AIMAN Tino antara penyanyi muda yang sinonim dengan genre jiwang. Tapi entah di mana silap percaturan, lagu-lagunya tidak sekuat namanya. Malar segar pun hanya satu lagu iaitu Ku Rela Dibenci.
Tetapi ia tidak bermakna Aiman hanya berdiam diri dan merajuk dari industri seni tempatan. Ibarat peribahasa diam-diam ubi berisi, Aiman sedang mengatur langkah untuk kembali beraksi.
Menurut penyanyi lagu Permata Cinta itu dia mahu mengeluarkan lagu ciptaan sendiri selain menantikan nama-nama komposer terkenal untuk bekerjasama dalam menghasilkan single seterusnya.
“Sejujurnya saya rasa lagu dan lakonan seiring, mungkin pendengar dan peminat mengharapkan setiap lagu nyanyian saya sentiasa hit.
“Tetapi tidak mengapa saya terima dengan lapang dada dan terus berjuang.
“Cakap pasal itu saya nak keluarkan lagu ciptaan sendiri dan buka peluang komposer lain untuk bekerjasama,” katanya.
Pada masa sama, anak jati kelahiran Kuala Kubu Bharu itu mengakui masih dalam proses mendalami bidang muzik dan lakonan.
Aiman atau nama penuhnya Mohammad Aiman Yusri Ishak, 24, turut mengakui setiap lagu dihasilkan dia tidak menggunakan kuasa media.
“Daripada pemerhatian saya, sekarang zaman masing-masing menggunakan kelebihan aplikasi pelbagai contohnya Tik Tok.
“Kalau ada sahaja lagu baharu mesti buat konten di aplikasi itu. Tapi saya pula sebaliknya tak buat. Saya akan cuba selepas ini, sebab nampaklah juga populariti lagu boleh pergi jauh bila mana buat pendekatan seumpama itu,” ujarnya lagi.
Peminat bakar semangat
Dalam apa sahaja perhubungan pastinya kita saling melengkapi. Ada masa turun naik dan pasang surut. Itulah kebaikan artis bersama peminat.
Mereka sentiasa memberikan sokongan penuh selain doa yang tidak putus-putus untuk melihat artis mereka berjaya.
Kata Aiman, dia amat menghargai dengan setiap usaha yang dilakukan oleh kelab peminatnya iaitu Aiman Tino Fantastic.
Apatah lagi bulan lalu, kelab peminatnya telah melakukan kejutan kali pertama sempena ulang tahu kelahirannya selepas fasa pandemik tanpa pengetahuannya.
“Sejujurnya saya tak fikir pun tentang hari lahir saya. Tapi mereka telah mengimbau aura saya yang lama.
“Mungkin itulah harapan mereka yang mahukan saya aktif semula. Saya tersedar sebelum ini aktif dalam industri dan juga bersama peminat.
“Insya-Allah atas permintaan dan sokongan tak putus-putus saya akan bangkit semula. Tambah pula tengok mereka turut menyanyi bersama-sama dengan saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aiman bakal tampil menerusi supertele Adnan Sempit selaku pelakon utama.










