UTUSAN: Mengapa remaja kian terbuka berkongsi? Golongan ini cuba menormalisasikan kegagalan dalam peperiksaan adalah sesuatu yang tidak memalukan dan berani menghebahkan kepada umum demi meraih perhatian. Tanpa sedar perkongsian ini sebenarnya memberi kesan negatif kepada remaja lain yang terikut-ikut bahawa kegagalan peperiksaan adalah perkara biasa sahaja tanpa ada rasa penyesalan.
Mereka sebaliknya berlumba-lumba meraih perhatian melalui konten yang mampu mengundang tular sekaligus menjadikan mereka terkenal walaupun berkongsi sesuatu yang memalukan dan menjatuhkan maruah diri dan orang lain.
Isu paling merisaukan, bukan sekadar berkongsi kegagalan keputusan SPM itu sahaja, tetapi yang menjadi tumpuan, adakah sistem pendidikan kita hari ini, yang asasnya selama 12 tahun persekolahan menghasilkan pelajar yang gagal? Adakah langsung tiada ilmu atau pengetahuan akademik diperoleh dan dicapai? Bagaimana pula daripada segi ilmu emosi, rohani dan moral?
Adakah mereka memikirkan akademik tidak lagi penting?
Ada segelintir remaja abad 21 yang melihat akademik bukan lagi keutamaan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2021 merekodkan seramai lebih 10,000 remaja keciciran tidak mengambil SPM. Trend ini bermula apabila remaja melihat bahawa sumber kewangan itu lebih penting daripada pelajaran.
Namun bukan salah remaja sepenuhnya, ini kerana perkembangan masa dan teknologi telah membuka lembaran kerjaya baharu dalam masyarakat yang memberi peluang remaja mendapat pendapatan sendiri. Contohnya remaja hari ini terlibat dalam pekerjaan foodpanda, grab, gamers, pempengaruh media sosial dan perniagaan atas talian yang membawa pulangan hasil lumayan.
Oleh itu remaja ini melihat bahawa pelajaran dan peperiksaan bukan lagi sesuatu yang penting untuk diberi keutamaan, selain desakan ekonomi yang memerlukan golongan ini turut menyara keluarga.
Benar kecemerlangan akademik bukanlah penentu kejayaan dalam kehidupan, namun ilmu dan pengetahuan itulah yang membezakan cara berfikir dan membuat keputusan dalam melayari kehidupan dalam kerjaya, keluarga dan masyarakat kelak.
Bagi remaja yang mementingkan keseronokan dan kemewahan jangka pendek biasanya dikaburi dengan pendapatan yang lumayan di usia muda serta melihat akademik itu sebagai sesuatu yang tidak penting. Namun masih terdapat remaja yang melihat akademik sebagai keutamaan dan sentiasa berusaha untuk menimba ilmu agar berpeluang menjadi individu yang lebih baik dan mencapai cita- cita dalam kerjaya yang diimpikan.
Bagaimana mengatasi hal ini?
Bukanlah kesalahan bila gagal dalam peperiksaan, namun sikap berbangga dan menghebahkan kegagalan itu untuk tujuan meraih perhatian menunjukkan ketidakmatangan remaja. Bagi yang tidak cemerlang atau gagal SPM, mereka sebenarnya tidak boleh terus dibiarkan keciciran.
Faktor keciciran remaja seperti tidak mengambil peperiksaan dan gagal dalam SPM perlu ditangani sebaik mungkin, agar golongan ini tidak hanyut dalam dunia sendiri tanpa bimbingan.
Cadangan lain?
Terdapat cadangan sistem pendidikan di negara kita perlu ditambahbaik agar lebih relevan dengan perkembangan semasa dan menyediakan peluang kerjaya berdasarkan pengkhususan lebih awal mengikut kemampuan fizikal dan kognitif pelajar.
Bagi pelajar yang tidak mampu menguasai akademik golongan ini perlu disediakan pelan kontingensi sebagai alternatif menyertai bidang kemahiran yang diperlukan dan menyediakan permintaan pasaran yang tinggi dalam masyarakat. Ia boleh membuka peluang kerjaya dalam bidang kemahiran diminati serta menjadi usahawan dan mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain.
Hari ini peranan dan fungsi kaunselor sekolah dilihat sangat penting dalam membentuk kemenjadian pelajar, bukan sahaja daripada segi akademik namun akhlak dan adab. Kaunselor sentiasa membantu pelajar merangka masa depan dengan menyediakan maklumat mengenai latihan, peluang berkaitan pendidikan dan kerjaya.
Bantuan kewangan dan kemudahan ditawarkan kerajaan perlu disebar luas kepada golongan ini dalam membantu merancang kehidupan. Oleh itu remaja yang keliru atau mempunyai isu mengenai pendidikan dan kerjaya sentiasa dialukan untuk menjalani sesi kaunseling bersama kaunselor. Ibubapa juga berperanan penting untuk sentiasa memantau potensi anak-anak dalam bidang akademik.
Jika ibubapa mendapati anak mereka lemah dalam pelajaran, segeralah berbincang dengan guru dan mencari penyelesaian bijak agar tidak berlaku keciciran.
Sentiasa cakna mengenai perkembangan anak- anak terutamanya di peringkat remaja. Dekati mereka dengan berkawan, mendengar pendapat dan luahan. Berbincang secara rasional dan matang serta pantau rakan-rakan dan media sosial anak-anak untuk melihat aktiviti mereka.
Adakah perkongsian daripada pempengaruh media sosial memberi impak besar?
Trend pempengaruh yang sentiasa menunjukkan bahawa kegagalan dalam pelajaran namun tetap berjaya dan kaya-raya turut mempengaruhi golongan remaja. Ini kerana di peringkat remaja, golongan ini sedang mencari identiti diri dan mudah terikut dengan individu yang diminati serta mengidolakan kehidupan seperti yang dikongsikan.
Kesannya apabila perkara yang tidak baik kerap ditonjolkan dalam konten di media sosial, trend yang tidak sihat ini mudah mempengaruhi remaja yang kurang jati diri dan pendirian. Remaja perlu disedarkan SPM bukan segalanya, namun ini adalah permulaan langkah dalam penentuan pendidikan dan kerjaya yang akan diceburi kelak.
Apakah trend ini akan memberikan kesan besar kepada perkembangan remaja?
Trend bangga bila gagal dalam peperiksaan memberi kesan besar kepada remaja itu sendiri daripada pelbagai aspek. Kesan paling jelas adalah tahap kognitif yang rendah pada diri remaja, kurang tahap kematangan, tidak bijak mengurus emosi serta keperluan penghargaan kendiri untuk mendapat perhatian melalui ‘konten sampah’ yang semakin bercambah di media sosial.
Namun kesan paling merisaukan ke mana akhirnya halatuju golongan yang tercicir ini?Bayangkan masa hadapan bangsa, agama dan negara kita apabila pewarisnya tidak berilmu dan berakhlak serta hanya mementingkan keseronokan sementara dan berfokus kepada material sahaja.
Sebagai masyarakat kita perlu berganding bahu untuk sama- sama memboikot konten yang tidak baik,memalukan diri dan orang lain serta memberi kesan negatif. Bantu galakkan perkongsian yang memberi inspirasi terutamanya kepada golongan remaja serta mengangkat contoh dan idola berjaya tanpa perlu menjatuhkan maruah diri dan orang lain.
Ini kerana setiap daripada kita bertanggungjawab untuk saling bekerjasama membina generasi Malaysia yang positif, cemerlang, berakhlak dan mempunyai jati diri dengan nilai- nilai baik yang kita ada.










