Lulusan automotif elektrik, hibrid laku - Utusan Malaysia

Lulusan automotif elektrik, hibrid laku

Peserta berjaya menamatkan kursus akan mendapat sijil dari Institute of the Motor Industry (IMI) di United Kingdom dan diiktiraf menjadi seorang mekanik hibrid dan EV yang mahir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kursus kemahiran profesional dalam bidang automotif elektrik dan hibrid kini dilihat mampu melahirkan pemain industri tempatan yang lebih berdaya saing.

Hal ini diakui oleh Pengurus Pusat Teknologi Kenderaan Hibrid dan Elektrik Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB), Suhaimi Yusof, 38 apabila rata-rata pemain industri yang terdiri daripada golongan jurutera sehinggalah mekanik mula mendaftarkan diri untuk mengikuti Kursus Pensijilan Profesional Hibrid dan Elektrik Tahap 4 di kolej berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2014.

“Dari segi perkembangan teknologi, kita boleh lihat banyak bengkel yang sudah mula mengorak langkah dalam menyediakan perkhidmatan untuk menyelenggara ataupun untuk membaiki kenderaan hibrid dan kenderaan elektrik (EV) ini, di mana tidak dapat dinafikan industri amat perlukan tenaga pekerja mahir ini.

“Maka itulah fungsi kami di sini dengan melatih para peserta untuk memahirkan diri mereka dalam bidang teknologi kenderaan hibrid bagi memenuhi permintaan pihak industri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Fungsi itu, selaras dengan hasrat negara dalam Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang ingin menggerakkan Malaysia dalam matlamat menjadi peneraju serantau dalam pembuatan, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan sektor automotif.

Katanya, dari segi penyertaan dalam bahagian pembaikan dan penyelenggaraan boleh dikatakan agak tinggi sejak kursus ini diperkenalkan pada tahun 2014.

“Malah, penyertaan peserta awam sehingga tahun 2021 kami sudah menerima lebih daripada 5,000 penyertaan tempatan dan luar negara termasuklah dari Singapura, Bangladesh, Thailand, Fiji, Mauritius dan ada juga beberapa peserta dari Eropah yang sudah berhijrah ke Asia untuk datang menjalani kursus tersebut di Kolej Komuniti Kepala Batas,” katanya.

Permintaan meningkat dalam kalangan graduan
Bekas peserta yang mengikuti Kursus Pensijilan Profesional Hibrid dan Elektrik Tahap 4, Mohd. Farid Abdul Manaf, 38 berkata kursus ditawarkan di pusat pengajian tersebut diakui mempunyai standard dan kepakaran sama seperti yang ditawarkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Sebenarnya apa yang saya belajar di KKKB memang boleh diimplementasikan dan asas yang dipelajari di sana sangat kukuh. Malah, ia menjadi lebih mudah disebabkan pengalaman yang saya miliki sebagai jurutera sebelum ini apabila mengusahakan bengkel kenderaan elektrik dan hybrid di Kajang, Selangor sejak empat tahun lalu,” katanya.

Menurut Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) penggunaan kendereaan hibrid dan EV dilihat semakin meluas dalam kalangan rakyat tempatan malah kemasukan kenderaan jenis EV ke dalam pasaran tempatan juga dilihat semakin meningkat.

“Peningkatan kemasukan kenderaan jenis hibrid dan EV sekali gus dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kebaikan kenderaan tersebut terhadap kelestarian alam sekitar selain dapat menjimatkan kos penggunaan petrol yang sememangnya menyumbang kepada pencemaran udara.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejuruteraan selama lebih 10 tahun berkata pemain industri tempatan yang ada digalakkan mengambil kursus yang ditawarkan di KKKB kerana mempunyai fasiliti lengkap malah menyifatkan tenaga pengajar di situ, setaraf dengan negara luar.

“Fasiliti dan tempat latihan disediakan di KKKB, lengkap selain tenaga pengajarnya adalah dalam kalangan mereka yang pakar dalam bidang teknologi hybrid dan EV.

“Malah ada kalanya saya juga mendapat panggilan dari pemain industri negara luar seperti Singapura, Bangladesh, Thailand, Pakistan dan Arab Saudi untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengendalian kenderaan hybrid dan EV.

“Pemain industri yang ada terutamanya rakyat tempatan amat digalakkan mempelajari bidang ini kerana pasaran penggunaan kenderaan hybrid dan EV dilihat kian memberangsangkan kebelakangan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN