KECURANGAN lazimnya membabitkan pihak ketiga. Curang juga antara penyumbang kepada pertambahan jumlah kes cerai di Malaysia.
Ulas Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Yusni Mohamad Yusop kepada Seri, jika isu ini tidak diurus dengan baik, ada kemungkinan orang ketiga atau penyondol ini menyebabkan kedamaian sesebuah keluarga bertukar menjadi kesakitan yang akhirnya membawa kesengsaraan pasangan dan anak-anak yang tidak berdosa.
Apabila seorang isteri menyedari bahawa terdapat pihak ketiga sedang mengejar suaminya, 10 tindakan dinyatakan boleh diambil bagi memastikan emosi wanita, isteri atau ibu terkawal.
1) Pastikan kebenaran isu ini terlebih dahulu, agar tidak mendatangkan fitnah. Dapatkan dan proses maklumat dengan cara yang betul dan bijak.
2) Isteri tidak perlu fokus kepada pihak ketiga dahulu, apatah lagi menyerang. Harus ingat, dia tidak akan mendapat tempat di sisi suami sekiranya suami tidak memberi ruang. Fokus dan pulihkan terlebih dahulu kualiti hubungan suami isteri.
3) Tidak dedahkan masalah hubungan suami isteri yang boleh membuka aib kedua-dua, ini boleh menambah stres dan memburukkan keadaan.
4) Dating dengan suami untuk membincangkan hal ini dari hati ke hati (tanpa kehadiran anak atau mana-mana pihak lain), bukan berbincang dalam talian. Berbincang penuh hikmah dengan niat untuk mencari jalan penyelesaian, bukan mencari salah pasangan. Perbincangan telus dapat mengurangkan ketegangan emosi.
5) Jauhi daripada mengungkit-ungkit. Ia tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan membangkitkan api permusuhan. Belajar bersyukur dan menghargai kehidupan.
7) Akui kesilapan, berdamai dan memaafkan antara satu sama lain, berazamlah untuk tidak mengulangi kesilapan. Berikan peluang kepada diri sendiri dan pasangan serta fokus kepada membina semula kualiti hubungan.
8) Isteri harus pastikan diri selalu kemas dan sentiasa menarik serta stabil daripada aspek mental, emosi dan fizikal. Amalkan teknik relaksasi dengan kerap. Praktiskan gaya hidup sihat secara konsisten. Kesihatan yang baik membantu kekal tenang.
9) Tingkatkan kualiti masa bersama, lakukan penghargaan terhadap pasangan menerusi kata-kata, bahasa badan dan perbuatan. Tingkatkan kualiti hubungan diri dengan Allah SWT, susun waktu solat berjemaah dalam keluarga. Kebahagiaan yang hakiki adalah apabila pemimpin rumah tangga dapat menjadi role model dalam keluarga.
10) Jika keadaan tidak berubah, segera dapatkan bantuan atau khidmat professional seperti kaunselor, ibu bapa, keluarga mentua serta orang yang boleh dipercayai. Jika ada ruang, libatkan pasangan bersama untuk mendapat khidmat kaunseling atau nasihat pakar. Bertindaklah secara bijak dan terancang mengikut kaedah yang betul untuk menyelamatkan perkahwinan.










