Ell murung dianggap ‘kilang buat anak’ - Utusan Malaysia

Ell murung dianggap ‘kilang buat anak’

Ibu muda itu mengalami kesedihan dan tekanan yang berpanjangan selepas kerap hamil sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP pasangan berkahwin pasti inginkan kemanisan berpanjangan dalam rumah tangga dibina. Persefahaman dan sikap tolenrasi antara suami isteri penting dalam memastikan kerukunan rumah tangga.

Ini termasuk perancangan memiliki zuriat yang bakal mewarnai hubungan dan mengeratkan lagi ikatan suami isteri.

Bagi pasangan suami isteri yang sudah mempunyai anak kepentingan merancang kehamilan seterusnya amat penting.

Ini terutamanya selepas melahirkan anak sulung. Banyak perkara perlu diberi perhatian termasuk daripada aspek kesihatan dan kondisi isteri, faktor ekonomi dan kedudukan kewangan keluarga.

Namun tidak semua isteri bernasib baik dan mempunyai persefahaman dengan pasangan mengenai kepentingan merancang kehamilan sebagaimana kisah yang saya kongsikan minggu ini.

Kisah Ell (bukan nama sebenar) diceritakan sendiri oleh adik kandungnya, Fazrina (bukan nama sebenar) melalui emel yang dikirimkan kepada saya baru-baru ini.

Ell mengalami kemurungan selepas melahirkan anak kelimanya, kira-kira sembilan tahun lalu.

Ibu berusia 35 tahun itu mengalami kesedihan dan tekanan yang berpanjangan selepas kerap hamil sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Memulakan cerita, sementara menunggu keputusan ke universiti, Fazrina diminta menjaga anak-anak saudaranya yang masih kecil ketika itu.

Kebetulan Ell baru sahaja habis berpantang anak keempat.

Sepanjang berada di rumah Ell, Fazrina menyaksikan sendiri bagaimana kelam kabut kakaknya yang terpaksa menguruskan anak-anak, suami, rumah tangga dan pekerjaannya.

Bukan mudah menjaga anak-anak sendirian. Lagi-lagi kalau terpaksa uruskan anak-anak yang masih kecil.

Jarak umur anak-anak saudaranya juga rapat. Semua lelaki. Yang sulung, Mahadi (bukan nama sebenar) baru masuk empat tahun. Kedua, Danish (3 tahun), dan ketiga, Aiman (setahun setengah).

Selagi ada anak kecil, memang susah nak buat kerja, Yang sana meraung, yang sebelah sini nakkan susu, juga bayi yang perlu diberi perhatian.

Belum campur rumah bersepah bagai tongkang pecah.

Bukan itu sahaja, anak-anak saudaranya juga tidak mendapat kasih sayang yang sepenuhnya daripada ibu bapa kerana perlu berbahagi perhatian dengan adik yang baru dilahirkan.

Menulis kisah kakaknya, Ell bukan sahaja tiada persefahaman dengan suaminya, Razak (bukan nama sebenar) malah lelaki itu sering lepas tangan dalam soal penjagaan anak-anak.

Ell hidup dengan seorang suami yang tegas dan garang. Jarang sekali dia diberi pilihan untuk membuat keputusan dalam hidupnya.

Bukan Ell tidak pernah mempertahankan diri dan menyuarakan pandangan dalam nada lembut berhubung soal merancang kehamilan dan penjagaan anak-anak kepada suaminya, namun ditolak mentah-mentah.

Disebabkan tidak ada tolak ansur, yang menanggung adalah kakaknya. Padahal kakaknya tidak rela mengandung lagi.

Kakaknya telah cuba bermacam cara untuk menjarakkan kehamilan seperti makan pil dan mengambil suntikan, namun setiap kali cadangan itu dikemukakan, ia tidak pernah dipersetujui Razak.

Ell terus dianggap ‘kilang’ membuat anak.

Razak yang sibuk ke luar daerah seolah-olah tidak memperdulikan keadaan kakaknya yang terpaksa menguruskan anak-anak sendirian di rumah sehingga mengganggu emosi dan mentalnya.

Berikutan situasi itu, kakaknya sering menjadikan anak-anak sebagai mangsa melepaskan kemarahan.

Semasa di semester pertama, Fazrina mendapat perkhabaran, kakaknya hamil lagi anak kelima.

Fazrina juga mendapat tahu kesihatan kakaknya semakin merosot dan memaksanya berhenti kerja.

Fazrina sangat simpati dengan nasib kakaknya, namun apakan daya dia sendiri tidak mampu membantu.

Sungguhpun berat dilanda ujian, namun Fazrina percaya kakaknya berupaya mengharungi ujian dan takdir yang tertulis.

Walaupun kisah itu lebih sedekad berlalu, ia tetap bermain dalam fikiran Fazrina. Apalagi mengenangkan nasib kakaknya sekarang yang hanya bergantung hidup sepenuhnya kepada ibu dan ayah mereka di kampung.

Suami pula hilang entah ke mana selepas tidak sanggup menerima keadaan kakaknya yang dianggap ‘tidak siuman’.

Makan pakai kakak, dijaga rapi oleh ibunya, selain masih mengambil ubat yang dibekalkan pihak hospital.

Fazrina turut berharap kisah kakaknya itu boleh dijadikan pengajaran kepada para suami di luar sana agar lebih bertimbang rasa dan bertanggungjawab.

Sememangnya setiap anak itu Allah sudah tentukan rezekinya. Tetapi sebagai ibu bapa janganlah kita hanya bergantung kepada rezeki anak tanpa berusaha dan berikhtiar.

Memang kita digalakkan untuk memiliki ramai anak tetapi adakah kuantiti dicari berbanding kualiti.

Nikmat Allah, tapi usaha merancang jarak kehamilan itu harus, untuk memberi tumpuan kepada penjagaan dan didikan kepada anak-anak yang lain.

Berkahwin dengan isteri bukan sekadar untuk melampiaskan nafsu semata-mata, tetapi atas rasa tanggungjawan dan kasih sayang.

Fahami dan dengarkan luahan si isteri terutama mengenai kesediaan mereka menimang cahaya mata baru selepas melahirkan anak.

Suami tidak boleh pentingkan diri sendiri. Jika isteri tidak sihat, pastikan dia benar-benar sembuh dahulu dan ada sebab, kenapa doktor suruh jarakkan kehamilan.

Fazrina yang bakal mendirikan rumah tangga pada awal September depan turut berharap lelaki pilihannya itu lebih terbuka dan bertolak ansur tidak kira apa dalam apa juga situasi.

Takut memang takut, tulisnya.Sebelum berkahwin,semuanya nampak indah tetapi selepas berumah tangga siapa tahu nasib masing-masing.

Apapun dia menyerahkan segalanya kepada Allah Taala.

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kami. Sesungguhnya, perbuatan membunuh mereka adalah kesalahan yang besar. (Al-Isra:31).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×