Bila disebut sahaja nama Syeikh Idris al-Marbawi, pasti kita akan teringat kepada Kamus Al-Marbawi ataupun kitab Bahrul Mazi yang merupakan karangan ulama kelahiran Kuala Kangsar ini.
Namun ramai tidak mengetahui sejarah terperinci tokoh besar ini yang telah menabur jasa yang sangat besar kepada masyarakat Melayu. Sangat wajar tokoh-tokoh seumpama beliau diketengahkan kepada masyarakat agar jati diri bangsa akan terus mekar di dalam atma setiap anak bangsa.
Nama Dan Kelahiran
Muhammad Idris bin Abdul Rauf bin Jaafar bin Idris dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313 hijrah bersamaan 10 Mei 1896 di Misfalah, Mekah.
Gelaran al-Marbawi yang bererti ‘orang Lubuk Merbau’ adalah bersempena kampung beliau di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak. Anak pertama daripada tujuh beradik.
Bapanya, Abdul Rauf Jaafar adalah berdarah Minangkabau dan merupakah Syeikh Haji yang membawa jemaah haji ke Mekah. Ibu beliau, Asma’ Abdul Karim berasal dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.
Sebelum kelahiran beliau, kedua ibu ayahnya belayar ke Mekah untuk menunaikan haji lalu beliau dilahirkan di sana.
Beliau tinggal di Mekah sejak kelahirannya selama 10 tahun dan akhirnya pada tahun 1323 hijrah iaitu sekitar tahun 1905, beliau dan keluarga pulang semula ke Kuala Kangsar, Perak.
Saya tidak menemui sebarang rekod mengenai guru-guru awal Syeikh Idris al-Marbawi sewaktu beliau di Mekah.
Namun pasti beliau dididik dengan asuhan agama oleh para guru khususnya dalam bidang hafalan al-Quran semasa mula membesar sebagai kanak-kanak di Mekah.
Setelah berusia sekitar 10 tahun, keluarga Syeikh Idris al-Marbawi bersama-sama beliau pulang ke Tanah Melayu lalu beliau meneruskan pengajian di Sekolah Melayu Lubuk Merbau yang dikenali pada hari ini dengan nama Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.
Kemudian beliau telah melanjutkan pengajiannya di beberapa pondok di tanah air. Antaranya Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang dikenali pada hari ini sebagai Madrasah Idrisiah bersempena nama Almarhum Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah.
Syeikh Idris al-Marbawi juga telah menadah ilmu agama di Pondok Tuan Husain al-Mas’udi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad al-Fathani di Pulau Pinang dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.
Pada Mac 1924, Syeikh Idris al-Marbawi menyambung pengajian di Universiti al-Azhar al-Syarif sehingga berjaya memperolehi Syahadah ‘Aliah. Beliau adalah anak Melayu Perak pertama yang melanjutkan pengajian di universiti terulung itu.
Perkahwinan
Syeikh Idris al-Marbawi berkahwin dengan Che Khadijah binti Muhammad Edham berasal dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar lalu dikurniakan 10 cahaya mata.
Namun semua anak beliau meninggal dunia semasa kecil melainkan seorang anak perempuan iaitu Datin Hajjah Maryam. Semasa Syeikh Idris berada di Mesir pada tahun 1960, beliau berkahwin dengan seorang wanita Mesir yang merupakan adik kepada sahabat Syeikh Idris al-Marbawi.
Sang isteri meninggal dunia pada 1967. Akhirnya Syeikh Idris berkahwin pula dengan seorang balu beranak dua, Munirah binti Abdul Wahhab. Menerusi perkahwinan dengan wanita Mesir ini mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Guru bentuk Keilmuan Dan Keperibadian
Antara guru-guru Syeikh Idris al-Marbawi daripada kalangan ulama tanah Melayu adalah Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad yang dikenali dengan panggilan Tok Kenali (lahir sekitar 1870 dan wafat pada 1933).
Antara guru beliau juga adalah Tuan Guru Haji Yaaqub bin Ismail bin Abdul Rahman yang dikenali dengan panggilan Haji Yaakub Legor (lahir pada 1892 dan wafat pada 1971).
Antara guru beliau yang diketahui dalam kalangan ulama al-Azhar al-Syarif adalah Fadhilat al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin Ali al-Humaydiyy al-Samalutiyy al-Malikiyy (lahir pada 1273 hijrah dan wafat pada 1353 hijrah).
Syeikh Idris al-Marbawi juga mempelajari ilmu falak daripada Fadhilat al-Syeikh Abu al-A’la al-Falakiyy (tidak diketahui tarikh lahir dan kewafatan beliau). Berkemungkinan juga Syeikh Idris al-Marbawi turut menuntut ilmu daripada ulama-ulama besar al-Azhar sepanjang berada di Mesir seperti Fadhilat al-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’iyy al-Hanafiyy, Fadhilat al-Syeikh Yusuf al-Dijwiyy, Fadhilat al-Syeikh Habibullah al-Syanqitiyy, Fadhilat al-Syeikh Ahmad bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumariyy dan Fadhilat al-Syeikh Soleh al-Ja’fariyy.
Kelebihan Dan Sifat Mulia
Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi memiliki kecerdikan yang membanggakan. Dalam usia 10 tahun, beliau sudah mampu menghafaz 16 juzuk al-Quran.
Beliau juga adalah seorang tokoh ulama Melayu yang begitu mencintai ilmu. Ini dibuktikan dengan terhasilnya kitab Bahrul Mazi yang merupakan kitab hadis yang begitu ulung dan mungkin merupakan karya yang paling panjang sekali setakat ini dalam bidang hadis di dalam alam Melayu.
Kitab Bahrul Mazi adalah hasil pengajian beliau bersama Fadhilat al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Samalutiyy sewaktu beliau mempelajari kitab Jami’ al-Tirmidziyy di Masjid Sayyidina al-Husayn di Kaherah, Mesir.
Ilmu yang ditimba daripada sang guru yang mulia ini dikumpulkan dengan penuh sabar di dalam kitab Bahrul Mazi dengan tambahan-tambahan ilmu yang diambil daripada pelbagai kitab yang lain.
Pada juzuk terakhir kitab ini yang dicetak pada tahun 1960, Syeikh Idris al-Marbawi yang ketika itu sudah berusia 64 tahun telah membuktikan kesungguhan yang sangat jitu di dalam menyelami lautan ilmu demi menyebarkan sumbangan ilmu agama buat buat anak bangsa.
Dalam usia tersebut, beliau menulis di akhir juzuk ke-22 kitab Bahrul Mazi satu petikan di dalam Bahasa Arab yang bermaksud: “Dengan pujian kepada Allah, cetakan juzuk ke-22 daripada kitab Mukhtasar Sahih al-Tirmidziyy dan huraiannya dalam bahasa jawi telah selesai dicetak dan akan menyusul juzuk ke-23”.
Namun Allah SWT telah menjemput beliau lebih awal sebelum beliau sempat menyiapkan juzuk ke 23.
Selain itu, beliau menetap selama hampir 60 tahun di Mesir semata-mata kerana gemar berada di dalam persekitaran ilmu yang membantu beliau di dalam bidang penulisan.
Beliau juga merupakan seorang yang tabah dalam kegiatan ilmu. Ini dibuktikan dengan terhasilnya Kamus al-Marbawi yang mula dicetak pada tahun 1927 di Mesir.
Penulisan kamus bahasa Arab-bahasa Melayu ini pada asalnya adalah arahan daripada guru beliau sendiri yang bernama Fadhilat al-Syeikh Abu al-A’la al-Falakiyy.
Tugas ini telah dipertanggungjawabkan kepada beliau dan tiga orang sahabat beliau iaitu Syeikh Abdullah Afifuddin Langkat, Syeikh Abdullah Junaid Tala yang merupakan ulama besar dari Tarlola, Sumatera Utara dan Syeikh Nasir al-Jawhari.
Namun ketiga-tiga sahabat beliau ini tidak berkesempatan untuk menyudahkan penulisan kamus ini lalu Syeikh Idris al-Marbawi secara berseorangan terus menulis kamus ini sehingga akhirnya terhasillah Kamus al-Marbawi yang telah menjadi rujukan ramai sehingga ke hari ini.
———-
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










