“Saya pernah ‘dilamar’ seorang penyanyi untuk menggunakan perkhidmatan saya dengan dibayar sebanyak RM22,000, bagaimanapun terpaksa menolak dengan cara baik atas alasan tidak dapat mendalami karakter penyanyi tersebut,” tutur seorang seniman Datuk Seri Ahmad Nawab sewaktu bertemunya baru-baru ini.
Prinsip digenggam figura itu menjelaskan betapa kecintaannya terhadap seni melebihi wang ringgit dan betapa pengabdian lebih tujuh dekad menyumbang keringatnya dalam industri muzik tanah air berbaloi.
“Ada seorang penyanyi tetapi maaf saya tidak boleh memberitahu namanya, dia datang kepada saya untuk menyanyikan lagu saya.
“Dia datang membawa wang sebanyak RM22,000 untuk dua buah lagu. Tetapi saya tidak dapat ilham, saya terpaksa memberi wang itu semula.
“Saya cakap saya tidak boleh lakukan kerana karakter itu tidak ‘datang’. Saya kena buat sesebuah lagu itu yang betul-betul untuk dia,” katanya berterus-terang mengenai caranya berkarya.
Figura ini memberitahu beliau memerlukan sekurang-kurangnya seminggu tempoh masa bagi mengenali karakter dan personaliti seorang penyanyi bagi menghasilkan mencipta sebuah karya.
“Saya perlu jumpa empat mata dan bercakap dengan dia. Sehari tidak cukup, sekurang-kurangnya seminggu masa diperlukan untuk duduk bersama supaya dapat mengenali karakter secara lebih mendalam,” tuturnya.
Mencipta lagu-lagu sesuai dengan watak penyanyi, itulah rahsia hasil karya seorang anak seni ini kekal mekar mewangi.
SENIMAN TUJUH DEKAD
Ahmad Nawab, seorang seniman tiada gantinya.
Seni dan dirinya berpisah tiada, sudah sebati bagaikan isi dengan kuku.
Memanjat angka usia 90 tahun, komposer yang cukup sinonim dengan saksofon ini sudah menghasilkan lebih 2,000 karya malar segar.
Pada usia hampir satu abad, saya perhatikan beliau dilihat kuat, seiring dengan karier muziknya yang utuh seperti empunya badan.
Kesemua karyanya kekal diingati pendengar dan begitu evergreen.
Seniman ini turut mengakui mencipta sesebuah lagu juga tidak mudah.
“Sejak dari dahulu lagi saya tidak pernah mencipta lagu dan simpan.
“Sebaliknya saya akan hasil dan melakukan proses rakaman lagu mengikut karakter penyanyi itu.
“Apabila penyanyi itu datang, itulah lagunya. Saya akan mencipta lagu sewaktu berjumpa dengan penyanyi itu.
“Dalam masa dua minggu saya akan membayangkan karakter penyanyi itu. Ini kerana setiap penyanyi mempunyai karakter tersendiri,” kongsinya.
Resipi air tangannya yang telah tertulis buat seseorang penyanyi memang tiada yang boleh menandingi, walau dinyanyikan oleh penyanyi sedia ada.
“Jadi, saya akan membuat lagu sesuai dengan mereka. Sesebuah lagu itu dihasilkan khas untuk seseorang penyanyi itu.
“Walaupun penyanyi lain menyanyikan lagu mereka, tidak boleh juga nak dibandingkan atau menandingi penyanyi asal lagu tersebut.
“Lagu itu untuk dia, sampai bila-bila untuk dia. Itu cara saya mencipta lagu,” ujarnya lagi.
Pencipta lagu popular Seniman Menangis nyanyian Datuk Jamal Abdillah ini turut memberi pandangan berkenaan pendatang baharu dalam industri seni.
Mengikut pandangannya, penyanyi ada dua jenis, satu dilahirkan sebagai penyanyi dan memang ‘dibuat’ untuk bergelar penyanyi.
Yang lahir sebagai penyanyi mampu bertahan lebih 30 tahun.
Sebaliknya yang ‘dibuat’ sebagai penyanyi itu sekejap sahaja bertahan.
“Semua adalah anugerah tuhan. Dia beri bakat kepada individu sebagai penyanyi, jadilah dia sebagai penyanyi. Begitulah sebaliknya.
“Ada ramai juga hendak menjadi penyanyi, tetapi tidak sampai. Sekejap sahaja,” katanya.











