengan kadar upah berkala boleh dijadikan salah satu pendekatan.-UTUSAN

PENULIS ialah Felow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN