Tampon tidak jejas dara - Utusan Malaysia

Tampon tidak jejas dara

Dr. Azizah Rusly menjelaskan pelbagai mitos berhubung haid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dengan jolokan seperti datang bulan, Aunt Flo, Sharks Week atau dai yi ma, haid masih dianggap topik tabu dalam banyak budaya. Wanita bukan sahaja perlu berhadapan dengan stigma, malah mereka sering disajikan dengan maklumat tidak tepat tentang haid.

Sungguhpun haid merupakan proses semula jadi dialami kebanyakkan wanita, ia masih diselubungi pelbagai mitos walaupun dalam zaman serba moden ini.

Laporan Kumpulan Bank Dunia mendedahkan, sekurang-kurangnya 500 juta wanita dan gadis di seluruh dunia menghadapi kemiskinan haid, yang bermaksud kekurangan atau ketiadaan kelengkapan sanitasi bagi menguruskan haid.

Kesannya mereka bukan sahaja kurang pengetahuan tepat tentang haid, tetapi turut kurang cakna mengenai cara terbaik menguruskan kebersihan haid. Kenali mitos berhubung haid.

#1
“Ibu kata wajib membasuh tuala wanita kerana darah najis dan ia akan ‘menjemput’ kedatangan jin dan makhluk halus?,”

Sebenarnya darah haid tiada beza dengan darah lain dalam badan kita dan sudah tentunya tidak kotor. Ia terdiri daripada darah, membran rahim, lapisan mukus dan bakteria.
Sungguhpun ia kadangkala kelihatan bergumpal atau lebih gelap, kejadian sedemikian adalah normal.
Tuala pakai buang hendaklah dibungkus rapi dan dibuang selepas digunakan.
Namun, sekiranya anda menggunakan tuala, ia boleh dibasuh dan digunakan semula.
Bagi cawan haid, hanya rendamkan ia dalam air sejuk kemudian basuh dengan detergen biasa, soda penaik atau cuka.
Pastikan ia kekal kering bagi mencegah jangkitan kuman.

#2
“Meletakkan tuala yang telah dibasuh pada muka dapat menjadikan kulit cantik?,”

Tidak benar sama sekali, kerana sisa atau produk haid harus dibuang dengan cara yang betul.
Hakikatnya cara memperoleh kulit cantik amat bergantung kepada jenis kulit individu.
Amalkan sahaja diet sihat dan seimbang untuk tubuh.
Tingkatkan pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran.
Minum air mencukupi dan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk hasil terbaik.

#3
“Tampon akan merosakkan selaput dara saya?,”

Meskipun tampon boleh menyebabkan sedikit regangan atau koyakan pada selaput dara atau himen, namun ini juga boleh berlaku apabila wanita melakukan aktiviti lasak.
Pertama kali memakai tampon, sebilangan wanita mungkin akan mengalami rasa tidak selesa ketika memasukkan tampon.
Namun, keadaan itu hanya sementara. Lama-kelamaan pengalamannya akan bertambah baik.

#4
“Saya harus mengelakkan makanan dan minuman sejuk kerana ia akan memburukkan lagi pendarahan dan senggugut?,”

Tiada kajian yang dapat membuktikan atau menyangkal kaitan antara minuman dan makanan sejuk dengan senggugut.
Haid merupakan sebahagian daripada sistem pembiakan, manakala aktiviti makan atau minum berkait rapat dengan sistem pencernaan.
Jadi, kedua-dua sistem ini berfungsi secara berasingan dan langsung tidak menjejaskan antara satu sama lain.
Sungguhpun demikian, sesetengah wanita lebih sensitif terhadap makanan atau minuman sejuk, yang mungkin akan mencetuskan atau memburukkan lagi senggugut.
Jadi, anda sendirilah yang seharuslah cakna terhadap badan anda sendiri dan bertindaklah sewajarnya.

#5
“Saya pernah menyorokkan produk sanitari saya kerana tidak sopan untuk menunjukkannya di khalayak ramai?,”

Sama seperti tisu dan ubat gigi, produk sanitari merupakan produk gaya hidup yang membantu wanita berasa lebih selesa dalam tempoh melalui kedatangan haid.
Oleh itu, setiap wanita harus mempunyai hak dan kebebasan untuk membeli produk kebersihan tanpa rasa malu.
Ini kerana haid hanyalah suatu proses fisiologi semula jadi yang berlaku setiap bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN