SEJAK muncul sebagai penaja utama sebuah anugerah berprestij di sebuah saluran televisyen awal tahun lalu, nama Eriyca Baiduri Abdul Rashid, 33, kian menjadi sebutan.
Keanggunan dirinya bersulam sikap merendah dirinya pada anugerah berkenaan dengan hanya duduk di kerusi penonton tanpa banyak kerenah membuatkan ramai terpesona dengan peribadi figura yang pemurah dengan senyuman ini.
Pengasas produk kosmetik Noir Health and Beauty ini, Seri temui baru-baru ini memang bagai dikata.
Bertemu empat matanya dengannya menyerlahkan keperibadian dimiliki. Lemah-lembut dan sopan tutur kata seperti yang dipamerkan di kaca televisyen.
Namun di sebalik kelembutan itu tersembunyi ketegasan yang menjadikan siapa dirinya hari ini.
“Idea berniaga itu apabila saya nak pindah rumah lalu nak jual pakaian lama.
“Jualan laris dan rasa seronok berniaga jadi saya rasa perlu buat sesuatu. Dari situlah terlahirnya Noir,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Madammu.
Noir Health and Beauty, adalah syarikat produk kecantikan, sejak ditubuhkan pada 2017 ia sudah melahirkan 30,000 usahawan dan 100 jutawan berpendapatan konsisten lima angka sebulan.
Kejayaan tidak datang bergolek, ia merupakan hasil tuaian tidak kenal erti lelah membangunkan jenamanya sendiri.
Kongsi Eriyca, resipi kejayaannya adalah sentiasa fokus mencari keuntungan dari setiap sudut serta bijak mencipta pelbagai peluang untuk terus bergerak maju ke hadapan.
“Semasa bekerja saya serius dan pentingkan keuntungan. Saya tidak akan buang masa untuk perkara yang tidak mendatang keuntungan,” katanya.
Mengenai komen isu jutawan kosmetik sebenarnya hanya menunjuk-nunjuk kemewahan, jelitawan itu menafikannya sebaliknya menjelaskan, perkongsian dilakukan bagi menzahirkan kegembiraan atas kejayaan dikecapi.
“Netizen boleh suarakan apa yang mereka rasa dan fikir, tetapi usahawan kosmetik ini selalunya datang dari latar belakang susah, mereka berjuang untuk berjaya.
“Bila berjaya dan cipta kejayaan mereka gembira dan cuba untuk membantu lebih ramai wanita yang duduk ditempat atau taraf kewangan yang sama dengan mereka dulu. Tidak salah berkongsi setiap kejayaan sebagai memberi inspirasi kepada ramai wanita lain,” kongsinya.
Sikap keazaman Eriyca adalah hasil dirinya menyaksikan kepayahan ibunya membesarnya bersama tiga beradik bersendirian dalam keadaan serba sederhana.
Dari pengalaman itu, anak kedua daripada tiga beradik ini bangun mengubah nasib dirinya dengan lebih bersemangat.
Mengenai kecantikan dimiliki melayakkan dirinya bergelar selebriti atau model, wanita jelita ini memberitahu beliau pernah mengimpikan kerjaya sebagai pembaca berita selepas menamatkan pengajian Ijazah dalam bidang Komunikasi Massa, tetapi impian tinggal impian. Beliau bersyukur laluan rezekinya terarah ke bidang perniagaan.
Malah perniagaan dijalankan secara ‘tidak sengaja’ itu juga menjadikan beliau merupakan antara jutawan kosmetik terkemuka di negara ini.
“Jutawan itu maksudnya bila anda mampu membantu. Sebaik-baik manusia adalah insan yang memberi manfaat,” ujarnya lagi mengenai erti jutawan pada kaca matanya.
Mengenai perancangan masa depan, beliau merancang meluaskan empayar jenama ke luar negara seperti India dan Selatan Asia.
Pilih pemasaran lebih classy
Ditanya mengapa Noir tidak memilih kaedah pemasaran yang lazim digunakan seperti tular dan gimik, Eriyca berkata, dia tidak ke arah itu.
Tidak mahu mengkritik atau mempersoalkan tindakan pengasas-pengasas kosmetik lain yang menggunakan kaedah pemasaran ‘murahan’, Madammu berkata ia terpulang kepada kehendak masing-masing.
“Setiap orang ada cara berbeza dan di Noir kita ada hala tuju. Bukan saya tidak bersetuju cara begitu tetapi kita tidak memilih atau kita bukan ke arah seperti itu.
“Bukan hendak kata tular itu tidak bagus tetapi kita pilih untuk naikkan Noir dengan cara Madammu… very classy,” katanya sambil tersenyum.
‘Suami, Tuan Penasihat’
Suri cinta Muhammad Azri Che Noh ini mengakui kejayaannya ketika ini adalah hasil dorongan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada suami tercinta.
Malah, dia sering menggelarkan suaminya sebagai TP yang membawa maksud Tuan Penasihat ketika melakukan penstriman langsung di Facebook mahu pun instagram.
Mendirikan rumah tangga pada tahun 2015, Azri merupakan seorang duda kepada tiga orang anak.
Sehingga kini, Eriyca mengakui hubungannnya bersama anak-anak tiri yang semakin membesar sangat rapat.
Buat IVF
Sudah menjadi lumrah, apabila semakin dikenali sudah tentu perlu berhadapan dengan mulut-mulut netizen yang adakalanya menyakitkan hati.
Namun, bagi wanita kecil molek ini, dia memilih untuk tidak terlalu mempedulikan cemuhan netizen yang adakalanya menganggunya ketika melakukan penstriman langsung kerana menganggap mereka tidak mengenalinya sepenuhnya.
“Netizen ini kelakar dan menyeronokkan. Kadang-kadang perkara yang kita sampaikan itu mereka tidak faham dan bagi saya selagi mereka tidak faham, saya akan fahamkan mereka.
“Saya tidak ambil serius apa yang mereka katakan sebab mereka tidak kenal pun saya secara dekat dan hanya kenal di media sosial sahaja. Saya rasa tidak ada keperluan untuk marah atau melenting,” jelasnya.
Perkongsian Eriyca mengenai dirinya membuat rawatan kesuburan pensenyawaan in-vitro (IVF) baru-baru ini turut dipersoalkan netizen.
Namun beliau tidak mahu mengambil pusing mengenai perkara berkenaan.
Paling penting, kaedah dialkukan itu adalah sebahagian daripada usahanya bersama suami untuk mendapatkan zuriat sendiri selepas hampir tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
“IVF adalah usaha untuk saya, keluarga dan masa depan saya.
“Malah, ramai wanita di lain sedang berusaha sama seperti saya. Mungkin perkongsian saya itu mampu bagi inspirasi kepada wanita-wanita lain,” jelasnya.









