Siapa yang tidak terpikat setiap kali menatap barang kemas bertatahkan berlian yang anggun bersinar sama ada di jari, pergelangan tangan, subang mahupun rantai.
Namun, jangan mudah tertipu dengan keindahannya secara luaran kerana kalau kurang arif dengan kualiti berlian, pasti ribuan wang yang dilabur untuk membeli barang kemas melayang begitu saja apabila terbeli berlian kurang berkualiti.
Ramai meminati berlian tetapi ramai juga kurang arif dalam memilih berlian berkualiti tinggi apatah lagi jika ia sekadar dilihat secara mata kasar. Terdapat beberapa tips bagi menentukan sama ada berlian berkenaan berkualit atau sebaliknya yang mesti anda ketahui sebelum membelinya.
Pertimbangkan panduan langkah demi langkah berikut untuk memilih berlian. Berlian bagi setiap orang adalah unik, tetapi anda boleh ikuti langkah ini sebagai titik permulaan untuk memastikan anda memiliki berlian yang sempurna.
Perkara penting perlu dipertimbangkan apabila memilih berlian berkualiti adalah daripada segi berat karat, warna dan ketelusannya.
Bentuk potongan berlian juga menjadi penentu berlian berkualiti dan sempurna kerana ia mempengaruhi berapa banyak cahaya yang dipantulkan kembali ke mata apabila anda melihat berlian berkenaan.
Potongan adalah faktor paling penting dalam menentukan penampilan keseluruhan berlian kerana berlian yang dipotong dengan buruk akan kelihatan kusam walaupun dengan kejelasan dan warna yang sangat baik.
Sebaliknya, berlian yang dipotong dengan baik boleh mempunyai warna yang lebih rendah sedikit (G-H) atau kejelasan (SI1-SI2) dan masih kelihatan agak cantik, kerana keupayaan unggulnya untuk mencipta kilauan dan kecemerlangan.
Berlian yang berkualiti dipotong dengan tiga aspek ini iaitu potongan ideal, simetri sempurna dan gilapan yang sempurna.
Berlian boleh digayakan setiap masa
Kebiasaannya berlian digayakan untuk acara atau majlis istimewa seperti pertunangan, perkahwinan atau ketika menghadiri majlis makan malam, malah mengikut peraturan keluarga Diraja England, berlian hanya boleh digayakan di sebelah malam saja bagi menyerlahkan kilauannya.
Namun pada masa kini, ia tidak lagi terikat untuk hari-hari istimewa itu saja malah sudah boleh digayakan setiap masa.
Berlian kini boleh digayakan di mana saja tanpa batasan waktu termasuk ke pejabat atau ketika bersantai dan mudah dipadankan dengan sebarang gaya baju.
Ketua Eksekutif SUEN, Lee Sze Suen, berkata tidak perlu menunggu hari istimewa atau hari tertentu saja untuk menggayakan berlian kerana setiap hari sudah cukup istimewa.
Katanya koleksi terbaharu itu juga bakal menarik perhatian wanita dan lelaki yang menginginkan gaya dan kualiti setiap hari.
Potongan ideal penentu keindahan berlian
Berlian yang benar-benar cantik bermula dengan formula potongan ideal yang jelas mengikut kadarnya yang akan memberi kesan kepada laluan cahaya melalui berlian.
Formula potongan ideal biasanya berdasarkan potongan sangat sempit dan tepat untuk menghasilkan keindahan luar biasa.
Potongan yang terlalu pendek menyebabkan cahaya ke bahagian bawah manakala potongan terlalu dalam pula, akan memberikan pantulan cahaya dari sudut yang salah dan kebanyakan cahaya akan keluar ke arah tepi.
Simetri yang sempurna
Simetri merujuk kepada saiz dan penempatan sudut yang sama dan tepat bagi setiap segi dan mempengaruhi kesamarataan cahaya yang dikembalikan ke mata anda.
Berlian memiliki simetri sempurna boleh ditentukan dengan melihat berlian di bawah skop simetri yang akan mendedahkan bentuk lapan hati simetri sempurna dan lapan anak panah simetri sempurna.
Gilapan sempurna
Gilapan merujuk kepada kemasan permukaan berlian. Kesempurnaan dicapai apabila permukaannya benar-benar sekata, rata tanpa garis pengilap, berbiji atau kesan terbakar. Berlian dengan pengilap yang sangat baik menghasilkan pantulan yang tajam dan sekata yang biasa kita kenali sebagai kilauan atau kerlipan berlian.
Warna adalah unsur semula jadi dalam berlian. Apabila permata tumbuh di bawah bumi selama berjuta-juta tahun, unsur surih boleh menyebabkan warna kekuningan atau keperangan.
Pakaian dan berlian
Jika anda ingin memakai berlian mewah untuk janji temu makan tengah hari atau hari pertunangan, gayakan baju dengan warna yang menyerlah.
Jika anda bekerja di pejabat, pilih barang kemas ringkas dan gayakan hanya beberapa barang kemas saja seperti anting-anting bertahtah berlian klasik atau gelang berlian kecil, jam tangan dengan hiasan berlian atau gelang serta dan loket yang anggun.
Hakikatnya kini, syarat menggayakan berlian sudah berubah. Kemewahan bukan lagi terbatas untuk acara rasmi semata-mata. Barang kemas adalah untuk digayakan bukan disimpan saja di dalam kotak khas dan menunggu hari-hari istimewa untuk menggayakannya.
Tahun 2022 menyaksikan semakin banyak pengeluar berlian mempromosikan koleksi khas untuk digayakan oleh peminat berlian secara seharian bagi menampilkan keanggunan pada bila-bila masa dan di mana saja mereka berada. Apa yang penting, anda perlu lebih bijak memadankan gaya dengan pakaian untuk menampilkan gaya santai dan anggun.
Tips gayakan berlian setiap hari
Pastikan ia kasual
Daripada loket berlian yang bergaya kepada sepasang anting-anting berkilauan, gayakannya dengan seluar jeans yang sangat ringkas dan kasual serta pakaian kemeja-T dan biasakan diri dengan perasaan, barang kemas istimewa melengkapkan penampilan anda.
Gabungkan lebih daripada satu barang kemas
Gandingkan rantai halus dengan rantai labuh boleh mencipta gaya anggun dan santai berbanding hanya menggayakan satu barang kemas pada satu masa. Malah gandingan barang kemas berlian adalah cara terbaik untuk mencipta getaran koleksi kegemaran anda.
Lebih kecil lebih baik
Kadangkala saiz berlian lebih kecil lebih baik. Berlian dengan potongan kecil tetapi sempurna mampu memberikan kesan ke atas gaya anda.










