Zoo mini Corv Agro Farm tarikan baharu di Jasin, Melaka menempatkan lebih 50 spesis haiwan seperti kuda lumba, kuda padi, burung baji, merak, ayam silky, kambing dan arnab.
Terletak di Kampung Seri Kesang, zoo mini itu turut menempatkan kuda lumba istimewa yang mana ia pernah dimiliki Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pengurusnya, Mohd. Ahnaf Syafiq Amran berkata, premis berkenaan bukan sekadar mempamerkan haiwan sebaliknya berperanan sebagai pusat pembelajaran awal untuk kanak-kanak mengenal haiwan dengan lebih dekat.
“Pengunjung boleh berinteraksi dengan haiwan seperti menyentuh, memberi makan dan menunggang,” katanya.
Beroperasi sejak Disember lalu, ia menawarkan bayaran masuk RM10 untuk dewasa, dan kanak-kanak (RM5). Manakala warga emas, kanak-kanak autisme dan bawah dua tahun, adalah percuma.
Mohd. Ahnaf Syafiq berkata, idea penubuhan Corv Agro Farm, berikutan mahu mencipta tarikan pelancongan baharu ke Jasin.
“Pelancong lebih kenal Jasin sebagai destinasi riadah dengan banyak tempat makan menarik.
“Melihat kepada kekosongan untuk zoo mini, saya bersama pemilik zoo mini ini, memutuskan untuk membuka premis ini,” kata graduan Diploma Pengurusan Ladang ini.
Corv Agro Farm memperuntukkan kira-kira RM2,000 sebulan untuk membeli dedak dan rumput napier segar kepada hampir 50 ekor haiwan di situ.
“Kesihatan haiwan yang dipamerkan sentiasa dipantau rapi terutamanya melibatkan kebersihan kandang dan pemakanan.
“Ia penting bagi mendapatkan bulu yang cantik, bebas penyakit serta perasaan ceria melayani pengunjung.
“Contohnya kuda akan diberi makan napier pada waktu pagi manakala palet serta jagung diberi waktu petang. Begitu juga dengan haiwan-haiwan lain yang tidak boleh diberi makan sembarangan,” ujarnya.
LADANG MEMANAH BERKUDA
Pembukaan zoo mini itu sebagai pemangkin atau batu loncatan kepada perancangan lebih besar untuk masa depan.
Mohd. Ahnaf memberitahu, prospek perniagaan tidak terhenti setakat zoo mini sahaja, sebaliknya mereka mahu mempelbagaikan aktiviti yang dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Jasin, Melaka.
Katanya, perbincangan bersama pengasas Corv Agro Farm, Ahmad Mursyid Munawwar Muhammad Muchtar, bersetuju mewujudkan satu lagi kawasan dengan konsep hampir sama tetapi fokusnya berbeza.
“Sebagai pengurus saya banyak memberi pandangan bagaimana untuk memajukan lagi perniagaan sedia ada. Kami merancang mewujudkan satu ladang agro khas.
“Jika zoo mini di Kampung Seri Kesang lebih kepada bermain, memberi makan haiwan dan menunggang kuda secara santai, ladang agro khas ini pula khusus untuk belajar memanah dan aktiviti berkuda,” katanya yang menjelaskan tapak projek berkenaan dikenal pasti di Selandar.










