Cantik dan berbakat. Dua kualiti yang dianugerahkan kepada pelakon, Sabrina Ali yang selepas 15 tahun masih bertahan dalam industri filem dan drama.
Kerjaya seni anak kelahiran Kuala Lumpur ini jarang sekali ‘dicalar’ dengan bibit-bibit kontroversi. Apatah lagi cerita-cerita panas bersifat peribadi yang mungkin bagi segelintir artis lain, tidak apa untuk dijaja demi secebis populariti.
Itu bukan Sabrina. Dia memilih untuk tidak menonjol dengan kontroversi. Dalam pertemuan baru-baru ini, dia mengakui penglibatan dalam dunia lakonan bukan untuk popular.
“Saya masuk bidang ini bukan kerana itu. Alhamdulillah, saya pilih kualiti dan bukan kuantiti. Cukuplah, sudah memadai. Saya nak orang kenal saya melalui kerja-kerja saya, bukan dengan hal peribadi, kontroversi dan sebagainya.
“Bila bapa saudara saya, Datuk Yusof Haslam tahu saya sudah masuk bidang ini, dia nasihatkan agar saya jaga nama baiknya, keluarga dan sebagainya.
“Itu yang saya pegang sampai sekarang. Sebab itu saya jaga betul-betul. Saya nak hidup tenang. Bebas kontroversi. Mungkin sebab itu juga saya tak sepopular pelakon lain,” katanya.
Pada ibu tiga cahaya mata ini, kemasyhuran dan glamor bukan perkara yang menggembirakan.
Pada pandangannya, ia adalah perkara menyakitkan yang menghadirkan kesengsaraan dalam hidup seseorang.
“Bergantung kepada niat, kalau saya nak kejar glamor, cukup senang. Sesiapa sahaja boleh melakukannya. Tapi itu bukan yang saya mahukan.
“Saya tahu, kalau saya dapat populariti, saya akan menanggung kesakitannya, tidak memberikan saya kegembiraan. Popular datang sendiri kalau kerja bagus.
“Kalau terlalu menonjol, tak kisahlah di media sosial atau di mana sahaja, anda merelakan diri ‘ditembak’ atau dihentam,” ujarnya.
Sabrina memaklumkan bahawa dia tidak pernah merancang, sebaliknya semua berlaku secara kebetulan dan atas ketentuan serta kehendak yang maha Esa.
“Selepas tamat belajar, macam-macam kerja saya buat. Pelayan di Starbuck, kerja dekat butik, bank. Tapi, hati tak ada dekat situ.
“Saya tidak pilih untuk menjadi pelakon. Allah SWT takdirkan saya masuk ke dalam bidang ini. Mesti ada sebabnya.
“Saya ikut sahaja jalannya. Bila rezeki (lakonan) datang saya tak halang. Saya tahu ada asbab kenapa saya diletakkan dalam bidang. Apa yang perlu saya buat? Belajar dan perbanyakkan ilmu (lakonan) meskipun saya tidak merancang untuk masuk ke dalamnya,” katanya lagi.
Kerja keras usaha sendiri
Nama saya melonjak menerusi drama Sephia yang ditayangkan pada tahun 2004.
Selepas itu, rezeki tawaran lakonan mencurah-curah baginya yang ketika itu baharu menapak.
Namun, Sabrina terkilan apabila ada pihak yang mendakwa dia pelakon kegemaran Skop Production hanya kerana hubungan kekeluargaan dengan Yusof Haslam dan anaknya, Syamsul Yusof.
“Saya tak boleh terima apabila ada yang mengatakan saya anak emas mereka. Saya naik dengan usaha dan hasil kerja saya sendiri,” luahnya.
Kata Sabrina, dia cukup menyayangi dan menyanjungi Yusof yang dianggapnya sebagai bapa sendiri.
Kerana itu, dia sedaya upaya menjaga nama baik pengarah tersohor itu dan tidak sesekali melakukan perkara yang akan memburukkan nama baiknya.
“Saya sayangkan dia (Yusof). Dia umpama ayah kepada saya. Sebab itu bila dia minta saya jaga nama baiknya, saya patuh. Ini bagi saya satu tanggungjawab.
“Tetapi saya, saya kecewa dengan pihak-pihak tertentu dalam industri ini yang menangguk di air yang keruh, mengaku mereka darah daging Yusof Haslam.
“Mereka tidak ada apa-apa kaitan, jauh sekali ada hubungan keluarga dengan bapa saudara saya. Benar, mereka ada kaitan dengan saya, menerusi arwah bapa saya. Manakala saya ada hubungan saudara dengan Yusof menerusi ibu yang merupakan kakaknya. Tapi mereka? Tak ada kaitan dengan Yusof Haslam,” tegasnya.
PERKAHWINAN & UJIAN
Kegagalan rumah tangga sebelum ini bukan asbab untuk Sabrina menutup hatinya untuk kebahagiaan yang lain.
Aturan Allah, pada penghujung tahun 2020, Sabrina sekali lagi bertemu jodoh, dan kali ini bersama bekas vokalis kumpulan Handy Black, Wanji Aswandi.
Sabrina menyerahkan soal jodoh dan rumah tangga kepada yang maha Esa sebelum memutuskan berkahwin lagi.
“Memang saya minta Tuhan bukakan hati kalau betul dia jodoh saya. Saya berserah, berdoa agar Allah berikan yang terbaik untuk saya.
“Hidup ini ujian, begitu juga dunia ini, tempat ujian bagi orang Islam. Bukan perkahwinan sahaja. Kalau ditanya sama ada doa saya telah dimakbulkan, saya tak tahu. Selagi kita hidup, prosesnya terus berjalan. Kita tak pernah tahu. Yang pasti kita kena lakukan terbaik supaya tak menyesal nanti.
“Tentulah, saya mahu kekal bersama suami bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak. Namun itu bukan kita untuk tentukan. Perancangan Allah adalah yang terbaik,” katanya.
Menjawab tentang kualiti yang ada pada Wanji, Sabrina jelas memberitahu bahawa ilmu agama yang mendalam menjadi asbab mengapa dia tertarik dengan anak seni tersebut.
“Saya terbuka hati untuk menerima dia adalah kerana ilmu agamanya yang dalam.
“Lain orang lain kehendak mereka. Saya tak fikir siapa orang yang akan membina rumah tangga bersama saya. Tetapi saya melihat ilmunya (agama). Itu yang dituntut dalam Islam,” jelasnya.










